PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, November 29, 2011

OPS MESRA HISBAH Mendekati Ahli

Kaherah, 26 Nov - Unit Operasi Hisbah PMRAM telah menjalankan program Ops Mesra bermula awal November. Rentetan daripada itu, Unit Operasi dan Siasatan Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu (KPT) Mesir dengan kerjasama sukarelawan Ops Mesra telah mengunjungi rumah sewa mahasiswi perubatan bertempat di Bawabah 1, Hayyu Asyir.

Ops Mesra ini disertai oleh wakil Hisbah PMRAM, Naib Pengerusi bersama 2 orang wakil AJK HEWI KPT Mesir, Timbalan Unit Operasi dan Siasatan bersama Timbalan Unit Penerangan Hisbah KPT Mesir, dan 5 orang sukarelawan.

Mahasiswa Agen Pengislah Masyarakat dan Ummah





Mahasiswa merupakan nadi masyarakat. Mereka dilihat sebagai pemimpin masa depan yang bakal menggantikan pemimpin pada hari ini. Merekalah yang diyakini akan membarisi tampuk pemerintahan negara. Kuasa mahasiswa sangat besar dan mereka mempunyai pengaruh tersendiri dalam masyarakat kerana mereka adalah golongan intelektual dan terpelajar.
Atas dasar itulah mereka mempunyai tanggungjawab yang begitu besar terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama. Peranan paling besar yang perlu dimainkan oleh mahasiswa itu ialah peranan mereka terhadap agama sendiri, yakni Islam. Antaranya ialah :-
1- Amanah dengan ilmu mereka tanpa menyembunyikan kebenaran.
2- Berpegang teguh dengan akidah Islamiah.
3- Melaksanakan kerja Islam dan beriltizam dengan jemaah Islam.
4- Berakhlak dengan akhlak Islami.
5- Turun ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan agama.
6- Tahu, faham dan beramal dengan seluruh ajaran agama.

Wahai Muslimah, Dimanakah Batasan Kalian?



      Berapa ramai daripada kita yang menyedari tentang batasan manusia yang tertakluk untuk memelihara dua   bentuk hubungan iaitu hubungan dengan Allah S.W.T (Habluminallah) dan hubungan sesama manusia (Habluminannas). Ketika menerima taklifan ini, firasat mengatakan bahawa semua remaja yang sudah baligh, berakal dan berpendidikan begitu makruf dan memahami situasi ini, lebih-lebih lagi jika individu tersebut pernah belajar tentang hukum hakam dalam Islam, pernah mengambil subjek agama Islam di setiap peringkat sekolah dan merupakan antara seseorang yang mendalami ilmu agama Islam itu sendiri.
        Dalam Islam, konteks pergaulan adalah luas dan merangkumi segenap aktiviti harian kita seperti dalam urusan jual beli, menuntut ilmu, kerja, perubatan, penyaksian di mahkamah dan sebagainya. Kita digalakkan untuk mengenali antara satu sama lain dengan firman Allah S.W.T;
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra dengan yang lain)…” [Surah Al-Hujurat: 13]

Monday, November 28, 2011

Makluman Berkenaan Penghantaran Borang Bantuan Dermasiswa Zakat MAIDAM


Sukacitanya dimaklumkan bahawa Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir sesi 2011/2012 akan membuka kaunter secara rasmi untuk penghantaran permohonan baru Borang Bantuan Dermasiswa Zakat MAIDAM daripada mahasiswa Terengganu di Mesir.
Merujuk kepada makluman berkenaan Bantuan Dermasiswa Zakat MAIDAM yang dikeluarkan pada 14 November 2011 melalui Web Rasmi KPT Mesir, KPT Mesir telah berbincang dengan pihak MAIDAM dan memutuskan untuk melanjutkan lagi tempoh penerimaan borang tersebut ekoran daripada suasana politik dan pilihanraya di Mesir.

Sunday, November 27, 2011

GOTONG- ROYONG SEMPENA MAAL HIJRAH 1433H

Kaherah, 26 November – Bersempena 1 Muharam, Unit Perumahan  Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) telah mengadakan gotong-royong membersih tangga paras sebagai satu momentum kepada perubahan yang lebih baik; memastikan persekitaran sentiasa dalam keadaan aman dan bersih.

