Tahun Kesedihan
Peristiwa Isra’ Mikraj ini
berlaku pada tahun ke-10 kenabian. Tahun tersebut dikenali sebagai tahun
kesedihan ekoran kewafatan bapa saudara Nabi SAW iaitu Abu Talib dan juga
kewafataan isteri baginda SAW yang kedua-duanya banyak memberikan bantuan serta
pertolongan kepada Nabi SAW dalam menyebarkan dakwah Islam dan memperjuangkan
Islam.
Tidak hanya dengan kesedihan
kewafatan 2 tonggak besar dalam perjuangan baginda SAW, sebelum berlakunya peristiwa
Isra’ Mikraj, Nabi SAW disakiti apabila baginda SAW pergi ke Thaif untuk
menyebarkan Islam dan dalam usaha mencari markaz baru di luar Mekah. Namun
kedatangan baginda SAW ke Thaif disambut dengan batu yang dilontarkan oleh
penduduk Thaif.
Ekoran cabaran yang begitu
hebat diterima, satu demi satu cabaran yang menimpa baginda SAW ditambah lagi
dengan halangan yang diterima di Thaif, maka ketika perjalana pulang dari Thaif,
Nabi SAW mengadu kepada Allah SWT dengan satu doa yang begitu pilu :
“Ya Allah kepada-Mu jua aku
mengadukan kelemahanku, kekuarangan penilaianku, dan kehinaanku di hadapan
manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Engkau-lah tuhan (tempat pergantungan)
bagi orang yang lemah, Engkau tuhanku, kepada siapa hendak Engkau serahkan akan
diriku? Kepada orang jauh yang bermuka masam denganku atau adakah musuh yang
akan menguasai urusanku? Aku tidak kisah asalkan Engkau tidak murka kepadaku,
sebab sungguh teramat luas pengampunan-Mu kepadaku. Aku berlindung dengan
cahaya-Mu yang menyinari segala kegelapan dan yang kerananya urusan dunia dan
akhirat menjadi baik, agar Engkau tidak menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau
murka kepadaku. Engkau-lah yang berhak menegurku sehingga Engkau redha. Tidak
ada daya dan kekuatan selain dengan-Mu.”
Justeru, tahun berlakunya
peristiwa Isra’ Mikrak bukan sekadar tahun kesedihan atas kewafatan bapa
saudara dan isteri baginda SAW, bahkan ditambah lagi dengan keperitan dalam
perjuangan iaitu penolakan kaum Thaif dakwah yang dibawa oleh Nabi SAW, dengan
cara menyakiti Nabi SAW.
Peristiwa Isra’ Dan Mikraj
Isra’ Mikraj merupakan mukjizat
agung yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW. Peristiwa ini berlaku
dalam tempoh satu malam sahaja dan ditemani oleh Jibrail AS. Allah SWT
menjalankan Nabi SAW dari tempat tidur baginda SAW iaitu di Mekah sehingga ke
Baitul Maqdis dengan menaiki buraq, kemudian bertemu dengan para nabi yang
terdahulu dan baginda mengimami solat secara berjemaah. Selepas itu Nabi SAW
diangkat ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah SWT.
Peristiwa ini berlaku dalam
keadaan sedar dan Nabi SAW dibawa jalan sehingga naik ke Sidratul Muntaha dalam
keadaan berjasad dan roh, bukan hanya roh sahaja. Ini merupakan pendapat
majoriti ulama berkenaan mukjizat mengenai peristiwa Isra’ Mikraj.[1]
Peristiwa ini disebutkan di
dalam Al-Quran pada 2 tempat iaitu :
1- Dalam
Surah Al-Isra’ pada ayat yang pertama, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maha suci Allah yang telah
menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid
Al-Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan keadaanya
tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.”
2- Dalam
Surah An-Najm pada ayat ke-18, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya ia telah melihat
sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (kebesaran dan keagungan) Tuhannya.”
Tanda-tanda yang besar di sini
ialah ketika peristiwa Isra’ Mikraj. Nabi SAW telah diperlihatkan mengenai
keadaan ahli-ahli syurga dan neraka. Dan Nabi SAW telah bertemu dengan Allah
SWT.
