PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, April 21, 2011

Lambaian Al-Azhar Asy-Syarif

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah SWT Pencipta sekalian alam yang masih mencambahkan nur Iman dan Islam dalam sanubari kita di saat ini serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW penghulu segala nabi.


Pasca arus pemodenan semasa dewasa ini seringkali dikaitkan dengan kebangkitan masyarakat di seluruh dunia, samaada di negara-negara umat Islam, mahu pun dalam kalangan negara yang mempunyai minoriti penganut yang beragama Islam. Era perubahan yang mencakupi pelbagai aspek akan terus dimainkan oleh golongan yang mempunyai sentiviti kepada dunia semasa. Bahkan dunia di saat ini memerlukan kepada individu yang mampu mentadbirnya mengikut acuan serta corak yang berlandaskan prinsip-prinsip Al-Quran serta As-Sunnah. Namun begitu, kerancakan revolusi yang hangat diperkatakan, bukan sahaja berlaku kepada golongan-golongan tertentu, malah revolusi ilmu dalam kalangan pelajar khususnya melalui wadah Al-Azhar Asy-Syarif perlu dititikberatkan.


Suatu ketika dahulu, pada era 70-an slogan “Student Power” sering dikumandangkan. Ia dianggap simbolik untuk membuktikan bahawa gerakan mahasiswa mempunyai satu kuasa tertentu dalam mengubah isu-isu yang berkaitan dengan negara. Istilah ”Student Power” memerlukan kepada penilaian dan penafsiran yang positif sejajar dengan pemikiran seorang yang bergelar mahasiswa. Yang dimaksudkan di sini ialah keupayaan mahasiswa sebagai agen perubah dalam masyarakat dan sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap sumbangan mereka. Masyarakat memandang tinggi kepada aspirasi mahasiswa Al-Azhar khususnya dalam semua bidang samaada ekonomi, sosial, politik, kebudayaan dan kemasyarakatan. Perlu disedari bahawa mahasiswa adalah pewaris negara lantas secara tidak langsung mahasiswa juga diberikan peluang untuk sama-sama merencana corak pemerintahan negara kelak.


Kebanyakan masalah yang berlaku di tempat kelahiran kita khususnya begitu membimbangkan dan mendukacitakan. Kes pembuangan bayi, penzinaan, lesbian, lumba haram, perjudian, sumbang mahram dan rasuah berleluasa hatta tidak mampu untuk dibendung serta dibanteras. Manusia terlalu mengikut telunjuk nafsu yang menjadi raja dalam kancah kemaksiatan tanpa menghiraukan pertimbangan akal. Justeru itu, ini adalah tugas dan tanggungjawab mahasiswa Islam membawa dan menarik masyarakat ke jalan kebenaran. Tugas yang begitu besar tidak mampu dilaksanakan tanpa adanya ilmu dan kefahaman yang jelas serta matlamat yang diinginkan oleh Islam itu sendiri.


Tambahan pula, fenomena yang sering tidak lekang dari kamus seorang mahasiswa Al-Azhar sejak kurun lamanya adalah mereka ini dipandang rendah serta diketepikan. Ini kerana mereka menganggap golongan yang berada dibangku Al-Azhar tidak mempunyai kemahiran bahkan hanya pandai membicarakan berkaitan dengan agama sahaja dan hanya layak menjadi seorang ustaz dan ustazah di sekolah.


Menyedari hakikat ini, apakah peranan kita selaku mahasiswa Islam yang menuntut di Universiti Al-Azhar? Sebuah gedung ilmu yang telah melahirkan ramai cendiakawan-cendiakawan dari pelbagai lapangan keilmuan. Ianya tidak hanya menfokuskan kepada lapangan agama sahaja malah mencakupi semua bidang yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Dimanakah kekuatan dan ditahap manakah keupayaan mahasiswa yang memegang status Azhari mampu memikul amanah yang telah dipundakkan dalam merencanakan mahasiswa yang belajar di Timur Tengah amnya serta di Perlembahan Nil khususnya mempunyai kekuatan berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat? Jawapan kepada persoalan ini, sebenarnya wujud pada diri individu yang bergelar Azhari. Merekalah yang lebih arif dalam menentukan masa depan Islam dan Negara. Bahkan tujuan pemusafiran kita ke medan ilmu ini adalah untuk mencari, mengkaji, meneliti dan memahami seterusnya mengamalkan ilmu yang diperolehi.


