PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, July 12, 2010

Jaulah Ra'sulbar

6 Julai 2010 - Bendahari HEWI KPT merangkap Unit Sambutan dan Rehlah berjaya mengadakan jaulah ke Ra'sulbar dengan bilangan peserta hampir mencecah 50 orang. Jaulah ini diadakan sempena meraikan semua ahli HEWI dan merehatkan minda stelah bertungkus lumus menghadap buku-buku pelajaran membuat persediaan bagi menempuh peperiksaan fasal dua yang telah berakhir baru-baru ini.

Rombongan bertolak seawal jam 8.00 pagi dari Kompleks Asrama Darul Iman. Sepanjang perjalanan ke tempat tujuan, sempat singgah di beberapa buah maqam ulama'-ulama' dan wali-wali. Di antaranya, Maqam Imam Mutawalli Sya'rawi salah seorang ulama' Mesir satu ketika dulu. Di sekitar maqam ini terdapat perpustakaan miliknya sendiri.


Meneruskan perjalanan, menziarahi maqam anak kepada sahabat baik Rasulullah sollallohu alaihi wasallam, Muhammad bin Abu Bakar R.A. Musyrif yang turut sekali dalam rombongan ini menerangkan serba sedikit berkaitan maqam ini dan batu besar yang terdapat di sebelahnya. Dalam perjalanan, sempat singgah di kebun peach dan anggur, merasai buah-buahan yang segar dari ladang.



Perjalanan kemudian diteruskan dan singgah di Maqam Abdullah bin Salam R.A., sahabat Rasulullah sollallou alaihi wasallam sambil berhenti rehat untuk solat dan makan setelah keletihan merentas laluan menuju destinasi. Usai solat, makan dan menziarah maqam, rombongan bersiap-siap untuk bertolak menuju destinasi tujuan, Ra'sulbar.


Rombongan tiba kira-kira jam 5.30 petang di Ra'sulbar, tempat pertemuan Sungai Nil dan Lautan Meditranean. Tempat bersejarah ini telah diceritakan di dalam Al-Quran mengenai pertemuan Nabi Musa dan Nabi Khidir.


Selesai menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan di Ra'sulbar, rombongan bersiap sedia untuk pulang. Ketua rombongan meminta peserta untuk bersolat maghrib dan isyak dahulu sebelum berangkat pulang meninggalkan tempat bersejarah ini. Konvoi 2 tremco dan 1 coaster bergerak pulang ke Kaherah semula kira-kira jam 9.00 malam.

Jaulah kali ini sungguh meriah apabila pelajar perubatan dapat turut sama mengikuti rombongan ini. Semoga program-program sebegini dapat diadakan lagi di lain waktu bagi mengukuhkan ukhuwah di antara ahli.