Gotong- royong bermula seawal jam 7 pagi dan dimulakan dari paras 5; paras teratas. Aktiviti pembersihan dibuat di sekitar kawasan rumah masing-masing, iaitu tangga dan koridor di setiap paras.Ahli HEWI telah bertungkus-lumus memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan aktiviti gotong-royong pada kali ini.Aktiviti ini berakhir sekitar jam 8.45 pagi.

AHLAN WASAHLAN KE BUMI ANBIYA’


KAHERAH, 26 NOVEMBER - Pihak Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu (KPT) Mesir mengucapkan Selamat Datang kepada ahli HEWI ke bumi Mesir; Ardhul Kinanah.

Seramai tiga orang akhawat telah selamat tiba di lapangan terbang Kaherah  jam 5.30 pagi ini.
Kedatangan mereka melengkapkan bilangan ahli HEWI yang menginap di Kompleks Hayyu Asyier.

 Bersama rombongan ini juga, pihak AJK HEWI berbesar hati menyambut kedatangan Ketua Unit Dakwah HEWI KPT; Saudari Mardhiah Nordin yang akan berada di saf kepimpinan untuk sesi kepimpinan kali ini.

Semoga semua ahli dapat menumpukan perhatian untuk menghadapi imtihan yang bakal menjelang serta menjaga keselamatan diri masing-masing.

Saturday, November 26, 2011

IJTIMA’ USBUIE : KE ARAH MEMPERKASAKAN BIAH SOLEHAH

KAHERAH, 25 NOVEMBER 2011- Biro dan Unit Dakwah Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu sekali lagi telah berjaya menganjurkan program mingguan KPT, Ijtima’ Usbuie. Berbeza dari minggu sebelumnya, program pada minggu ini diadakan berbentuk tayangan video bagi menarik minat ahli untuk turut sama menghadirkan diri.

Sebanyak empat buah video dipaparkan kepada hadirin berkisar mengenai Biah Solehah. Antara aspek yang ditekankan ialah berkenaan pengurusan masa yang efektif bagi menjana insan berkualiti, kepentingan solat walau dalam apa jua situasi yang dihadapi, pembentukan syakhsiah serta berbakti kepada ibu bapa.

Majlis diselangselikan dengan ulasan ahli yang berkisar mengenai  video yang telah ditayangkan.
Pihak KPT mengharapkan agar ahli dapat menerapkan nilai-nilai murni yang diperoleh daripada program ini, dan terus memberi komitmen sepenuhnya bagi menjayakan program-program yang diadakan.

Friday, November 25, 2011

KELEBIHAN & FADHILAT BULAN ZULHIJJAH

Setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T kerana berada di bulan yang mulia ini iaitu bulan Zulhijjah. Selawat dan salam keatas baginda junjungan Nabi Muhammad S.A.W. serta ahli keluarga, para sahabat dan umat manusia.
Apakah keutamaan bulan Zulhijjah?
1. Bulan Zulhijjah merupakan hari yang penuh dengan keberkatan. Sebagaimana firman Allah swt :
Ertinya : “Demi fajar. Dan malam yang sepuluh.”          (Surah al Fajr : ayat 1- 2)
Pendapat daripada Ibnu Abbas. Rasulullah saw menggalakkan bagi setiap muslim memperbanyakkan amal soleh dan ketaatan di bulan Zulhijjah. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa baginda S.A.W pernah bersabda, “Tidaklah ada hari-hari yang beramal soleh di dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari-hari ini, iaitu di bulan zulhijjah, para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, tidak pula jihad di jalan Allah? Beliau baginda S.A.W menjawab, “tidak pula jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa dan harta lalu orang itu kembali dengan tidak membawa sesuatu pun”.

Wednesday, November 23, 2011

SYEIKH AL-AZHAR HARAP POLIS TAMATKAN KEGANASAN


Syeikh Al-Azhar- Dr Ahmed Al-Tayeb dalam satu kenyataan hari ini menyeru pimpinan polis Mesir mengeluarkan perintah agar menghentikan tindakan mengarahkan senjata dan menembak penunjuk perasaan yang menuntut perubahan demokratik. Beliau juga menggesa agar penunjuk perasaan agar mengekalkan demonstrasi aman dan angkatan tentera elakkan konfrontasi antara rakyat.

Menurut Kementerian Kesihatan melalui laporan televisyen Al-Arabiya, keganasan yang berlaku pada hari Sabtu yang lalu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 35 orang maut, manakala 3 orang terbunuh pada hari Rabu.

