PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, July 15, 2011

10 TITIK KEBANGKITAN ISLAM DARIPADA ANGAN-ANGAN KEPADA REALITI

Sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan kita sebagai ummat Islam dengan kemuliaan Islam itu sendiri dan telah menjadikan Islam dan Iman itu sebagai sebagai dua nikmat yang paling terpuji sehinggakan Allah SWT telah mendedikasikan di dalam firmanNya di dalam surah Al-Maidah ayat 3 :

“Pada hari ini telah Ku-sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam jadi agama bagimu”.


Maka, Allah SWT telah mewahyukan satu risalah yang penting kepada Nabi Muhammad SAW yang mana risalah tersebut merangkumi syari’at yang ditetapkan dan Baginda juga adalah penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul dan Al-Quran itu sebagai penghulu dan pemacu kearah kebangkitan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT sebagaimana ummat Nabi Muhammad SAW sebagai rantaian kepada perjuangan Baginda SAW.

Sabda Rasulullah SAW: “Akan ada setiap seratus tahun seorang ketua yang akan menjadi pentajdid kepada ummat ini”.


Kita akan melihat pentajdid-pentajdid ini kadang-kadang muncul atas kesedaran individu, kadang-kadang secara berkumpulan atau kadang-kadang secara bermasyarakat untuk melaksanakan konsep pembaharuan kepada ummat ini.


Sebagaimana janji Allah SWT Al-Quran dan As-Sunnah itu tetap terpelihara, sebagaimana itu jugalah ummat Nabi Muhammad SAW akan diberi kemenangan dan kekuasaan di bumi ini. Walaupun mutakhir ini kita melihat musuh-musuh Islam tidak pernah lekang meguasai penjajahan terhadap negara-negara Islam tidak kiralah dalam bentuk serangan bersenjata atau serangan dalam bentuk pemikiran sebagaimana yang telah pada zaman ini.


Allah SWT telah menyatakan di dalam surah An-Nur ayat 55 :

“Dan Allah SWT telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar ( keadaan ) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersukutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”.


Sebagaimana yang kita lihat tentang kebangkitan ini, ia adalah merupakan suatu kebangkitan yang mencakupi semua aspek iaitu kebangkitan dari segi akal dan pemikiran, hati dan jiwa, kehendak dan keazaman, perbuatan dan akhlak, kesedaran dan dakwah serta kesungguhan.


Dan sesungguhnya ia perlulah di aplikasikan melalui medium pendidikan dan ilmuan serta masyarakat, ekonomi dan politik sehinggalah kepada tentera-tentera dan ini apa yang dapat kita lihat di negara Palestin, Afghanistan dan di Kashmir serta beberapa buah negara yang lain.


Maka kebangkitan inilah yang perlu diadaptasikan supaya kegemilangan Islam itu akan dapat dikecapi kembali. Sebagaimana yang telah disebutkan oleh seorang Ulama Kontemporari masa kini, Al-Imam Dr Yusuf Al-Qardawi berkenaan sepuluh prinsip di dalam kitab beliau iaitu Kebangkitan Islam daripada angan-angan kepada realiti. Antara sepuluh prinsip tersebut ialah :


1) Daripada Konsep Luaran Dan Zahir Kepada Hakikat Dan Intipati

Prinsip pertama yang telah diperkatakan ialah manusia perlu mengubah persepsi mementingkan konsep luaran dan zahir kepada konsep hakikat dan intipati.


Sebahagian orang Islam hanya dikenali diukur melalui rupa dan bentuk bukan pada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kita perlu mengetahui bahawasanya keimanan seseorang itu akan menyelamatkannya daripada api neraka dan ia dikira layak untuk menduduki syurga Allah SWT serta akan memperolehi perlindungan dan rahmat Allah SWT di dunia.


Sebagaimana contoh, agama Islam itu adalah sebagai pegangan dan hakikatnya adalah mengesakan Allah SWT. Ibadat hakikatnya adalah mencapai ikhlas kepada Allah SWT, dan mu’amalat maka hakikatnya adalah kebenaran. Maka sesiapa yang memandang enteng terhadap perkara tersebut maka sesungguhnya dia telah menghilangkan atau melanggari konsep yang dikehendaki oleh Islam pada aspek akidah, ibadah dan mu’amalah.


