PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, April 23, 2010

Liqa' Fuad Berlangsung Meriah

Unit Dakwah HEWI KPT sekali lagi berjaya menganjurkan liqa' gabungan di Hadiqah Athfal pada Jumaat, 23 April 2010. Kehadiran ahli yang memberangsangkan memeriahkan lagi acara yang telah diatur seperti akademi da'ie, perbahasan dan lain-lain.


Seawal jam 7 pagi, ahli HEWI mula berkumpul di hadapan asrama dengan barang taklifan masing-masing yang telah diamanahkan. Bertolak sekitar jam 8 pagi dan dibenarkan masuk ke kawasan taman lebih kurang jam 9.30 pagi. Sementara jawatankuasa pelaksana menyiapkan tempat, para peserta diberi masa untuk bersarapan selama 30 minit sebelum bersiap-sedia untuk acara-acara yang disusun.

Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis, Ustazah Intan Mastura Adam. Diikuti ucapan naib pengerusi HEWI KPT, Ustazah Nadiah Remli, seterusnya Ustazah Umi Masmira Mat Ali selaku Ketua Naqibah, dan ucapan Ketua Unit Dakwah HEWI KPT, Ustazah Nursyazwani Jusoh. Majlis diteruskan dengan acara pertama, akademi da'ie yang diwakili oleh 3 orang peserta dari kumpulan yang berbeza untuk memberi tazkirah kepada sidang hadirin. Kemudian, acara perbahasan dari kumpulan liqa' yang digabung menjadi 5 kumpulan sahaja, membahaskan tentang penekanan biah solehah yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Majlis kemudian diserikan dengan sukaneka yang menggunakan konsep 3 dalam 1, iaitu menggunakan belon, bola dan kain batik. Acara seterusnya pula ialah telefon buruk, di mana para peserta dibahagikan 8 kumpulan dan menyampaikan mesej yang diberikan kepada orang pertama dengan melihat hasilnya pada orang terakhir.

Acara terakhir, bertukar-tukar hadiah adalah acara yang paling ditunggu-tunggu. Setiap individu mestilah saling berhubung, mengambil berat dan bertanya khabar kepada orang yang meberi dan diberi hadiahnya, dengan tujuan mengukuhkan lagi persaudaraan dan membuang sikap mementingkan diri, disamping menghidupkan biah solehah dalam kehidupan seharian.


Majlis berakhir dengan bergambar kenangan beramai-ramai dan bersurai sekitar jam 1 petang. Sekalung terima kasih Saf HEWI ucapkan kepada seluruh yang hadir menjayakan program Liqo' Fuad ini secara langsung atau tidak langsung, jawatankuasa pelaksana program, musyrif, madam, serta seluruh ahli yang turun padang. Moga program ini mencapai objektif yang digariskan.

Thursday, April 22, 2010

Liqa' Fuad


Jemput sleruh ahli HEWI KPT yang berkelapangan untuk bersama beramai-ramai menghadirkan diri. Sila berkumpul di hadapan asrama 10 minit sebelum bertolak. Pelbagai acara menarik disediakan. Peringatan untuk membawa hadiah masing-masing. Sekian untuk makluman.