Al-Azhar juga menyeru pemuda yang berada di Tahrir dan semua penguasa di Mesir untuk mengekalkan keamanan dalam revolusi ini, walaupun mereka perlu berkorban dan menghadapi kesukaran untuk melindungi semua harta awam dan swasta.



Sumber di olah : Islamtoday , Alarabiya

Sumber : map2care

KENYATAAN AKHBAR OLEH KEMENTERIAN LUAR NEGERI


KENYATAAN AKHBAR
PANDUAN PERJALANAN UNTUK RAKYAT MALAYSIA KE MESIR
Panduan perjalanan ini dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri pada 22 November 2011 untuk rakyat Malaysia yang bercadang melawat Mesir dan rakyat Malaysia di negara tesebut.
Kementerian Luar Negeri Malaysia menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak berkunjung ke atau melalui Tahrir Square di Kaherah dan kawasan berhampiran, terutamanya pada hari Jumaat. Rakyat Malaysia juga dinasihati supaya mengelakkan lokasi-lokasi “panas” yang lain.
Kementerian Luar Negeri menyeru rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati mengenai keselamatan diri dan peka dan mematuhi sebarang arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir.
Rakyat Malaysia di Egypt adalah dinasihatkan untuk berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, yang boleh dihubungi melalui talian nombor +00-202-37610013 / 19 / 68 / 73 atau alamat emel : malcairo@kln.gov.my.
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
WISMA PUTRA
PUTRAJAYA
22 November 2011

PRESS RELEASE
ADVICE FOR MALAYSIANS ON TRAVELS TO EGYPT
This travel advisory is issued by the Ministry of Foreign Affairs of Malaysia on 22 November 2011 for Malaysians who are travelling to Egypt and Malaysians in Egypt.
The Ministry of Foreign Affairs of Malaysia advises Malaysians to avoid travel to or through Tahrir Square in Cairo and its vicinity, especially on Fridays. Additionally, Malaysians are urged to avoid other potential hot spots.
Malaysians are also urged to always be vigilant of their personal security and adhere to any directives issued by the relevant Egyptian authorities concerning safety and security.
Further, Malaysians in Egypt are advised to register themselves with the Embassy of Malaysia in Cairo. The Embassy can be contacted at +00-202-37610013 / 19 / 68 / 73 or at e-mail address: malcairo@kln.gov.my.
MINISTRY OF FOREIGN AFFAIRS
WISMA PUTRA
PUTRAJAYA
22 November 2011

Monday, November 21, 2011

PMRAM Perjelas Isu Keselamatan Kepada Media Di Malaysia

KAHERAH, 21 Nov - Berikutan isu semasa politik tanah air Mesir yang berlaku, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menasihati kepada semua mahasiswa/wi Islam di Mesir agar tidak menimbulkan sebarang provokasi yang tidak benar mengenai keadaan semasa.
 
Ia berikutan apabila terdapat provokasi di salah satu media di Malaysia yang menggambarkan keadaan yang kritikal sehingga menyebabkan para ibu dan bapa panik mengenai keselamatan anak-anak mereka di Mesir.
 
PMRAM menegaskan bahawa keadaan keselamatan bagi mahasiswa/wi Islam di sini adalah masih terkawal bahkan pengajian di universiti masih berjalan seperti biasa.
 
Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman juga telah memaklumkan isu keselamatan semasa kepada pemberita Harian Metro yang telah menalifon beliau seawal jam 5 pagi waktu Mesir, semalam.
 
Selain itu, Presiden PMRAM juga telah dihubungi oleh pemberita Kosmo pada jam 11 pagi waktu Mesir dalam mendapatkan penjelasan yang sebenar mengenai kondisi keadaan mahasiswa/wi Malaysia di Mesir.
 
"PMRAM menegaskan agar pihak media Malaysia supaya mendapatkan informasi semasa mengenai isu di Mesir melalui saluran rasmi yang ada agar tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menyebabkan keadaan panik di kalangan ibu bapa," ujar beliau.
 
"PMRAM sentiasa memantau keadaan semasa yang berlaku dan PMRAM sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam mendapatkan informasi semasa," jelas beliau lagi.