Oleh sebab yang demikian keimanan dan ketaqwaan adalah hakikat sebenar kita diciptakan di muka bumi Allah SWT dan ia merupakan kunci yang sebenar dalam memandu hati orang-orang yang beriman dan memberikan cahaya serta sistem yang betul. Ia juga merupakan satu kekuatan peransang untuk mendorong manusia kepada melaksanakan amalan-amalan soleh dan berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan.

Allah SWT telah menyatakan : “Maka sesiapa yang beriman dengan Allah diberi petunjuk hatinya”. ( At-Taghabun : 11 ).


2) Daripada Konsep Perdebatan Dan Pertelingkahan Kepada Konsep Bekerja Dan Berkorban

Konsep seperti ini adalah antara ciri-ciri yang jelas dalam aspek keremajaan dalam kebangkitan Islam, iaitu bermalas-malas dalam berkata-kata atau banyak berkata-berkata atau bertelingkah yang tidak memberi sebarang manfaat berbanding konsep bekerja yang menghasilkan manfaat kepada manusia dan bumi.


Ia juga perlu dijauhi daripada membicarakan peristiwa-peristiwa lampau dan bermegah-megah akan perkara tersebut tanpa ada sebarang tindakan melalui perbuatan mahupun anggota tubuh badan yang mana perkara tersebut akan menjadikan peribadi seseorang muslim hari ini lebih baik dari semalam dan esok itu adalah lebih baik dari hari ini.


Allah SWT telah menyatakan : “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada ( Allah ) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”.


3) Daripada Konsep Sentimental dan Emosi kepada Konsep Rasional dan Terbuka

Tidak menafikan akan emosi dan perasaan itu adalah sebahagian daripada kejadian dan keadaan manusia itu dan pastinya ia saling berhubung-kait dengan akal dan pemikiran manusia. Akal manusia adalah puncak kepada jasad dan tubuhnya dan ia juga merupakan kunci kepada perbuatan manusia yang waras.


Bahawasanya kemantapan akal pemikiran itu apabila kekuatan iman serta keikhlasan yang jitu menghiasi padanya. Inilah yang telah diungkapkan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna seorang pentajdid kepada kebangkitan Islam dalam risalahnya kepada pemuda. Akal yang membezakan manusia dan haiwan dan ia merupakan syarat yang telah dipertanggugjawabkan Allah SWT terhapad manusia.


Oleh yang demikian prinsip ini menerangkan kepada kita bahawa manusia tidak dituntut beremosi dan mengikut hawa nafsu bahkan apa yang dikehendaki adalah rasional dalam melaksanakan sesuatu perkara.


Allah SWT telah menyatakan di dalam Al-Quran akan pelbagai sifat sentimental yang mengikut landasan syariat dan ia merupakan satu kurniaan kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih sebagaimana di dalam surah Al-Anfal : 2 :

“Sesungguhnya orang-orang mukmin apabila disebutkan Allah SWT bergetar hati-hati mereka dan apabila dibacakan keatas mereka ayat-ayat Allah SWT maka bertambahlah iman mereka”.


4) Daripada Konsep Menumpukan Perkara Cabang Kepada Konsep Perkara Prinsip dan Asas

Sebagaimana yang telah berlaku sebahagian daripada kebangkitan Islam era moden iaitu pertelingkahan yang berlebihan terhadap perkara-perkara cabang seperti perkara-perkara sunat daripada perkara wajib, perkara yang makruh daripada perkara pengharaman kepada perkara prinsip, menyeluruh serta asas seperti kewajipan yang diperintahkan dan pengharaman bahkan dosa-dosa besar pada perkara-perkara yang dilarang.


Pertelingkahan kepada perkara-perkara cabang akan mendatangkan beberapa perkara yang bercanggah iaitu ia bersalahan dengan konsep yang sebenar Al-Quran dan As-Sunnah yang telah diturunkan selama 23 tahun dan telah juga menerangkan prinsip dan asas akidah dan akhlak serta amalan-amalan yang ditanam dalam jiwa dan pemikiran. Ini dapat dilihat pada konsep surah dan ayat yang diturunkan di mekah sebelum daripada hijrah Nabi Muhammad SAW.


