Kaherah, 21 Julai 2011 – Ijtima’ Usbu`ie Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) telah diadakan dengan mendiskusikan kitab “Risalah al-Azhar Bayna al-Ams wa al-Yaum wa al-Ghad”; karangan Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
Ianya dianjurkan di bawah seliaan Biro dan Unit Akademik KPT Mesir yang diadakan di Dewan Darul Iman, Rumah Terengganu, Kaherah.
Kitab tersebut telah didiskusikan oleh Ustaz Ahmad Kamal bin Mansor yang merupakan mahasiwa Terengganu dalam jurusan master tahun 1, Kuliah Dirasat al-Azhar.
Majlis itu dihadiri oleh ahli-ahli KPT Mesir yang berada di sekitar Kaherah daripada pelbagai bidang akademik. Saudara Ailani bin Ruslandin telah mempengerusikan majlis sekitar jam 8.00 malam dengan bacaan al-Fatihah.
Antara perkara yang disentuh oleh pendiskusi adalah berkenaan dengan tanggungjawab mahasiswa Islam untuk menjadi pendakwah bagi menyeru masyarakat kepada Islam dan menyelamatkan umat dengan Islam.
Al-Azhar merupakan kiblat ilmu umat Islam yang melahirkan ramai ulama dan cendekiawan Islam di serata dunia. Antara tokoh-tokoh yang telah dilahirkan oleh al-Azhar ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Muhammad Sa`ied Ramadhan al-Buty, Dr. `Ali Juma`ah dan ramai lagi.
Menurut pendiskusi, dalam kitab Risalah al-Azhar, pengarang menyatakan bahawa sekiranya al-Azhar ini tiada, maka masyarakat akan memandang material semata-mata tanpa agama Islam yang akan melahirkan pemikiran jahiliah zaman moden seperti sekular, liberal, orientalis dan sebagainya.
“Sesungguhnya al-Azhar adalah universiti, masjid dan persatuan; universiti untuk ilmu dan pendidikan, masjid untuk ibadah dan tarbiah dan persatuan untuk dakwah dan islah”, tiga asas penting yang dinyatakan oleh pengarang kitab.
Justeru itu, seluruh mahasiswa Islam tidak seharusnya mengenepikan tiga asas penting tersebut dalam mendepani arus globalisasi dan cabaran yang mendatang.
Majlis tersebut berakhir dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati oleh pihak KPT Mesir kepada pendiskusi sebagai tanda penghargaan.
Pihak KPT Mesir berharap agar majlis tersebut dapat meyuntik kesedaran dalam diri mahasiswa Islam terhadap kepentingan membina kekuatan thaqafah dan tanggungjawab melaksanakan amanah ilmu.
Semoga Allah Ta`ala memberikan hidayah kepada kita untuk terus istiqamah dalam menjayakan agenda perjuangan Islam yang dicintai ini.