Segala puji dan syukur
dipanjatkan ke hadrat Ilahi, Tuhan yang
maha berkuasa ke atas segala sesuatu, dan dengan cahaya petunjukNya mengeluarkan
manusia dari kekufuran kepada cahaya keimanan. Selawat dan salam ke atas junjungan
besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah memerah keringat dan berkubang darah untuk
memenangkan agama tercinta. Tanpa kesungguhan dan berkat kesabaran baginda,
sudah tentu kita tidak dapat mengecapi dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat
Iman dan Islam.
قال الله تعالى : { يَرْفَعِ اللهُ
الذِّينَ ءَامَنُواْ مِنكُمْ وَالذِّينَ أُوتُواْ العِلْمَ دَرَجَاتٍ }
[المجادلة، 58 : 11]
Berdasarkan ayat di
atas, Allah S.W.T mengangkat darjat
orang-orang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.
Nabi Muhammad S.A.W
bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya
ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman pula hanya didapati
dengan mendalaminya, sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan kepada
dirinya, diberikan kefahaman yang mendalam dalam urusan agama”.
Masa
berlalu begitu pantas. Tanpa disedari, kita sudah pun memasuki fasa imtihan.
Ketika ini, masing-masing sibuk menelaah kitab-kitab kuliah dan bahan rujukan
lain sebagai persediaan menempuh imtihan sehingga merasakan bahawa masa yang
diperuntukkan selama 24 jam tidak mencukupi. Sesungguhnya kewajipan kita
melebihi masa yang ada. Ramai manusia tewas disebabkan tidak pandai
memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya.
Nabi
Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Rebutlah
lima perkara sebelum datang lima perkara, usia mudamu sebelum tua, masa sihatmu
sebelum sakit, masa senangmu sebelum papa, masa lapangmu sebelum sibuk, dan
masa hidupmu sebelum mati”.
Antara persediaan lain
yang harus ditekankan ialah persiapan dari sudut fizikal mahupun mental
lebih-lebih lagi dalam musim sejuk ini. Ramai dalam kalangan kita mengalami
selsema, batuk dan demam dek kesejukan. Hal ini perlu dirawat segera agar tidak
berlanjutan sehingga hari peperiksaan. Kita juga perlu menghilangkan segala
kekusutan serta gangguan emosi yang boleh menjejaskan mutu pembelajaran kita.
Selain itu, hubungan
dengan Allah Taala serta sesama manusia haruslah dipelihara dengan baik. Marilah
kita mewujudkan suasana solehah seperti melazimi solat berjemaah, tegur-menegur,
ziarah-menziarahi dan sebagainya agar dapat menguatkan lagi ikatan ukhuwah yang
telah terbina. Hilangkanlah segala sengketa dan permusuhan kerana kita semua
adalah bersaudara.
Untuk
akhirnya, marilah sama-sama kita berusaha semaksima mungkin untuk mencapai kejayaan.
Lakukanlah yang terbaik dalam peperiksaan supaya kejayaan yang bakal kita
kecapi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk Islam. Sesungguhnya keberkatan dalam
menuntut ilmu dapat dilihat setelah kita mempraktikkan ilmu yang dimiliki walaupun
sedikit.
Imam
al-Ghazali pernah berkata:
“Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada
masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan
berlaku dan sia- sia”.
Selamat
melayari bahtera imtihan…
“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”
“BERILMU DAN BERAMAL”
NURUL BASYIRAH BINTI YAHAYA
Setiausaha,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut
Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.