Adapun mengenai konsep ayat dan surah yang diturunkan di Madinah ia menjuruskan kepada pelaksanaan dan pensyari’atan serta memperincikan lagi sistem yang berkaitan agama Islam.


Konsep perkara-perkara cabang ini juga tidak akan ada penghujung dan ia terlalu banyak dan juga terbatas pada kemampuan sebenar manusia.


5) Daripada Konsep Kesukaran dan Pengasingan diri Kepada Konsep Sederhana Dan Bermasyarakat

Allah SWT telah menyatakan di dalam firmanNya : “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” ( surah Al-Baqarah : 185 ).

Ini adalah sebahagian contoh yang tercatat padanya di dalam Al-Quran yang mana ini adalah sebahagian perintah Allah SWT dan Allah SWT tidak membebankan sesuatupun terhadap hamba-hambanya sebagaimana ayat di atas. Nabi Muhammad SAW telah juga memerintahkan akan sekalian ummatnya supaya bermudah-mudah dalam perkara-perkara yang berkaitan dan tidak membebankan diri.


Ini dijelaskan lagi di dalam satu Hadis Baginda SAW yang mana ketika Baginda telah mengutuskan dua orang sahabatnya iaitu Muaz Bin Jabal Al-Anshori dan Abu Musa Al-Asy’ari ke Yaman supaya menjalankan kerja-kerja dakwah di sana.


Ini dijelaskan dalam suatu ungkapan yang ringkas dan memberi pengertian yang cukup jitu, iaitu sabda Nabi SAW : “Bermudah-mudahlah dan jangan memayahkan dan berilah berita gembira dan jangan mengasingkan diri serta ikhlaskan diri dan jangan membelakangi”.


6) Daripada Konsep Kebekuan Dan Mengikut Secara Melulu Kepada Konsep Penyelidikan Dan Pembaharuan

Kehidupan yang bercirikan Islam ketika berkembangnya tamadun kita adalah suatu kehidupan pembaharuan dalam kesemua aspek agama, ilmu, peradaban, perindustrian dalam kesemua lapangan kemajuan dan tamadun.


Maka bila mana terdapat perkembangan ilmu dan teknologi yang meluas ia menuntut kepada suatu pengkajian dan penyelidikan supaya hukum yang dikeluarkan bertepatan dengan tamadun serta peradaban yang ada sekarang.


Oleh yang demikian prinsip ini mendidik supaya meluangkan masa dan tenaga secara semaksima mungkin supaya kebangkitan Islam itu bukan lagi angan-angan, bahkan ia menjadi suatu realiti.


Terdapat beberapa perkara yang menjadi kesukaran dalam berijtihad sehingga menyebabkan kita bertaqlid, akan tetapi perkara-perkara ini bukanlah berterusan dan ia perlulah kembali kepada sumber-sumber yang utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah bukan berdasarkan kepada akal dan mengikut semata-mata.


Adapun mengenai As-Sunnah ia merupakan perincian dan pentafsiran kepada Al-Quran yang mana Al-Quran menerangkan secara umum dan akan diperincikan melalui Hadis Nabi Muhammad SAW. Allah SWT menyatakan:

“Dan Kami telah menurunkan Al-Quran untuk kamu menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir”. ( An-Nahl : 44 ).


Allah SWT telah menciptakan akal dan setiap yang waras mampu untuk berfikir luar daripada kotak pemikiran,akal juga mampu untuk mengkaji dan menyelidik sehingga mencapai kepada hakikat.


7) Daripada Konsep Fanatik Dan Terkunci Kepada Konsep Bertolak Ansur Dan Bebas.

Konsep fanatik sebagaimana yang diperkatakan ialah seseorang manusia itu dikunci pemikirannya tertumpu kepada pemikiran tertentu tanpa ada sikap bertolak ansur bagi dirinya iaitu ruang berbicara tentang perselisihan dalam permasalahn akidah atau pemikiran atau pada permasalahan fiqh atau politik dan tidak ada juga sikap tolak ansur dalam menasihati terhadap dirinya. Bahkan menganggap pandangannya itu adalah betul yang tiada padanya itu sebarang kepincangan dan juga menganggap pandangan selainnya adalah salah dan terdapat kepincangan padanya.


