PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, March 5, 2010

Teman Kejayaan

Muhasabah dan Membina Strategi

Masa berjalan begitu pantas,sekelip mata semuanya berlalu.Mungkin inilah salah satu daripada tanda-tanda akhir zaman,waktu semakin singkat.IMTIHAN fasa pertama sudah pun melabuhkan tirainya,meninggalkan debaran yang sukar untuk ditafsirkan,sepenuh pengharapan dan tawakkal disandarkan kepada Allah S.W.T.HIKMAT berlalu meninggalkan keutuhan ukhuwwah untuk kita kecapi bersama.DUMYAT dan SINAI membawa kita memuji kebesaran Allah Yang Maha Agung.Segalanya merupakan memori-memori yang telah terlakar dalam diari perjuangan kita di bumi Anbiya’ ini.

Kini,sesi pengajian fasa ke-2 bermula.Pintu Gerbang Jamiah dan Dewan kuliah melambai-lambai memanggil para pencinta ilmu untuk kembali menyambung perjuangan dalam mencedok lautan ilmu peninggalan para anbiya’ dan auliya’..Persoalannya?? sudahkah kita terjaga dari buaian cuti yang mengasyikkan dan ulitan cik ‘Sara’ yang melenakan?...Ayuh bangkit wahai sahabat menyambut lambaian itu dan kembali mencipta kecemerlangan,sedangkan diari penuntut ilmu tidak mengenal erti cuti dan tidak bermusim.Segala yang berlalu mengajak kita untuk bermuhasabah meneliti kekurangan dan kelebihan,lalu mengorak langkah membina strategi dengan memperbaiki kekurangan dan meningkatkan kelebihan.

Perancangan yang rapi dan jadual yang tersusun perlu diatur bagi menghadapi sesi pembelajaran fasa ke-2 ini,supaya segala kesilapan dan kekurangan yang telah berlaku sepanjang sesi pembelajaran fasa pertama tidak akan berulang kembali,bak kata pepatah “pisang tidak akan berbuah dua kali”..Mujahadah kita dalam mengulangkaji pelajaran pada sesi yang lepas juga pasti telah memberi kita peluang untuk menilai apakah kelebihan yang ada pada diri dalam membantu meningkatkan prestasi.Kelebihan pemberian Allah itu perlulah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya supaya kita tergolong dikalangan hambaNya yang bersyukur.

Bahang panas terik matahari kini sudah beransur-ansur menyengat kota kaherah dan penghuninya.Peralihan musim syita’ kepada musim soifi ini juga turut menuntut kita untuk menyusun kembali jadual kehidupan dan study yang bersesuaian dengan cara hidup di musim soifi.Kelekaan kita dalam menyedari perubahan ini dan kelewatan merancang serta kekurangan penjagaan kesihatan juga akan membuatkan kita terkandas,seterusnya mensia-siakan waktu pemberian Allah.

Semangat yang luntur perlu digilapkan kembali.Tujuan dan matlamat hidup harus direnungi dan direalisasi.Harapan ibu bapa dan ummah harus ditunaikan.Apabila 3 perkara ini dititikberatkan InsyaAllah diri akan bermotivasi.Mereka yang menginginkan kecemerlangan sanggup melawan kehendak hawa nafsu yang sukakan kepada kerehatan dan kesenangan, dan berpenat lelah demi meraih apa yang dicita-citakan kerana mengingatkan pesan Baginda sollallahu alaihi wasallam, “إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه”, yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang itu beramal ia menekuni amalannya itu.”

Wahai sahabat..Ingatlah,perjalanan kita masih jauh destinasinya. Langkah hari ini adalah penentu.. berbekallah dengan sebaik mungkin. Semoga kita menjadi modal kejayaan ummah apabila kita beroleh kecemerlangan.“Andainya generasi hari ini merupakan aset bekalan kepada tuan, maka generasi akan datang adalah merupakan hasil semaian tuan” (Imam As-Syahid Hasan Al-Banna).Renung-renungkanlah…