Antara seksaan yang perlihatkan
kepada baginda SAW yang menimpa ke atas ahli-ahli neraka ialah :
1- Balasan
mengumpat. Nabi SAW melihat mereka yang melakukan dosa mengumpat di dalam
neraka memakan bangkai-bangkai.[2]
2- Balasan
memakan harta anak yatim secara zalim dan batil. Mereka dikenakan seksaan
dengan memakan bara-bara api sehinggalah terkeluar semula bara api tersebut
dari dubur mereka, dan mereka akan mengulanginya semula, sehinggalah tamat
tempoh seksaan mereka atas dosa memakan harta anak yatim secara zalim.[3]
3- Dosa
orang yang memakan riba’. Perut mereka dipenuhi dengan ular-ular yang hidup
yang keluar masuk dari perut mereka.[4]
Dan juga dosa-dosa lain seperti
zina, orang yang tidak mahu menunaikan zakat, orang yang melakukan fitnah dan
tidak melaksanakan amanah dengan baik. Selain itu Nabi SAW juga diperlihatkan
dengan ganjaran bagi mereka yang berjihad di jalan Allah iaitu baginda SAW
melihat sekumpulan manusia yang menanam tanaman kemudian menuai dan mendapatkan
hasil pada kemudian hari. Jibrail berkata :
“Mereka itulah orang yang
berjihad di jalan Allah, digandakan bagi mereka pahala sebanyak 700 kali
ganda.”[5]
Baitul Maqdis Diberkati
Keterikan Isra’ Mikraj dengan
Baitul Maqdis menunjukkan bahawa petanda bagi kepentingan Baitul Maqdis ke atas
umat Islam. Bahkan dalam Surah Al-Isra’ pada ayat yang pertama Allah SWT
menyebut bahawa Baitul Maqdis merupakan tempat yang diberkati oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maha suci Allah yang telah
menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid
Al-Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan keadaanya
tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.”
Bahkan Baitul Maqdis menjadi
tempat perhimpunan bagi para nabi di malam hari dan menyaksikan bahawa
pengiktirafan ke atas Nabi SAW sebagai penghulu segala nabi dengan menjadi imam
solat bagi para nabi. Justeru, ia memang tempat yang diberkati dengan mukjizat
Isra’ Mikraj apabila tempat perhentian Nabi SAW sebelum dinaikkan ke langit dan
juga tempat perhimpunan para nabi sejak terdahulu.
Justeru, situasi pada hari ini
juga menunjukkan bahawa betapa penting dan bernilainya Baitul Maqdis dan
Saidina Umar di zaman pemerintahannya menjadi orang yang pertama membebaskan
Baitul Maqdis daripada jajahan Rom. Kemudian apabila Baitul Maqdis dijajah
kembali oleh pihak Salib, maka Panglima Solahuddin Al-Ayubi menjadi orang yang
kedua yang membebaskan Baitul Maqdis. Dan konflik pada hari ini dan tekanan
yang diterima oleh rakyat Palestin yang ditindas, siapakah yang akan menjadi
panglima dalam membebaskannya untuk kali yang ke-3? Maka inilah antara
keberkatan yang diberikan oleh Allah iaitu dengan sentiasa mengalirnya darah
syuhada di Palestin dalam jihad membebaskan Baitul Maqdis dari tangan penjajah.
Benar sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Akan ada sentiasa satu
kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran, mereka tidak akan
mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka dan kelompok tadi
akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya.”[6]
Di dalam satu riawayat yang
lain : “Di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis”[7]
Nilai Baitul Maqdis Terhadap
Umat Islam
Dr Yusuf Al-Qardhawi
menyenaraikan 5 nilai Baitul Maqdis terhadap umat Islam, iaitu :
1- Kiblat
yang pertama sebelum ditukarkan kepada Kaabah menjadi kiblat bagi umat Islam
berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah pada ayat ke-150.
2- Tempat
berlaku peristiwa Isra’ Mikraj, serta dinyatakan bahawa Allah memberkati Baitul
Maqdis dan di sekelilingnya, berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah
Al-Isra’ pada ayat pertama.
3- Antara
3 masjid yang mempunyai kelebihan yang besar. Nabi SAW menyebutkan di dalam
hadis yang bermaksud :
“Janganlah kamu
selalu pergi melancong melainkan pada 3 tempat untuk kamu ziarah iaitu Masjidil
Haram, Masjid Al-Aqsa dan masjidku ini (Masjid An-Nabawi)”[8]
4- Tanah
bagi para nabi. Kisah para Nabi yang pergi ke Palestin (Baitul Maqdis di dalam
Palestin), seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan pengikutnya apabila diselamatkan
daripada Firaun dan tenteranya, dan Nabi Sulaiman. Kesemua kisah yang
dipaparkan dalam Al-Quran menyebut mengenai tanah yang diberkati yang merujuk
kepada Palestin. Rujuk Surah Al-Anbiya’ pada ayat ke-71dan 81, Surah Al-A’raf
pada ayat ke-137 dan Surah Saba’ pada ayat ke-18.
5- Tanah
jihad. Hal ini berdasarkan kepada Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Akan ada sentiasa
satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran, mereka tidak
akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka dan kelompok
tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya.”[9]
Di dalam satu
riawayat yang lain : “Di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis”[10]
Perjuangan Ke Baitul Maqdis
Masih Belum Berakhir
Hari ini umat Islam masih lagi
menanti panglima sebagaimana Umar Al-Khattab dan Solahuddin Al-Ayubi yang
berjaya membebaskan Baitul Maqdis dari jajahan musuh. Selepas mereka, siapakan
yang akan muncul bagi membebaskannya buat kali ke-3? Perjuangan masih
berterusan sehingga hari kiamat sebagaimana janji Nabi SAW dalam hadis baginda
SAW.