Oleh yang demikian inilah diantara fanatik yang sangat dikeji dan ia merupakan fanatik secara membuta tuli terhadap akidah atau pegangan atau pemikiran atau pandangan atau masyarakat dan sebagainya. Allah SWT telah menyatakan terhadap utusanNya :

“Maka berpeganglah kamu dengan yang telah diwahyukan kepada kamu, sesungguhnya kamu berada di jalan yang benar”. ( Az-Zukhruf: 43 ).


Ini juga diceritakan di dalam Al-Quran tentang perbuatan fanatik sesama mereka dalam berhadapan dengan dakwah Nabi Muhammad SAW : Firman Allah SWT : “Mereka berkata :Hati-hati kami berada dalam tutupan (yang menutupi) apa yang kamu seru kami kepadanya dan di telinga kami ada sumbatan dan antara kami dan kamu ada dinding, maka bekerjalah kamu, sesungguhnya kami bekerja pula”. ( surah Fusshilat : 5 ).


8) Daripada Konsep Melampau Batas Kepada Konsep Bersederhana

Konsep Islam terhadap ummat Islam adalah pertengahan iaitu seumpama jalan yang lurus, dalam setiap lapangan dan konsep pertengahan ini adalah semua perkara dalam akidah, dalam ibadah, dalam akhlak, dalam mu’amalah dan pensyari’atan yang menjauhi konsep berlebihan dan melampaui batas.


Tidak akan wujud kebangkitan Islam yang berealiti kecuali di sana terdapat kesedaran terhadap prinsip ini iaitu membina dengan konsep pertengahan dan bersederhana yang tidak akan memberi sebarang kerugian.


Adapun hal berpaling daripada konsep bersederhana kepada konsep melampaui batas ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Baginda iaitu : “Jauhilah kamu dalam melampau-lampau terhadap agama, maka sesungguhnya kaum yang telah binasa sebelum daripada kamu adalah disebabkan berlebih-lebih dan melampau dalam agama”. Hadis ini menerangkan tentang faktor kepada kebinasaan ummat terdahulu.


9) Daripada Konsep Keganasan Dan Kebencian Kepada Konsep Kasih Sayang

Sesungguhnya sistem dakwah Islam adalah berkonsepkan kepada kasih sayang dan berkasihan dan jauh sekali ia berkonsepkan kepada kebencian dan keganasan. Allah SWT telah menyatakan di dalam firmanNya :

“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan kebijaksanaan serta bantahlah mereka dengan cara yang baik”. ( surah An-Nahl : 125 ).


Maka para Rasul dan utusan Allah SWT telah melaksanakan kerja-kerja dakwah secara berhikmah dan berkasih sayang dan berakhlak dengan akhlak yang terpuji.

Daripada Aisyah R.A katanya : “Sesungguhnya Allah SWT adalah penyayang dan Dia sukakan akan sifat penyayang, dan Dia mengurniakan sifat penyayang itu sebagaimana Dia tidak mengurniakan sifat berdendam dan Dia tidak mengurniakan apa yang menyalahi sifatNya”.


10) Daripada Konsep Pertelingkahan Dan Percanggahan Kepada Konsep Penggabungan

Sesungguhnya perpecahan dan percanggahan itu adalah sesuatu wabak dan penyakit yang berbahaya yang telah disebut oleh Rasulullah SAW sebagai “penyakit ummat” iaitu kebencian dan kedengkian (Telah menjalar kepada kamu penyakit ummat daripada sebelum kamu : Dengki dan Benci, benci adalah pengikis dan Aku tidak mengatakan pengkikis kepada rambut, akan tetapi pengkikis agama).


Bahkan ia telah menjatuhkan akan negara Islam yang agung sebelum daripada ini. Allah SWT telah mengingatkan para RasulNya melalui firmanNya :

“Dan janganlah kamu berbantah-bantah, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu”.


Sabda Nabi Muhammad SAW : “Janganlah kamu berbantah-bantah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu mereka suka berbantah-bantah maka mereka telah binasa”.


Ringkasan Kitab dan Terjemahan : AS-SOHWAH AL-ISLAMIYAH MINAL MURAHAQAH ILA RUSD – KEBANGKITAN ISLAM DARIPADA ANGAN-ANGAN KEPADA REALITI (DR YUSOF QARDHAWI)


Penterjemah : MOHD ZAINULLAH MOHD PAUZI

Disediakan oleh:
LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN PMRAM 2011