Sunday, November 20, 2011

GARIS PANDUAN KESELAMATAN BIL. 2 TAHUN 2011





KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH
GARIS PANDUAN KESELAMATAN BIL. 2 TAHUN 2011
KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR

1. Maklumat Am

1.1. Garis Panduan Keselamatan Bil. 2 Tahun 2011 dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) kepada semua warga Malaysia di Republik Arab Mesir. Ia adalah merupakan susulan kepada Garis Panduan Keselamatan Bil. 1 Tahun 2011 yang dikeluarkan oleh KBMK pada 7 Mac 2011 berdasarkan kepada situasi politik dan ekonomi semasa Mesir.

2. Keadaan dan Maklumat Semasa

(A) Ringkasan Suasana Semasa

2.1. Semua pejabat Kerajaan, institusi pengajian, pusat kesihatan, premis perniagaan, perbankan dan sistem pengangkutan awam secara amnya masih beroperasi seperti biasa.

2.2. Pasukan polis telah mula kembali bertugas secara berperingkat. Namun, waktu tindak balas (response time) oleh pihak polis tidak menepati keperluan sebarang kecemasan. Kes-kes jenayah seperti kes-kes pecah rumah, pergaduhan serta jenayah yang melibatkan samseng jalanan semakin kerap dilaporkan. Keyakinan rakyat Mesir terhadap pasukan polis awam masih belum pulih sepenuhnya.

2.3. Pihak tentera masih berada di beberapa kawasan dan premis strategik seperti di luar bangunan-bangunan kerajaan. Peranan pihak tentera mengawal keamanan di bandar-bandar dilihat kurang berkesan dan tidak banyak membantu mengurangkann kes-kes jenayah.
 
2.4. Kekacauan ataupun keganasan masih berlaku termasuklah keganasan agama (sectarian violence) tetapi tertumpu kepada bandar-bandar dan kawasan-kawasan tertentu. Tunjuk perasaan dan mogok juga berlaku di tempat-tempat dan pada masa-masa tertentu. Tindakan tunjuk perasaan dan mogok yang diadakan oleh banyak golongan rakyat atas pelbagai alasan termasuk menuntut kenaikan gaji, mendesak Kerajaan Sementara (Interim) Mesir dan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) membuat pelbagai perubahan politik, ekonomi dan sebagainya dengan segera dan sebagainya, tidak membantu pemulihan ekonomi Mesir. Kehadiran para pelancong asing juga semakin berkurangan.

2.5. Beberapa kejadian tidak diingini yang menimpa mahasiswa-mahasiswi Malaysia baru-baru ini seperti perselisihan faham dengan tuan rumah yang disewa, kemalangan dan kematian sewaktu mengikuti aktiviti bukan akademik di luar pengetahuan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, boleh dijadikan teladan supaya warganegara Malaysia, khususnya mahasiswa-mahasiswi lebih mengambil berat tentang aspek keselamatan mereka dalam situasi semasa di Mesir.

2.6. Terdapat beberapa institusi seperti pusat-pusat pengajian swasta dan pejabat-pejabat korporat syarikat-syarikat antarabangsa telah mengumumkan akan menutup operasi mereka pada tarikh-tarikh tertentu semasa Pilihanraya Parlimen Mesir diadakan sebagai langkah berjaga-jaga.

(B) Peralihan kepada Pemerintahan Awam

2.7. Majlis Tertinggi Angkatan Tentera dan Kerajaan Sementara (Interim) Mesir telah menetapkan bahawa Pilihanraya Parlimen Mesir akan diadakan secara berperingkat mulai bulan November 2011 sehingga bulan Mac 2012. Pilihanraya Parlimen yang terdiri daripada People’s Assembly dan Majlis Shoura ini telah dimulakan dengan penamaan calon mulai 12 hingga 24 Oktober 2011
.
2.8. Secara ringkasnya, Pilihanraya People’s Assembly akan diadakan secara berperingkat mengikut Governorates (Muhaffazah) pada 28 November 2011, 14 Disember 2011 dan 3 Januari 2012. Pilihanraya Majlis Shoura pula akan diadakan pada 29 Januari 2012.

2.9. Setiap peringkat Pilihanraya People’s Assembly akan melibatkan sembilan (9) Governorates (Muhaffazah) seperti berikut:

2.9.1. Peringkat Pertama pada 28 November 2011 – Cairo, Alexandria, Damietta, Fayoum, Port Said, Kafr El-Sheikh, Assiut, Luxor dan Red Sea.

2.9.2. Peringkat Kedua pada 14 Disember 2011 – Giza, Menoufiya (Shibin El-Kom), Sharqiya (Zaqazik), Beheira (Damanhur), Beni Suef, Ismailiya, Suez, Sohag dan Aswan.

