PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, January 23, 2011

Khidmat Tempahan Kitab Ma'radh 2011



Sempena Ma’radh Kitab Antarabangsa kali ke-43 yang akan berlangsung pada 29 Januari 2011 hingga 8 Februari 2011, Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) menawarkan khidmat tempahan kitab kepada seluruh mahasiswa/wi di Mesir.

Sesiapa yang berminat, sila dapatkan borang tempahan kitab bermula pada 21 Januari 2011 daripada Bendahari KPT Mesir [+20140435469] (ikhwah), Bendahari HEWI [+20119834344] (akhawat) atau boleh dimuat turun melalui Web Rasmi KPT Mesir.



Klik link di bawah untuk muat turun borang (PDF):-
http://www.4shared.com/document/qteIhsNA/Borang_Tempahan_Kitab_Maradh_2.html

Tarikh tutup penghantaran borang ialah pada 31 Januari 2011.

Saturday, January 22, 2011

MAKLUMAN : PENGERUSI UNIT BAIT MUSLIM DAN HISBAH KPT MESIR

Dengan sukacitanya pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) ingin memaklumkan berkenaan dengan perlantikan Pengerusi Unit Bait Muslim (UBM) dan Unit Hisbah KPT Mesir sesi 2010/2011.

Pihak KPT Mesir telah melantik Saudara Nik Rosdi bin Nik Jusoh(gambar) sebagai Pengerusi UBM dan Unit Hisbah untuk sesi ini. Perkara ini telah diputuskan oleh mesyuarat EXCO KPT yang lalu.

Untuk makluman UBM dan Hisbah KPT adalah berada di bawah Jabatan Yang Dipertua KPT. Ianya berfungsi sebagai antara elemen penting dalam memelihara syariat Islam dalam kalangan masyarakat mahasiswa.

Oleh yang demikian, diharapkan dengan makluman ini lebih memudahkan lagi segala masalah yang berkaitan dengan UBM dan Hisbah terutamanya.

Selamat menjalankan amanah,

Sekian, wassalam.

“BERILMU DAN BERAMAL”
“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”

ABDULLAH HARIS BIN ZAKARIA
Setiausaha,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),
Sesi 2010/2011

Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Hayyu Asyir, Kaherah.

Tuesday, January 18, 2011

Meninggal Dunia Akibat Kebocoran Gas : KPT Mesir Ucap Takziah

ISKANDARIAH, 17 Jan – Kepimpinan Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) merakamkan ucapan takziah atas musibah yang menimpa mahasiswi perubatan tahun tiga Iskandariah, Almarhumah Nurul Iman Bt Ab Alim yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.

Beliau telah disahkan meninggal dunia pada jam 10.15 pagi di Hospital Salamah setelah dikejarkan ke hospital tersebut. Pihak hospital juga telah mengesahkan bahawa almarhumah mengalami keracunan gas (Carbon Monoxide Poisoning) berpunca daripada kebocoran gas pemanas air di rumah sewanya.

Sehubungan dengan itu, YDP KPT Mesir mengingatkan kepada ahli terutamanya yang tinggal di rumah sewa agar menjaga dan sentiasa memeriksa pengudaraan tandas atau bilik mandi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Untuk makluman selanjutnya boleh layari web PMRAM atau perubatan Iskandariah. Pihak KPT Mesir mendoakan semoga almarhumah ditempatkan bersama para solihin.

Wednesday, January 12, 2011

Kronologi Khas Isu BKAN Melaka

KRONOLOGI PROVOKASI PENUKARAN
BADAN KEBAJIKAN KELUARGA ISLAM MELAKA MESIR (BKKIMM)
KEPADA SUATU KOMUNITI BARU YANG DIBERI NAMA
IKATAN MAHASISWA ANAK MELAKA (IMAM)

28.12.2010 Selasa
11.00 pagi

• Bertempat di kediaman rasmi Y.Bhg TYT Prof Madya Dr. Fakruddin Bin Abdul Mukti, YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Bin Mohd Rustam telah menyatakan di dalam ucapannya untuk menukar persatuan yang sedia ada ( BKKIMM ) kepada persatuan baru yang tiada kaitan dengan PMRAM yang dianggap sebagai persatuan yang mirip kepada parti pembangkang.

