Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian
alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sollallahu
‘alaihi wasallam dan para sahabat radhiyallahu ‘anhum.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana
masih lagi diberi dua nikmat yang terbesar iaitu iman dan Islam.
Sahabat sahabiah sekalian,
Putaran waktu terasa begitu laju beredar.
Imtihan fasa satu telah melabuhkan tirai setelah sebulan mahasiswa bersengkang
mata menatap buku-buku ilmiah. Namun, muhasabah buat diri kita sebanyak mana
ilmu yang dimanfaatkan hasil dari pembacaan tersebut.
Firman Allah S.W.T :
إِنَّا عَرَضْنَا
ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن
يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَٰنُ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ
ظَلُومًا جَهُولاً
Maksudnya: Sesungguhnya kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan
gunung-gunung, tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir
akan mengkhianatinya, lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya
manusia itu amat zalim dan bodoh.
Al-Ahzab : 72
Ayat
ini jelas menunjukkan beratnya amanah yang dipikul oleh manusia selaku khalifah
di dunia ini. Ia tidak boleh diingkari mahupun ditolak. Persoalannya, sejauh
manakah komitmen kita dalam melaksanakan taklifan tersebut?
Imam
Ghazali pernah menyatakan bahawa amanah adalah benda yang paling berat di dunia
ini. Malangnya, akibat tenggelam dalam nikmat dunia yang sementara membuatkan
manusia alpa akan tujuan sebenar keberadaan di bumi ini. Lantas, Allah
menghadirkan peringatan-peringatan di dalam al-Quran sebagai amaran kepada
sekalian makhluk agar berwaspada dengan ujian tersebut.
Dalam
konteks kita sebagai mahasiswa pula ialah tanggungjawab terhadap ilmu yang
dipelajari. Dasawarsa ini, ramai yang menyalahgunakan ilmu demi menjaga periuk
nasi masing-masing sehingga tersasar daripada matlamat sebenar iaitu ingin
mengeluarkan manusia daripada kejahilan kepada kebenaran.
Inilah
realiti yang berlaku sebahagian daripada kita pada hari ini. Ramai yang pulang
dengan tittle mahasiswa yang mempunyai ilmu agama tetapi tidak terjun ke
medan masyarakat. Mengapa fenomena ini berlaku? salah satu faktornya adalah
disebabkan kurang kemahiran bermasyarakat. Kemahiran ini dapat dipelajari
melalui keterlibatan dalam program-program anjuran persatuan khususnya KPT,
umumnya PMRAM. Keseimbangan antara
menuntut ilmu dan berpersatuan amat perlu agar tidak berlaku kepincangan dalam
kehidupan. Contohnya, seorang ayah memerlukan ilmu untuk membentuk keluarga
mengikut acuan Islam. Begitu juga negara
memerlukan pemimpin untuk melahirkan
masyarakat yang bermanhajkan islam.
Sebagaimana
firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Dan
tidak sepatutnya orang-orang Mukmin itu semuanya pergi ke medan perang. Mengapa
sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam
ilmu agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka
telah kembali, agar mereka dapat menjaga dirinya”.
Surah At-Taubah:122
Sedarlah
bahawa kita merupakan penyambung kepada mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W.
Justeru, sebagai penuntut ilmu agama Allah, perlulah kita amanah dengan ilmu
dengan menyebarkan kepada masyarakat agar mereka mengetahui syariat Allah yang
sebenar.
“MEMARTABAT
KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”
“BERILMU
DAN BERAMAL”
MUSFIRAH BINTI
ANUAR
Bendahari ,
Hal Ehwal Wanita
Islam,
Keluarga
Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.