2.9.3. Peringkat Ketiga pada 3 Januari 2012 – Gharbiya (Tanta), Daqahliya (Mansurah), Minya, Qalioubiya, North Sinai, South Sinai, Marsa Matrouh, Qena dan New Valley.

3. Langkah-langkah Keselamatan

3.1. Semua warganegara Malaysia disarankan untuk mematuhi nasihat-nasihat berikut:

(A) Pencegahan

3.1.1. Menghindari kawasan tumpuan perhimpunan dan tunjuk perasaan seperti Dataran Tahrir, premis Kerajaan strategik seperti Kementerian Penerangan (Maspero), Pejabat Perdana Menteri, Pejabat-pejabat Gabenor (Muhaffiz) dsb;

3.1.2. Tidak melibatkan diri dalam sebarang jenis perhimpunan yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan sama ada di tempat terbuka atau tertutup atau dalam ataupun luar kampus universiti;

3.1.3. Mengelakkan daripada memberikan sebarang komen ataupun ulasan mengenai politik dalam Mesir kepada mana-mana individu, parti-parti politik dan organisasi Mesir dan asing. Situasi semasa di Mesir adalah merupakan hal ehwal rakyat Mesir semata-mata;

3.1.4. Menghadkan sebarang pergerakan ke tempat (venue) dan aktiviti terutamanya pada hari Jumaat yang tidak berkaitan dengan pengajian ataupun tugas pekerjaan termasuklah ceramah politik Mesir dan rapat umum yang tidak ada kaitan dengan negara Malaysia;

3.1.5. Mengelakkan dari berjalan-jalan / bersiar-siar di waktu malam ataupun berjalan berseorangan terutamanya bagi para mahasiswi;

3.1.6. Elakkan dari terlibat dalam pertengkaran yang boleh membawa pergaduhan dengan mana-mana anggota masyarakat tempatan yang kini bersemangat ‘revolusi’. Elakkan dari mengambil tindakan bersendirian yang boleh mengundang ancaman keselamatan diri dan nyawa;

3.1.7. Mengelakkan daripada mewujudkan suasana yang tidak tenteram dengan mempercayai dan menyebarkan khabar-khabar angin (hearsay / rumours) melalui sistem pesanan ringkas (SMS), laman sesawang seperti Facebook, Yahoo! messenger, blog dan email. Adalah dinasihatkan supaya segala khabar angin disemak kesahihannya dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian.

3.1.8. Mahasiswa-mahasiswi dan para pelajar mestilah mendapat pandangan dan kelulusan daripada Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan, sebelum mengikuti ataupun mengadakan sebarang aktiviti sama ada secara individu ataupun berkumpulan di luar kawasan tempat pengajian. Persatuan-persatuan dan Badan-badan Kebajikan Pelajar juga disarankan supaya menangguhkan aktiviti-aktiviti di luar kawasan kediaman dan kampus sehingga pilihanraya selesai melainkan setelah mendapatkan sokongan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian.

(B) Persediaan

3.1.9. Setiap warganegara Malaysia (yang bukan mahasiswa-mahasiswi/ pelajar) yang berada di Mesir dinasihatkan supaya mendaftarkan diri dengan Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah melalui salah satu daripada kaedah berikut:

3.1.9.1. Mengisi borang secara atas talian (online) di http://www.kln.gov.my/web/guest/ekonsular ; atau

3.1.9.2. Mengirim emel dengan menyertakan butir-butir peribadi dan alamat perhubungan kepada alamat emel; malcairo@kln.gov.my ; atau

3.1.9.3. Menghubungi Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada waktu pejabat di nombor telefon (002) 02 3761 0013 (Encik Ahmed el Wassiff, Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah).

3.1.10. Bagi mahasiswa-mahasiswi/pelajar Malaysia yang berada di Mesir, sila layari laman web Pejabat Education Malaysia Egypt untuk membuat pendaftaran di http://www.educationmalaysiaegypt.net. Pejabat Education Malaysia Egypt juga boleh dihubungi di alamat emel: educationmalaysiaegypt@gmail.com.