• Di dalam ucapan YAB Datuk Seri juga telah mengumumkan persatuan yang bakal menggantikan BKKIMM diberi nama Ikatan Mahasiswa Anak Melaka ( IMAM ).

• Di dalam ucapannya juga, beliau turut menyifatkan bahawa persatuan dan orang-orang lama di dalam BKKIMM sekarang adalah hipokrit.

• Para delegasi Kerajaan Negeri Melaka dan Pegawai EM, Encik Khairi Jalaluddin yang turut serta di dalam majlis ucapan beliau turut menyokong apa yang diperkatakan YAB Datuk Seri.

12.00 tengah hari
• Maklumat diterima daripada perbualan para delegasi Kerajaan Negeri bahawa selepas majlis di kediaman Y.Bhg TYT Datuk Duta, YAB Datuk Seri akan mengadakan lawatan ke Wisma Melaka (rumah lama) sejurus selepas majlis tersebut berakhir.

• AJKT BKKIMM yang tidak bersama dalam majlis tersebut telah dimaklumkan oleh YDP berkenaan perkara tersebut dan mereka bergegas ke Wisma Melaka untuk bersiap sedia menerima lawatan tersebut.

2.45 petang
• Para delegasi telah tiba di Wisma Melaka bagi menyambut ketibaan YAB Datuk Seri.

3.30 petang
• Ketibaan YAB Datuk Seri di Wisma Melaka dan perbincangan berkenaan status Wisma telah dijalankan secara tidak langsung.

8.00 malam
• Ketibaan YAB Datuk Seri di Wisma Melaka Baru untuk merasmikan bangunan tersebut.

• Program Majlis Perasmian Bangunan baru bermula. YAB Datuk Seri telah memberi ucapan perasmian dan telah menyampaikan hadiah kepada mahasiswa/wi yang telah berjaya dalam peperiksaan sesi lepas.

•Jamuan makan malam.

11.30 malam
• Majlis dialog anak-anak Melaka di Mesir bersama YAB Datuk Seri. Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Abu Bakar Bin Abdul, Pengurus Besar TAPENM.

• Sebanyak enam soalan telah diajukan kepada YAB Datuk Seri.

• Diantara soalan yang telah diajukan adalah mengenai ucapan YAB Datuk Seri pada majlis di kediaman rasmi Y.Bhg TYT untuk menukarkan persatuan yang telah sedia ada kepada persatuan yang baru.

• YAB Datuk Seri telah menyatakan bahawa perkara itu benar dan beliau telah berbincang dengan para delegasi kerajaan negeri serta Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir untuk menubuhkan persatuan baru yang dinamakan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka ( IMAM ).

• Beliau beranggapan bahawa persatuan yang telah sedia ada mempunyai kerjasama yang rapat dengan PMRAM, yang dianggap satu persatuan yang berhaluan kiri.

• Dalam ucapannya juga, beliau telah menyatakan bahawa BKKIMM telah diberi masa 10 tahun bermula pada tahun 2000 untuk memutuskan hubungan dengan PMRAM akan tetapi BKKIMM gagal melaksanakannya. Beliau juga mendakwa bahawa perlembagaan BKKIMM masih meletakkan PMRAM sebagai penaung.

• Seramai lapan ahli BKKIMM telah bangun memberi respon mengenai kenyataan YAB Datuk Seri itu. Semua yang memberi respon tidak bersetuju dengan penubuhan IMAM kerana mereka percaya bahawa persatuan yang telah sedia ada iaitu BKKIMM sudah memadai dan telah menaungi anak-anak Melaka di Mesir sejak tahun 1976 lagi.

