PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, January 3, 2010

PERUTUSAN YDP SEMPENA IMTIHAN


"REALISASI KEJAYAAN"

Segala puji bagi Allah Taala yang mengizinkan kita semua untuk mengecapi dua nikmat yang sangat besar. Nikmat menyambut Hari Raya Aidiladha dan Maal Hijrah. Dua peristiwa yang memberi makna yang sangat besar dalam siri perjalanan dakwah Islam.

Sebagai permulaan, Salam imtihan kami ucapkan..

Berbekalkan hembusan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail ‘Alaihimassalam serta semangat Maal Hijrah, kita menghadapi musim imtihan sebagai medan untuk menguji setakat mana ingatan dan penguasaan terhadap ilmu yang dipelajari. Allah Taala menguji para utusanNya sebagai suatu contoh teladan untuk umat mereka. Imtihan dari Allah Taala hadir supaya mereka tidak terleka dengan tujuan mereka diciptakan.

Dunia sebagai jambatan menuju akhirat. Menuntut ilmu untuk mencari redha Ilahi. Selepas bertungkus-lumus mengutip mutiara-mutiara ilmu dari tunjuk ajar para ulama’ murabbi, imtihan hadir untuk menguji setakat mana ilmu itu telah diamalkan dalam diri. Begitulah diari perjalanan seorang penuntut ilmu, perlukan pengorbanan yang sangat tinggi. Bersedia untuk menghadapi ujian yang mendatang. Tidak boleh mengalah apabila ditekan. Seorang penuntut ilmu perlu berjiwa besar, mesti punyai rancangan dan strategi untuk mencipta kegemilangan.

Sabar dan istiqamah adalah dua kunci utama kejayaan seorang pencinta ilmu. Perjalanan menuntut ilmu adalah satu perjalanan panjang yang memerlukan kesabaran. Kesabaran itulah yang melahirkan istiqamah. Ramai yang mengalah di pertengahan jalan kerana tidak mampu untuk menahan rasa perit untuk memahami sesuatu ilmu yang dipelajari. Padahal,perit itu hanya sebentar kerana kemanisan sedang menanti apabila sampai ke destinasi.

Sekali lagi, Salam imtihan diucapkan….

Masa yang berbaki perlu digunakan sebaiknya sebagai persediaan untuk menghadapi imtihan yang bakal menjelang. Umat Islam diajar supaya melakukan sesuatu dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Jauhi sikap sambil lewa sekiranya kita semua bercita-cita untuk mencipta kejayaan. Mereka yang mengimpikan kejayaan tanpa sebarang usaha umpama seseorang yang menunggu bulan jatuh ke riba. Gabungkan segala ilmu yang dipelajari dalam dewan kuliah beserta segala perbincangan bersama rakan-rakan untuk mengukuhkan lagi ingatan serta pemahaman. Jangan kedekut untuk berkongsi dan memberi, kelak menyesal di kemudian hari.

Tawakkal itu hadir selepas segala persiapan telah dilakukan. Pengakhirannya adalah milik Allah Taala yang menentukan. Hakikatnya, usaha yang dilakukan adalah ganjaran Allah Taala untuk menganugerahkan kepada kita kesabaran. Kejayaan itu di dalam kekuasaanNya. Banyakkan berdoa kepadaNya kerana Dia adalah segala-galaNya. Pergantungan kita hanya kepada Allah Taala Yang Esa. Paling penting, segala usaha yang dilakukan ikhlas keranaNya sebagai pembuka jalan untuk doa kita dimakbulkan. Kita tidak ada hak ke atasNya. Hakikat kurniaan kejayaan adalah semata-mata kerana rahmatNya.

“ Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi kami dari urusan kami dengan petunjuk yang lurus”

Sudah pasti di sana ada kelebihan yang tersendiri sehinggakan kita semua memilih Ardhul Kinanah sebagai tempat untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu. Tidak kiralah dalam bidang pengajian Islam mahupun perubatan. Masing-masing mempunyai cita-cita tersendiri. Semoga kejayaan yang bakal diperolehi diniatkan untuk diwakafkan kepada perjuangan Islam, amin.

Salam imtihan, Selamat berjuang….

Siiru ‘ala barakatillah….

“BERILMU DAN BERAMAL”

MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR

Yang Dipertua,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu,

Sesi 2009/2010

Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,

Hayyu Asyir, Kaherah.

16 Muharram 1431H / 2 Januari 2010M