3.1.11. Mematuhi sebarang arahan keselamatan termasuk perintah berkurung yang dikeluarkan oleh Kerajaan Mesir;

3.1.12. Mengutamakan keselamatan diri dan menyimpan dokumen-dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan Malaysia dsb serta barang berharga di tempat yang selamat;

3.1.13. Sentiasa peka dan berwaspada kepada persekitaran dan mengemaskini maklumat semasa melalui media massa dan arahan-arahan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah;

3.1.14. Menyimpan bekalan makanan dan minuman untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga (3) hari sepanjang tempoh pilihanraya. Selain itu, kad tambah nilai prabayar telefon dan wang saku tambahan disediakan dengan sewajarnya;

3.1.15. Memperkukuhkan tahap keselamatan tempat kediaman termasuk menggunakan mangga dan kunci yang bersesuaian. Selain itu, memastikan pintu rumah dan tingkap sentiasa ditutup rapat dan dikunci sebelum meninggalkan rumah;

3.1.16. Memastikan supaya dokumen pengenalan diri seperti kad pelajar universiti dan kad pelajar yang dikeluarkan oleh Education Malaysia Egypt ataupun pasport dibawa bersama apabila melakukan perjalanan keluar daripada rumah / kediaman. Bagi pemegang pasport Malaysia pula, perlulah memastikan supaya visa yang berkenaan masih sah berlaku;

3.1.17. Tidak keluar rumah atau tempat tinggal pada hari-hari pilihanraya dijadualkan dan keputusan diumumkan, melainkan perlu untuk menghadiri kuliah dan sebagainya. Namun sedemikian, perjalanan yang perlu dilakukan itu perlulah dipastikan keselamatannya dan mengelakkan daripada melalui kawasan-kawasan pengundian dijalankan dan keputusan pilihanraya diumumkan yang menjadi tempat perhimpunan orang ramai;

3.1.18. Memastikan anda dapat dihubungi dengan mudah dan sentiasa memberikan maklumat perhubungan anda yang terkini kepada Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (bagi warganegara Malaysia selain mahasiswa-mahasiswi / pelajar) dan Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan (bagi para mahasiswa-mahasiswi/ pelajar Malaysia).

4. Hal-hal Lain

4.1. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telahpun membuat persediaan yang sewajarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Oleh itu, kerjasama semua warganegara Malaysia amatlah mustahak supaya segala tindakan susulan yang dirancang akan dapat dilaksanakan apabila perlu, dengan lancar tanpa sebarang masalah yang tidak diingini.

4.2. Garis Panduan Keselamatan ini bukanlah jaminan keselamatan tetapi sebagai panduan untuk keselamatan diri warganegara Malaysia semasa berada di Mesir dan bagi mempermudahkan sebarang urusan bantuan sewajarnya dihulurkan sekiranya perlu.

4.3. Selaras dengan amalan diplomasi antarabangsa, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah adalah merupakan satu-satunya pusat rujukan warganegara Malaysia semasa berada di Mesir. Sebarang pertanyaan bolehlah dirujuk ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Agensi-agensi Kerajaan yang bernaung di bawahnya.

Kedutaan Besar Malaysia, Kaherah

Friday, November 18, 2011

MUZAKARAH BERKELOMPOK PEMANGKIN UMMAH GEMILANG

KAHERAH, 17 NOVEMBER – Biro dan Unit Dakwah Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu telah menganjurkan Majlis Perasmian Muzakarah Berkelompok bagi sesi 2011/2012. Bertempat di dewan Darul Iman, majlis yang bermula sekitar jam 7.40 malam turut dimeriahkan dengan kehadiran Badan Pengurus angkat; saudara Zulhafeez bin Ahmad Zahidi serta HEWI angkat; saudari Noor Akmaizan bt Yusof.

Berucap dalam sesi perasmian, saudara Mohd Zulhafeez menyifatkan bahawa muzakarah berkelompok adalah medan bagi melatih dan membentuk mahasiswa dan mahasiswi menjadi individu yang hebat dan terkehadapan dari segala aspek. Penggabungan ahli dari latar belakang pendidikan yang berbeza membolehkan mereka berkongsi ilmu sekaligus memantapkan lagi thaqafah masing-masing.

Memetik kalam Presiden PMRAM, beliau berkata , “PMRAM tidak mengharapkan orang yang hebat, tetapi PMRAM mengharapkan orang yang sanggup kerana hebat itu boleh dilatih, tetapi sanggup itu datang dari diri sendiri.”

Justeru, muzakarah berkelompok merupakan medan terbaik bagi membentuk ahli yang sanggup untuk menjadi lebih hebat di masa akan datang.