• Di antara respon yang telah diberikan ialah BKKIMM tidak bekerjasama dengan PMRAM secara langsung akan tetapi hanya mengambil beberapa manfaat daripada persekutuan tersebut iaitu mengenai pendidikan, kebajikan dan hisbah. Ini adalah untuk kepentingan anak-anak Melaka sendiri dan perkara tersebut telah dipersetujui oleh Pegawai Hal Ehwal Dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir dalam mesyuarat bersama AJKT BKKIMM.

• Majoriti ahli-ahli BKKIMM yang hadir dalam majlis dialog tersebut ( merangkumi mahasiswa pengajian islam dan perubatan ) turut memberi sokongan dengan berdiri beramai-ramai ketika diminta berbuat demikian. YDP BKKIMM, Us. Harman Bin Hassan telah menenangkan keadaan dan meminta semua ahli untuk duduk kerana beliau percaya bahawa YAB Datuk Seri datang ke Mesir dengan niat yang baik serta pintu perbincangan bersama YAB Datuk Seri masih lagi terbuka.

• Walaupun sokongan untuk mengekalkan BKKIMM sangat kuat dan menolak IMAM, YAB Datuk Seri menegaskan beberapa kali bahawa ini adalah keputusan muktamad Kerajaan Negeri Melaka di mana persatuan yang ada sekarang (BKKIMM) tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.

• Melihat respon anak-anak Melaka yang cuba mempertahankan BKKIMM dengan soalan-soalan dan pertanyaan yang bertalu-talu, YAB Datuk Seri segera menamatkan sesi dialog tersebut.

1.00 pagi
• Sesi dialog tamat dan semua ahli masih lagi tidak berganjak daripada dewan.

• Ramai ahli yang masih lagi tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. AJKT cuba menenangkan ahli dan meminta supaya ahli mengadakan solat hajat dan berdoa supaya BKKIMM akan terus dipertahankan.

• Majlis bersurai.

29.12.2011 Rabu

5.00 petang
• Perjumpaan YAB Datuk Seri bersama anak-anak Melaka bertempat di Internasional Bowling Center (IBC), bertujuan untuk beramah mesra bersama anak-anak Melaka sambil mengadakan pertandingan bowling. Turut hadir pada pertemuan tersebut ahli-ahli Kelab Umno Mesir.

• Pada asalnya mengikut tentatif yang telah disusun oleh urusetia delegasi, perjumpaan YAB Datuk Seri khusus bersama anak-anak Melaka adalah pada hari rabu bertarikh 29.12.2010 jam 2.30 petang dan bukan pada malam 28.12.2010. Akan tetapi tentatif telah diubah di atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

9.00 malam
• Sesi dialog YAB Datuk Seri bersama AJKT BKKIMM dijadualkan pada ketika itu telah dibatalkan dengan alasan YAB Datuk Seri kesuntukan masa.


30.12.2010 Khamis

3.00 petang
•Perjumpaan yang dirancang oleh para delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bersama calon AJK bayangan IMAM, AJKT BKKIMM serta ahli-ahli BKKIMM dibatalkan oleh delegasi.

•Perjumpaan dimaklumkan akan ditunda pada waktu malam.

8.00 malam
•Perjumpaan sekali lagi dibatalkan oleh delegasi atas sebab-sebab yang tidak diketahui dan mereka telah mengadakan mesyuarat di rumah Puan Salwa Binti Jasman (kakitangan EM).

•Maklumat yang diterima, perjumpaan bersama para delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bersama calon AJK bayangan IMAM, AJKT BKKIMM serta ahli-ahli BKKIMM akan diadakan pada pagi esoknya.

31.12.2010 Jumaat
9.00 pagi
• Para delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir telah mengadakan perjumpaan dengan mahasiswa/wi perubatan tajaan TAPENM. Seramai lima siswa perubatan dan enam siswi yang hadir pada perjumpaan tersebut. Mereka telah diugut dengan pinjaman TAPENM jika tidak memberi kerjasama yang baik dengan IMAM.