Justeru dalam memperingati
Isra’ Mikraj ini, kita dapat simpulkan beberapa perkara yang boleh diambil agar
kita meneruskan perjuangan Islam terutama terhadap kewajipan membebaskan Baitul
Maqdis ialah :
1-
Mehnah dan tribulasi dalam
perjuangan Islam merupakan asam garam dalam dunia perjuangan. Nabi SAW juga
diuji bahkan lebih berat daripada kita. Maka tidak perlu bersedih dengan mehnah
dan tribulasi, apa yang pasti kita merupakan makhluk yang mulia di sisi Allah
sekira kita beriman walau dicerca dan dicaci. Firman Allah SWT dalam Surah Ali
Imran : 139 yang bermaksud :
“Jangan kamu berasa
hina dan sedih, kamu lebih tinggi (mulia) sekiranya kamu benar-benar beriman.”
2-
Perjuangan memerlukan
pengorbanan dan semangat juang yang tinggi. Seruan Islam tidak menjanjikan
kemewahan dan mempunyai tempoh yang diketahui. Halangan dan tentangan manusia
terhadap seruan Islam merupakan suatu kepastian, kerana mereka masih belum
mengetahui. Namun perjuangan tidak boleh dihentikan. Firman Allah SWT dalam
Surah At-Taubah pada ayat ke-42 :
“Kalau yang kamu
serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang
tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, akan tetapi ia tempoh yang
berpanjangan dan pasti menerima kesusahan.”
3-
Allah SWT tempat pergantungan
kita dalam perjuangan. Doa merupaksan senjata umat Islam. Nabi SAW berdoa
dengan sayu ketika pulang dari Thaif. Inilah perbezaan perjuangan Islam dengan
perjuangan taghut. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-104 :
“Sekiranya kamu
merasa sakit sesungguhnya pihak musuh juga merasai kesakitan sebagaimana kamu
merasai sakit, dan kamu mengharapkan Allah sedangkan mereka tidak
mengharapkan.”
4-
Kita merupakan rantai dalam
perjuangan yang membawa perjuangan Islam yang diwarisi daripada pejuang-pejuang
terdahulu. Pejuang dahulu juga telah merasai keperitan dan telah berkorban demi
perjuangan yang suci ini. Begitulah apabila Nabi SAW dalam tahun kesedihan maka
Allah mempertemukan baginda SAW dengan para nabi yang lain agar baginda SAW
tidak merasai keperitan baginda SAW bukan hanya baginda SAW yang merasai namun
ia juga dirasai oleh para nabi yang terdahulu dalam menegakkan Islam. Firman
Allah SWT dalam surah Al-Ahzab pada ayat ke-23:
“Di antara orang
yang beriman tersebut ada orang yang telah menepati apa yang mereka telah
janjikan kepada Allah, maka di antara ada yang telah gugur. Dan di antara
mereka ada yang masih menanti (syahid) dan mereka tidak mengubah (janji-Nya
untuk berjuang di jalan Allah).”
6- Perjuangan
tidak pernah berhenti dan tamat. Pergolakan yang berlaku di dunia yang
menyaksikan umat Islam ditindas merupakan satu kewajipan yang mesti dilaksanakan
bahawa perjuangan Islam tidak pernah berhenti. Islam terus diperjuangkan
sehinggalah manusia kembali kepada Allah iaitu sehingga hari kiamat. Sabda Nabi
SAW yang bermaksud :
“Akan ada sentiasa
satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran, mereka tidak
akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka dan kelompok
tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya.”[11]
Wallahu a’lam…
Disediakan oleh :
‘Izzati Farhana bt
Mahadzir
Penasihat HEWI PMRAM
2012
Rujukan :
1-
As-Sirah An-Nabawiyah, oleh Dr
Ali As-Solabi, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
2-
Fiqh As-Sirah, oleh Dr Muhamad
Said Ramadhan Buthi, cetakan Dar As-Salam
3-
Al-Quds Qadhiyah Kulli Muslim,
oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
[1] Imam Nawawi dalam syarahnya ke atas Sahih Muslim, m/s 390 dan Ibnu
Hajar dalam kitab Fathul Bari
[2] Al-Fath Ar-Rabbani m/s 255
[3] Fathul Bari jilid 8 m/s 200
[4] Tafsir Ibnu Kathir, jilid 4 m/s 274
[5] As-Sirah An-Nabawiyah, oleh
Dr Ali As-Solabi, m/s 278
[6] Bukhari dan Muslim
[7] Riwayat Abdullah bin Ahmad di dalam Musnad Ahmad
[8] Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah dan Abi Sa’id AL-Khudri
[9] Bukhari dan Muslim
[10] Riwayat Abdullah bin Ahmad di dalam Musnad Ahmad
[11] Bukhari dan Muslim