Dalam diri seorang mahasiswa perlu diselitkan perasaan untuk merintis, membina dan menempatkan diri sebagai insan intelek yang mampu mencorakkan masa depan gemilang untuk umat. Dalam hal ini, mahasiswa Islam seharusnya bertindak secara peka kepada arus global melanda dunia kini. Bukan hanya terbatas serta menfokuskan kepada bidang keilmuan pengkuliahan semata-mata malah perlu meninjau keadaan di luar alam pembelajaran. Lapangan ilmu cukup luas sekiranya pemikiran mahasiswa Islam tidak difokuskan kepada satu skop sahaja. Sebagai seorang yang bergelar mahasiswa Islam perlu genius dalam meneroka bidang ilmu samaada ilmu turathi atau kontemporari. Sejarah Islam di masa lampau telah melakar satu sejarah yang begitu agung serta gah di bumi Baghdad dengan perkembangan institusi keilmuan dan penterjemahan iaitu Baitul Hikmah. Oleh itu, kesenian corak masyarakat di luar zon permastautin perlu dititikberatkan dan diambil perhatian khususnya di negara-negara Islam.

Pelbagai langkah harus dirangka dan dijalankan bagi mengembalikan keizzahan golongan Al-Azhar demi mencapai satu masa depan yang cerah pada masa hadapan serta memartabatkan Islam dan Negara. Ilmu adalah aset yang akan terus kekal selama-lamanya. Dengan ilmu, 'nyawa' seseorang itu akan terus hidup walaupun dirinya terbujur kaku dimamah bumi. Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan kepentingan menguasai ilmu sehinggakan pada awal kalam Allah SWT terhadap kekasihnya, Nabi Muhammad SAW adalah mutiara firman yang membicarakan salah satu cabang ilmu.

Pakar-pakar motivasi mengatakan bahawa orang yang bijak adalah orang yang pandai mencari dan mengambil peluang. Mengintai segala peluang yang ada serta segera memanfaatkannya untuk berjaya dalam hidup adalah sesuatu yang sangat digalakkan. Ramai yang telah berjaya dengan kaedah ini. Yang paling bijak adalah Yahudi seluruh dunia. Disebalik kelemahan umat Islam serta hancurnya kesatuan ummah ini, mereka segera mengambil peluang untuk memperkukuhkan negara haram mereka. Amerika pula mengambil peluang dari peristiwa letupan World Trade Centre (WTC) untuk memerangi Islam atas nama ‘Perang Terhadap Keganasan’.

Semester 1 telah melabuhkan tirai serta meninggalkan seribu satu nostalgia yang sukar untuk dikenang. Lambaian semester 2 sudah menjelma sejajar bagi melengkapkan lagi tugas seorang mahasiswa. Mahasiswa Islam perlu bangkit dan memakukan azam di dalam sanubari masing-masing untuk merealisasikan matlamat yang telah tersemat semenjak menjejakkan kaki ke Perlembahan Nil ini. Kalau kita selaku generasi yang sering dilaung-laungkan sebagai pewaris pusaka anbiya’ terus alpa, lalai dan leka dengan kemewahan, keduniaan, pangkat, kebendaan serta kedudukan sedangkan suara kita sunyi daripada jeritan untuk memohon agar masyarakat Islam kembali kepada Islam, kita sememangnya pengkhianat kepada amanah yang dipundakkan oleh Allah SWT ke atas bahu kita. Dalam mengejar serta mengenggam segulung sijil perlu diingat bahawa kita bukan hamba yang diciptakan untuk memegang status ‘hamba kepada sijil’ bahkan tanggungjawab kita selaku hamba Allah SWT perlu diutamakan serta dilaksanakan. Segulung sijil bukan matlamat yang sebenar bahkan ia merupakan satu wasilah untuk mengizzahkan Islam yang dianuti.

Akhir bicara, renungilah kata-kata sahabat Rasulullah SAW, Abu Darda’ RA : ‘‘Aku tidak takut kalau orang bertanya padaku apa yang kamu tahu berkenaan dengan ilmu, tetapi apa yang aku takut ialah apa orang tanya padaku apa yang telah aku amalkan’’.