2.00 petang
• Perjumpaan delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bersama mahasiswa/wi perubatan dijadualkan akan diadakan sekali lagi, tetapi telah diminta oleh salah seorang siswa perubatan agar perjumpaan tersebut melibat semua ahli-ahli BKKIMM. Pada awalnya delegasi tidak bersetuju dengan cadangan ini dan setelah diminta berkali-kali delegasi menerima permintaan tersebut.

• AJK bayangan IMAM yang dijangka akan diisytiharkan pada perjumpaan kali ini bertukar menjadi sesi dialog di antara ahli Melaka dengan delegasi.

• Di antara soalan yang telah diajukan ialah, adakah IMAM ini satu persatuan atau hanya sebagai satu komuniti pelaksana dan jika ia hanya sebagai satu komuniti pelaksana, maka ia tidak memerlukan pendaftaran ahli.

• Respon yang diberi oleh En. Abu Bakar Bin Abdul ialah, IMAM merupakan satu komuniti pelaksana bagi mengadakan program-program dan aktiviti-aktiviti. Ia bersifat universal dan akan diwujudkan di semua universiti tempatan di Malaysia.

• Di antara cadangan yang diajukan ialah, jika benar IMAM ini adalah satu persatuan pelajar, maka pemilihan AJKT IMAM mesti dibuat melalui pilihanraya. Akan tetapi cadangan ini ditolak mentah-mentah oleh para delegasi tanpa sebarang alasan.

1.1.2011 Sabtu

6.00 petang
• Kepimpinan BKKIMM telah mengadakan Majlis Sidang Media dan Majlis Penerangan Isu di Wisma Seri Melaka (rumah baru) bagi merungkai segala persoalan ahli-ahli BKKIMM serta seluruh mahasiswa di Mesir berkaitan isu ini. Dewan Wisma Seri Melaka telah dipenuhi oleh ahli-ahli BKKIMM serta beberapa wakil kepimpinan dari DPM dan BKAN yang turut memberi sokongan padu kepada BKKIMM.

• Rata-rata ahli luar yang hadir memberi jaminan bagi menawarkan beberapa sumbangan kepada ahli BKKIMM seperti tempat program jika ahli BKKIMM disekat berbuat demikian di Wisma Seri Melaka.

• Majlis tersebut turut meriah apabila mendapat ucapan dan kalam taujihat daripada wakil mantan kepimpinan Pusat dan mantan kepimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM). Mereka yang memberi ucapan turut menjelaskan berkenaan isu penarikan zakat yang pernah berlaku kepada anak-anak Selangor di Mesir. Jika perkara yang sama berlaku di Melaka, maka Melaka menjadi tempat kelima diugut sedemikian rupa selepas negeri Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

• Walau bagaimanapun majlis tersebut tidak dapat dihadiri oleh sebahagian siswi baru perubatan oleh kerana beberapa AJK bayangan IMAM (siswa) membawa siswi tersebut untuk makan malam di Baitulhasanah.

3.1.2011 Isnin

3.15 – 5.20 petang
• Berita dari Tanah Air : Delegasi kerajaan yang telah pulang ke Malaysia telah mengenakan serangan peribadi terhadap dua orang siswi serta seorang siswa Melaka di Mesir dengan mengatakan mereka telah terlibat dengan persatuan yang mempunyai agenda politik pembangkang tanpa sebarang bukti yang kukuh.

• Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir telah memanggil YDP BKKIMM untuk berbincang mengenai beberapa perkara berkenaan isu ini.

• Di dalam pertemuan tersebut, YDP telah meminta jaminan daripada Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bahawa tidak akan ada mahasiswa/wi yang ditarik pinjaman dan zakat dengan isu ini.

• Tiada sebarang respon daripada Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir berkenaan permintaan YDP BKKIMM ini sebaliknya Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir telah membuka perbincangan berkenaan hal lain.

