PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, April 19, 2011

Solat Berkualiti Zahirkan Peribadi Mulia

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud : "Mahukah kamu aku beritahu seburuk-buruknya pencuri? Sahabat bertanya : Siapakah dia wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab : Orang yang mencuri dari solatnya. Sahabat bertanya : Bagaimanakah seseorang mencuri dari solatnya? Baginda SAW bersabda : Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya."

Dalam kisah lain, Rasulullah SAW pernah menyuruh orang yang sudah melakukan solat untuk mengulangi solatnya sehingga tiga kali. Sebabnya, ketika solat orang itu belum menyempurnakan wudhuknya, takbirnya, berdirinya, bacaannya, rukuknya, sujudnya dan toma'ninahnya.

Baginda SAW menjelaskan cara yang benar dalam melakukannya sebanyak empat kali hingga selesai. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud : "Solat seseorang di antara kamu tidak akan sempurna sebelum mengerjakan yang demikian itu."

Menunaikan solat saja tidak mencukupi hingga mencapai tahap kesempurnaan. Kesempurnaan bukanlah paksaan, tetapi sebagai cara untuk menerapkan jiwa solat supaya membentuk keperibadian terpuji, menghasilkan keberkatan serta memperbaiki diri. Kesempurnaan solat dimulakan dengan menyempurnakan wudhu' mengikut contoh dan petunjuk Rasulullah SAW kerana pergerakan tanpa peraturan tidak akan memberi makna.

Setiap gerakan solat mempunyai jiwa dan roh, peranan serta makna tersendiri yang akan memantulkan kekuatan positif. ia adalah sebuah irama kesatuan yang saling membantu dan menyempurnakan gerakan seterusnya. Wudhu' bermakna membersihkan keperibadian buruk dan dosa. Menghadap kiblat bererti menghadapkan jiwa dan roh sepenuh hati dengan khusyuk dan merendah diri. Manakala takbiratulihram bermakna membesarkan zat Allah.

Membaca surah dengan menghayati dan berkeinginan untuk mengamalkannya. Rukuk dan sujud adalah bentuk perwujudan ketundukan, kepatuhan dan kepasrahan diri secara menyeluruh kepada zat Yang Maha Agung. Kualiti ketaqwaan seseorang sesungguhnya berkait rapat dengan kualiti solat kerana selain berkomunikasi dengan Allah, solat juga membentuk hubungan mendidik jiwa daripada melakukan perkara dilarang yang akan merosakkan jiwa.

Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan keji) dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadah lain), dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-'Ankabut, ayat 45)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Apa pendapat kamu jika sebatang sungai berada di depan rumah seoarng daripada kamu, kemudian ia mandi sebanyak lima kali setiap harinya, apakah tersisa kotoran darinya? Sahabat menjawab : Tentu tidak tersisa sedikitpun kotoran. Baginda SAW bersabda ; Begitulah perumpaan solat, ia berfungsi sebagai penggugur dosa dan kesalahan." Hadis riwayat Muttafaqun 'Alaih).

Hati menjadi tenang dan jiwa menjadi sejuk. Solat ibarat sumber mata iar sejuk yang tidak pernah kering oleh terik perjalanan dunia. Justeru itu, orang yang berakal sihat pasti amat bergembira mencelupkan dirinya ke dalam mata air solat lima kali sehari semalam secara berjemaah. Malaikat pencatat amalan kebajikan pun menulis setiap langkah menuju masjid dapat mengangkat satu darjat kemuliaan. Mencatatkan langkah berikutnya sebagai penghapus satu kesalahan.

Syeikh Hasan Al-Banna menulis sepucuk surat wasiat kepada penggerak muda muslim yang berbunyi, " Jika kamu mendengar seruan azan, segeralah tunaikan solat berjemaah walaupun kesibukan kamu."

Firman Allah ynag bermaksud :

"Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang yang beriman kepadaNya dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah At-Taubah, ayat 18)

Perkara pertama yng dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah dalam rangkain hijrahnya adalah membangun masjid. Dari sini kita dapat mengambil pelajaran betapa pentingnya posisi masjid dalam perjuangan kaum Muslimin. Semangat persamaan dan penyatuan ummah tidak mungkin lahir jika muslimin tidak bertemu setiap hari dalam satu saf di hadapan Allah. Masjid selain tempat beribadah adalah landasan penyatuan atas dasar ketaqwaan.

Jesteru, setiap masjid tidak boleh sunyi daripada aktiviti yang menyatukan ummah sebaliknya dimakmurkan supaya institusi masjid menjadi penting kepada umat islam mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.

Masjid juga mesti menjadi perantara pembinaan ummah. Hanya dengan dimakmurkan, masjid akan memainkan fungsi strateginya sebagai institusi kebangkitan ummah Islam.

Allah berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya beruntunglah orang Mukmin, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang meninggalkan perbuatan sia-sia." (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)

Diceritakan bahawa Muhammad Al-Fateh dan tenteranya ketika ingin menakluk kota Istanbul seperti dijanjikan Rasulullah SAW dalam hadisnya, tidak pernah meninggalkan solat wajib, rawatib dan tahajjud sejak baligh. Jiwa dan roh solat mereka telah berhubungan langsung dengan Allah iaitu sumber segala kekuatan. Itulah barangkali kunci kejayaan beliau dan tenteranya menakluk kota Istanbul yang menjadi kota khalifah Islam terkenal hingga berkurun lamanya. Sekian