     

Wednesday, November 16, 2011

PROGRAM ZAKAT MAIDAM: Disiplin Ilmu Membentuk Insan Berkualiti

MANSURAH, 15 OKTOBER- Majlis Motivasi dan Pengagihan Zakat sesi kedua berlangsung hari ini.Sebelum ini,telah diadakan sesi pertama di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK). Bertempat di  Bangunan Yayasan Terengganu,majlis diramikan oleh Pengarah Educational Malaysian  of Egypt (EME), Prof Dr. Hj Sua’idi bin Dato' Hj Safie.

Sambil berucap, beliau menekankan isu keselamatan pelajar memandangkan pilihanraya Mesir bakal menjelang tidak lama lagi.Segala maklumat hendaklah berpusat kepada kedutaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam slot motivasi,antara aspek yang diberikan perhatian ialah disiplin pelajar dalam menuntut ilmu bagi memastikan mahasiswa yang lahir kelak adalah mahasiswa yang berkualiti,selaras dengan matlamat memperkasakan institusi ulama’- kualiti dan kuantiti.Jalinan ukhwah antara pelajar dan pihak MAIDAM juga hendaklah diperkemaskan dan lebih utuh dari sebelumnya.

Selain itu,turut diumumkan kadar baru bagi penerima zakat MAIDAM untuk pelajar perubatan dan pengajian Islam.

Untuk makluman lanjut,boleh rujuk laman web MAIDAM.

Monday, November 14, 2011

Makluman Berkenaan Permohonan Baru Bantuan Dermasiswa Zakat MAIDAM

Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan baru untuk Bantuan Dermasiswa Zakat MAIDAM telah dibuka. Sesiapa yang ingin berurusan pengambilan borang, sila datang ke pejabat KPT Mesir hari Ahad hingga Khamis dari pukul 1.00pm hingga 4.30pm. Penghantaran borang hendaklah dihantar selewat-lewatnya akhir bulan November 2011.
Sebarang makluman lanjut mengenai kaedah penghantaran borang Bantuan Dermasiswa Zakat MAIDAM akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Web Rasmi KPT Mesir.
Sebarang permasalahan, sila rujuk kepada  :-
1.   Setiausaha KPT Mesir, saudara Wan Mohd Khairuddin bin Wan Isa (+201140435469)
2.   Naib Setiausaha KPT Mesir, saudara Mohd Kamal bin Mohd Shah (+201116452575)
3.   atau Setiausaha HEWI KPT Mesir, saudari Naufal binti Kamaruddin (+201116035380)
Semoga makluman ini diambil perhatian yang sewajarnya daripada semua pihak dan lebih memudahkan urusan yang berkaitan. Segala kerjasama yang diberikan amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.
“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”
“BERIMU DAN BERAMAL”
Yang menjalankan amanah,
WAN MOHD KHAIRUDDIN BIN WAN ISA
Setiausaha,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.

Saturday, November 12, 2011

Delegasi MAIDAM, Seribu Satu Kebaikan

Kaherah, 11 Nov – Saf Kepimpinan Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) sesi 2011/2012 yang diketuai oleh saudara Ahmad Zuhhad Ataillah bin Abd Rahman, selaku Pengarah Program Motivasi & Pengagihan Dermasiswa Zakat MAIDAM 2011 telah menyambut mesra kedatangan Delegasi MAIDAM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir.

Turut hadir menyambut kedatangan Delegasi MAIDAM adalah saudara Mohd Riduan bin Abu Bakar, selaku Penasihat KPT Mesir sesi 2011/2012, saudara Ahmad Salikin bin Abd Rahman selaku Timbalan Yang Dipertua KPT Mesir dan beberapa orang AJKT KPT Mesir sesi 2011/2012.



Delegasi MAIDAM diketuai oleh Tuan Haji Abdul Aziz @ Ahmad bin Mohd selaku Ahli Majlis MAIDAM dan diiringi Encik Jusman bin Ibrahim selaku Ketua Penolong Setiausaha Khidmat Pengurusan MAIDAM serta Tuan Haji Abdul Halim Lim bin Abdul Rahman selaku Pengetua Kompleks Darul Hidayah MAIDAM.

