PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, March 5, 2010

Gangguan Emosi Boleh Sebabkan Rambut Gugur

Kenal pasti punca masalah sebelum pilih rawatan sesuai untuk peroleh semula 'mahkota' impian.


Tekanan perasaan atau jiwa dikenal pasti menjadi antara punca utama masalah keguguran rambut berbanding akibat penggunaan kimia berlebihan yang banyak dijual di pasaran. Masalah keguguran rambut hasil tekanan jiwa membabitkan purata jumlah yang sama antara lelaki mahupun wanita.

Insiden berkaitan keguguran rambut dengan tekanan jiwa ini kerap ditemui. Lebih kurang 60 peratus pesakit yang mengalami keguguran rambut adalah akibat masalah tekanan seperti runsing, tidak cukup tidur serta diet tidak seimbang.

Tekanan jiwa yang dialami lazimnya tidak begitu serius seperti masalah keluarga, kemurungan atau membabitkan percintaan. Ada juga yang mengalami trauma akibat kejadian ngeri seperti kemalangan atau kematian orang tersayang.


Tekanan tanpa disedari mendorong individu melakukan tabiat pelik seperti mencabut rambut di kepala sehingga menyebabkan sebahagian besar kepala menjadi botak. Tekanan juga mendorong kepada masalah sukar tidur dan corak pemakanan tidak seimbang yang boleh mendatangkan masalah pada rambut.


Ada yang mengalami kemurungan akibat kematian orang tersayang dan mula mencabut rambutnya sehingga menampakkan kulit kepala tanpa disedari. Sebelum seseorang pelanggan menjalani rawatan, ahli terapi biasanya terlebih dulu mengambil latar belakang mereka seperti keturunan, hormon yang tidak seimbang atau penggunaan bahan kimia keterlaluan bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi. Seterusn
ya pesakit akan diberikan rawatan bersesuaian mengikut tahap permasalahan.

Sekiranya masalah sebenar berpunca daripada tekanan jiwa, pelanggan perlu menjalani sesi kaunseling terlebih dulu kerana ia adalah akar umbi kepada kejayaan rawatan yang bakal dijalani. Jika masalah sebenar tidak diatasi, ia akan berulang walaupun kita mampu memberikan rawatan bagi menumbuhkan semula rambut.

Antara kaunseling yang diberikan ialah dengan menasihatkan pelanggan menjalani gaya hidup sihat seperti banyakkan bersenam kerana berpeluh dapat menenangkan fikiran.

Selain bersenam, pengambilan makanan seimbang juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah berkaitan rambut. Justeru, mereka perlu diberikan panduan mengenai diet sihat seperti makan lebih banyak buah-buahan dan sayuran segar. Minuman berkarbon seperti air gas dan kopi boleh memburukkan masalah rambut gugur.

Minuman itu perlu dielakkan dan kalau boleh minum air kosong lebi
h banyak atau air yang boleh menyejukkan badan seperti barli, kacang soya atau kelapa.

Rambut yang sihat mengalami keguguran antara 30 hingga 120 helai setiap hari, tetapi jumlah ini diganti semula. Bagaimanapun, rambut yang bermasalah gugur lebih banyak daripada jumlah ini dan tidak mempunyai anak rambut sebagai gantian kepada rambut yang gugur.

Keguguran rambut terutama di kalangan remaja pula adalah disebabkan penggunaan bahan kimia yang keterlaluan seperti mouse, semburan rambut mahupun pewarna. Penggunaan kimia dalam proses memutihkan rambut sebelum mewarnakannya juga adalah antara faktor menyumbang kepada struktur rambut lemah dan mudah gugur.

Rambut yang strukturnya lebih halus lebih mudah rosak akibat aktiviti mengerinting rambut dan teknik meluruskannya. Bagaimanapun, ramai remaja tidak menghiraukan kesannya untuk cantik dan mengikut aliran gaya rambut semasa. Mereka dinasihatkan agar mengetahui terlebih dulu keadaan rambut mereka sebelum menggunakan sebarang kimia atau teknik bagi mendapatkan gaya rambut yang diidamkan.

Misalnya, jika jumlah rambut mereka terlalu sedikit, sebaiknya jangan kerintingkan rambut kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan dan merosakkan rambut. Sekiranya ingin mewarnakan rambut, pastikan anda sering melakukan rawatan rambut atau segera berjumpa pakar apabila rambut kelihatan gugur terlalu banyak.

Bagi mengekalkan rambut sihat, amalkan menyapu
minyak rambut lebih kerap dengan menggunakan minyak asli seperti minyak kelapa, selain menjalani rawatan rambut secara tetap. Diet seimbang dan ketenangan jiwa juga mempengaruhi rambut lebih sihat serta bersinar.

Peluang untuk pulih adalah tinggi iaitu antara 70 hingga 78 peratus, tetapi ini bergantung kepada diri sendiri. Jika mereka rajin, proses pemulihan boleh berlaku lebih cepat iaitu antara dua setengah hingga tiga bulan. Bagi kes yang lebih serius seperti trauma, mungkin
memakan masa sehingga satu setengah tahun untuk membolehkan rambut tumbuh dan panjang.