Assalamualaikum
warahmatullah wabarakatuh
Ribuan
kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih memberi peluang untuk
berada di atmosfera Islam dan bernafas di bumiNya. Selawat dan salam diucapkan
kepada baginda Rasulullah SAW utusan Allah memancarkan sinar Islam di pelusuk
dunia. Sabda Nabi Muhammad SAW;
من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
“Sesiapa yang ingin Allah berikan
kebaikan padaNya akan diberi kefaqihan dalam agama”
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Musim imtihan kembali
menjengah mahasiswa mahasiswi di Perlembahan Nil. Medan peperiksaan wajar
dijadikan sebagai salah satu platform menekuni setiap ilmu yang diperoleh di
samping mengukur kefahaman masing-masing.
Kefahaman
merupakan elemen penting dalam melaksanakan gerak kerja Islam sehingga Imam
Hasan al-Banna meletakkan al-Fahmu sebagai rukun baiah yang pertama.
Apabila telah tertanam kefahaman di dalam diri, maka disitulah titik pemula
untuk kita bergerak menjulang Islam sehingga ia kembali berada di puncak
tertinggi. Memetik satu kalam yang dinukilkan oleh Imam Syafie;
"Aku mampu berhujah dengan sepuluh orang yang berilmu
tapi aku pasti kalah berhujah dengan seorang yang jahil kerana seorang yang
jahil tidak pernah faham landasan ilmu."
Sahabat-sahabat sekalian,
Ingatlah bahawasanya di bahu kalian terpundak satu amanah yang besar
sebagai duta di tempat masing-masing kelak. Perjalanan menggali ilmu wajar didasari
dengan usaha yang gigih dan keikhlasan dalam meruntuhkan benteng kejahilan yang
bersarang dalam diri. Sahutlah seruan Allah melalui firmanNya;
فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي
الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ
يَحْذَرُونَ
“Mengapa
tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk
memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan
kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat
menjaga dirinya.”
(Surah at-Taubah 9:122)
Melihat kepada fenomena masyarakat semasa, maka kita akan menyedari
kepentingan melaksanakan tanggungjawab ini kerana kurangnya para penuntut ilmu
bergerak di lapangan mereka. Sorotilah perjuangan para sahabat yang menjadi
utusan menyebarluaskan ajaran Islam. Amru
bin al-Asr dan Abdullah bin Huzafah adalah nama-nama yang dirakam di langit
sejarah dalam menjadi ejen pengenalan Islam kepada umat manusia.
Mahasiswa mahasiswi sekalian,
Suka saya menyeru kepada semua agar menyahut subtopik yang kelima dalam
ucaptama Yang Dipertua; “Kecemerlangan Akademik Dan Thaqafah Teras Mahasiswa
Berkredibiliti”. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah meningkatkan
ubudiah kepada Allah dan menambah ilmu di dalam diri selaras dengan tujuan
penubuhan KPT Mesir iaitu; Meningkatkan ilmu pengetahuan, kefahaman dan
kesedaran dalam kalangan anggota. Pasakkan azam di dalam diri demi melihat
lahirnya generasi terbilang yang mampu mengulangi sejarah kegemilangan tamadun
ilmu zaman Abbasiah yang pernah berkilau suatu masa dahulu. Namun aspek
kemasyarakatan jangan pernah dilupa kerana itu antara sumber kekuatan yang kian
sirna.
Ayuh laksanakan pecutan memacu tali kefahaman untuk diterjemahkan ke dalam
medan yang ada. Jangan lupa meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada pemilik
segala kekuasaan. Firman Allah SWT yang
bermaksud;
"Katakanlah
(wahai Muhammad) Ya Allah! Engkau pemilik segala kekuasaan, Engkau memberi
kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabutnya dari
sesiapa yang Engkau kehendaki. Dan Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau
kehendaki dan Engkau menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Padamu kekuasaan
untuk mengurniakan kebaikan, sesungguhnya Engkaulah yang meliputi segala
kekuatan."
(Surah Ali Imran 3:26)
“Memartabat Keilmuan Memimpin
Kesatuan”
“Berilmu dan Beramal”
SITI AMINAH ISMAIL,
NAIB PENGERUSI,
HAL EHWAL WANITA ISLAM,
KELUARGA PENUNTUT-PENUNTUT TERENGGANU MESIR,
SESI 2013/2014.