4.1.2011 Selasa

7.00 pagi
• Roadshow Penerangan Isu BKKIMM ke muhafazah Zagaziq bagi menerangkan isu provokasi penukaran BKKIMM kepada IMAM.

3.00 petang
• Roadshow berlangsung di muhafazah Mansurah.

9.00 malam
• Roadshow berlangsung di muhafazah Tanta.

6.1.2011 Khamis

8.00 pagi
• Berita dari Tanah Air : Sekali lagi berlaku serangan peribadi terhadap seorang lagi siswi Melaka di Mesir oleh seorang pegawai kerajaan negeri yang merupakan delegasi ke Mesir. Siswi tersebut juga telah diberi amaran keras dan akan ditarik pinjaman dan zakat (TAPENM) jika masih bersama BKKIMM.

sumber : www.pmram.org
Web Rasmi Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Friday, January 7, 2011

JANGAN TERLIBAT DENGAN RUSUHAN


KAHERAH 5 Jan – Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime meminta seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam di Mesir untuk tidak terlibat dengan sebarang rusuhan yang diadakan di Mesir.

Beliau menegaskan perkara tersebut ekoran kejadian ledakan bom yang berlaku di hadapan gereja di Sidi Birsh, Iskandariah, Mesir baru-baru ini.

Katanya, Pihak Keselamatan Mesir menghubungi beliau dan meminta seluruh mahasiswa-mahasiswi Malaysia untuk tidak melibatkan diri sekiranya berlaku rusuhan oleh warga tempatan.

“Ketika berhubung dengan Pihak Keselamatan Mesir, saya diminta untuk memberi sebarang laporan kejadian yang melibatkan keselamatan mahasiswa-mahasiswi Malaysia. Oleh itu, sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, terus maklumkan perkara tersebut kepada presiden”, ujar beliau dalam satu kenyataannya pada hari ini.

Selain itu tambahnya lagi, Pihak Keselamatan Mesir juga menyuruh agar mahasiswa-mahasiswi Malaysia lebih berhati-hati ketika keluar dari rumah dengan membawa dokumen pengenalan diri seperti pasport, kad matrik universiti atau kad ahli PMRAM.

Beliau menegaskan, sikap culas segelintir mahasiswa-mahasiswi Malaysia untuk membawa dokumen tersebut akan menyusahkan beberapa pihak sekiranya berlaku penangkapan oleh Pihak Keselamatan Mesir.

Menurutnya, kejadian yang mengorbankan 21 nyawa tersebut merupakan suatu yang menyedihkan. PMRAM mengharapkan agar insiden yang berlaku ini bukanlah suatu perancangan yang bertujuan untuk memperlagakan antara dua agama.

Tambahnya, sesungguhnya Islam mengajar umatnya untuk bersikap toleransi dan saling hormat mengormati antara satu sama lain. Sikap inilah yang diterapkan oleh PMRAM dalam setiap pembawakan aktiviti dan program yang dilaksanakan.

Sumber : Web Rasmi PMRAM.

Monday, January 3, 2011

PUTERI SULUNG PENGHIBUR HATI

KAHERAH, 29 DIS – Di saat semua mahasiswa berada dalam kegelisahan dek kerana imtihan semakin hampir, seorang ahli HEWI KPT MESIR telah digembirakan dengan kelahiran seorang puteri. Ustazah Suhaibah Mustafa telah selamat melahirkan seorang puteri sulungnya di Hospital Rahmah pada 29 Disember baru-baru ini. Walaupun terpaksa menjalani pembedahan, namun kesakitan beliau terubat setelah menatap wajah puterinya yang seberat 3.3 kilogram itu. Pihak HEWI KPT MESIR mengucapkan sekalung tahniah kepada Ustazah Suhaibah Mustafa beserta suami, Ustaz Ismail Ibrahim di atas kelahiran puteri sulung mereka ini. Semoga Ustazah Suhaibah segera sembuh dan dapat menjalani peperiksaan yang semakin hampir dengan baik.