KAHERAH 5 Jan – Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime meminta seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam di Mesir untuk tidak terlibat dengan sebarang rusuhan yang diadakan di Mesir.
Beliau menegaskan perkara tersebut ekoran kejadian ledakan bom yang berlaku di hadapan gereja di Sidi Birsh, Iskandariah, Mesir baru-baru ini.
Katanya, Pihak Keselamatan Mesir menghubungi beliau dan meminta seluruh mahasiswa-mahasiswi Malaysia untuk tidak melibatkan diri sekiranya berlaku rusuhan oleh warga tempatan.
“Ketika berhubung dengan Pihak Keselamatan Mesir, saya diminta untuk memberi sebarang laporan kejadian yang melibatkan keselamatan mahasiswa-mahasiswi Malaysia. Oleh itu, sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, terus maklumkan perkara tersebut kepada presiden”, ujar beliau dalam satu kenyataannya pada hari ini.
Selain itu tambahnya lagi, Pihak Keselamatan Mesir juga menyuruh agar mahasiswa-mahasiswi Malaysia lebih berhati-hati ketika keluar dari rumah dengan membawa dokumen pengenalan diri seperti pasport, kad matrik universiti atau kad ahli PMRAM.
Beliau menegaskan, sikap culas segelintir mahasiswa-mahasiswi Malaysia untuk membawa dokumen tersebut akan menyusahkan beberapa pihak sekiranya berlaku penangkapan oleh Pihak Keselamatan Mesir.
Menurutnya, kejadian yang mengorbankan 21 nyawa tersebut merupakan suatu yang menyedihkan. PMRAM mengharapkan agar insiden yang berlaku ini bukanlah suatu perancangan yang bertujuan untuk memperlagakan antara dua agama.
Tambahnya, sesungguhnya Islam mengajar umatnya untuk bersikap toleransi dan saling hormat mengormati antara satu sama lain. Sikap inilah yang diterapkan oleh PMRAM dalam setiap pembawakan aktiviti dan program yang dilaksanakan.
Sumber : Web Rasmi PMRAM.