Pihak KPT mengucapkan selamat datang kepada semua Delegasi MAIDAM. Semoga kedatangan Delegasi MAIDAM membawa seribu satu kebaikan kepada seluruh mahasiswa/wi Terengganu di bumi Mesir dan menghangatkan lagi ukhuwah antara pihak MAIDAM dan mahasiswa-mahasiswi Terengganu di bumi Anbiya’, Mesir.

Wednesday, November 9, 2011

RATNA 2011 : Perintis Kesatuan Mahasiswi Islam Asean

 
KAHERAH, 9 Nov - Agenda pembawakan HEWI PMRAM terus diperkukuhkan lagi dengan jalinan kerjasama WEHDAH PPMI dalam penganjuran sebuah program sempena E'dul Adha 1432H yang dikenali dengan RATNA 2011 (Rumah Terbuka Negara-negara Asean) .
 
Penganjuran RATNA 2011 juga mendapat kerjasama daripada negara-negara Asean yang berlangsung di Masjid Salam, Hayyu Asyir semalam.
 
Turut diundang wakil dari setiap wakil negara-negara Asean, PMRAM cawangan dan Indonesia. Kehadiran tetamu yang pelbagai latar belakang memeriahkan lagi suasana rumah terbuka ini.
 
Gandingan ucapan daripada 2 Presiden iaitu Saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman selaku Presiden PMRAM dan Saudara Abu Nashar Al-Bukhari selaku Presiden PPMI menghangatkan lagi suasana program yang julung kali diadakan ini.
 
Pelbagai pengisian gabungan diantara Malaysia dan Indonesia telah disajikan kepada para tetamu yang hadir.
 
Majlis disempurnakan dengan bacaan doa penutupan oleh Saudari Nurul Hasanah binti Yahuza selaku Naib Pengerusi Hewi II (Unit Dakwah dan Pembangunan Insan) seterusnya diakhiri dengan jamuan makan yang disajikan dengan pelbagai menu hasil gabungan 2 Negara.
 
" RATNA 2011 membuktikan bahawa HEWI PMRAM terus merencanakan agenda pembawaan HEWI PMRAM sesi ini ' Kesatuan Ukhuwah Manifestasi Tarbiah' agar ianya dapat dijayakan dengan semaksima mungkin sekaligus memperkukuhkan kerjasama yang sedia terjalin di antara negara-negara Asean, " ujar Saudari Nurlida Kelima selaku Timbalan Pengarah RATNA 2011.

Tuesday, November 8, 2011

Eidul Adha : PMRAM Bermesra Bersama Ahli

KAHERAH, 8 Nov - Kehangatan sambutan Eidul Adha disambut dengan ceria dan meriah di seluruh peringkat BKAN dan DPM.
Bermula dengan Hari Eidul Adha yang pertama (semalam), aktiviti penyembelihan dan gotong-royong sudah pun bermula di beberapa BKAN dan DPM serta Majlis Sambutan juga bermula sehingga hari yang keempat.
 
Pada tahun ini lebih 30 ekor unta manakala lebih 100 ekor kambing dikorban di seluruh BKAN dan DPM.
 
Pimpinan PMRAM Pusat yang terdiri daripada Badan Pengurus serta HEWI PMRAM juga tidak melepaskan peluang bermesra dengan semua ahli di Kaherah dan Muhafazah.
 
Badan Pengurus PMRAM dibahagikan kepada 2 kumpulan bagi meraikan Sambutan Eidul Adha bersama-sama dengan ahli di seluruh kawasan memandang jemputan yang banyak sehinggakan berlangusang pada masa yang sama.
 
Seramai 8 BP PMRAM yang ditugaskan untuk menjelajahi seluruh muhafazah di luar Kaherah yang menganjurkan majlis sambutan
 
Manakala 7 BP PMRAM ditugaskan untuk bersama-sama dengan ahli di Kaherah di seluruh BKAN.
 
Di samping itu, Badan Pengurus PMRAM juga sempat bersama-sama dengan ahli dalam aktiviti melapah daging.
 
Ini merupakan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh BP PMRAM dalam merapatkan ukhwah di kalangan pimpinan dan ahli.
 
"Menjadi kewajipan bagi pimpinan untuk bermesra dengan ahli kerana inilah ikatan ukhwah yang dijalinkan bagi meraih kesatuan antara dua pihak iaitu pimpinan dan ahli. PMRAM mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua BKAN dan DPM atas semangat ahli yang ditunjukkan dalam melaksanakan ibadah korban dan aktiviti bergotong royong. Kita PMRAM" ujar Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.