PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, June 30, 2013

KRITIKAN; PELUNTUR VS PENCETUS SEMANGAT


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji dirafa’kan ke hadrat Allah S.W.T Tuhan sekalian alam, selawat dan salam dihadiahkan buat junjungan besar baginda  Nabi Muhammad SAW penyelamat ummat akhir zaman, serta buat para sahabat, tabi’ tabiin penerus perjuangan menegakkan Islam.

      Mutakhir ini, kita sering dihujum dengan kata-kata cemuhan dan tohmahan terhadap prestasi mahasiswa-mahasiswi keluaran timur tengah. Namun, adakah benar kata-kata ini atau sekadar retorik untuk menjatuhkan himmah kita sebagai penuntut ilmu agama yang akan pulang sebagai pembimbing ummah.

      Catatan perjuangan nabi Muhammad S.A.W, nabi-nabi terdahulu serta para sahabat tidak pernah sunyi daripada dihimpit dengan pelbagai tohmahan, cercaan,  ejekan dan kesukaran membuktikan bahawa itulah sunnah dalam perjuangan menegakkan kebenaran. Malah perjuangan yang terlalu senang tanpa rintangan yang patut kita ragui, adakah di jalan yang benar atau sebaliknya. Ini terbukti dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.”
                                                                                                    (Surah Muhammad: ayat 31)
Saudara-saudari yang dirahmati Allah sekalian,

      Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang, jika tiada benar masakan berita dicanang. Cemuhan dan tohmahan ini perlu dikaji kesahihannya tanpa dibiarkan sepi tanpa tindakan. Ayuhlah kita bermuhasabah, adakah tohmahan ini berpunca daripada sikap kita yang semberono dalam menyampaikan ilmu tanpa berasaskan dasar yang kukuh atau tanpa kematangan ilmu yang sempurna  atau juga kerana sikap kita dalam berdakwah tanpa menitikberatkan cara dakwah dengan hikmah sepertimana yang dinyatakan di dalam firman Allah Taala yang bermaksud :

”Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik”.                                                                                                                                                                                                      (Surah An-Nahl: ayat 125)

      Situasi ini wajarlah kita hadapi dengan bijaksana sesuai dengan kedudukan kita sebagai tolibul ilm. Jadilah seperti perwira Islam yang sebenar, tidak lesu dek cemuhan, tidak termakan dek hasutan namun terus tegar menebar ilmu menabur jasa demi melihat kedaulatan Islam di tanah air tercinta. Manfaatkanlah waktu yang ada untuk memenuhkan dada dengan ilmu dan kemahiran. Elakkan membazir waktu dengan hiburan dan perdebatan. Satu pepatah arab: Al-qudwah qabla da’wah. Bersedialah sebagai daie mithali sebelum turun ke medan dakwah yang sebenar. Mantapkan akidah ketuhanan, cantikkan akhlak dan perlakuan, tambahkan ilmu pengetahuan dan ikhlaskanlah niat kerana Tuhan.

      Masyarakat celik melihat, dunia bijak menghukum. Andai baik persembahan kita, baik jugalah kata mereka, andai buruk perlakuan kita buruk jugalah pandangan mereka. Usah gentar dengan cemuhan si jahil, ambillah sebagai pembakar semangat untuk terus maju. Beramal dengan Islam di saat kejahilan bertebaran ibarat menongkah arus menerjang badai, namun kebenaran jua yang akan menang akhirnya. Itulah janji Allah yang pasti.

      Akhir kata, saya menyeru kepada semua agar bangkit bersatu menghadapi tohmahan ini dengan bijaksana. Hentikan perdebatan semata-mata untuk kelihatan hebat kerana itu akan membawa perpecahan. Ketahuilah tidaklah hebat seseorang itu dengan sekadar menang dalam perdebatan, namun orang yang hebat adalah orang yang berusaha memajukan diri dengan pelbagai cara dan ikhtiar. 

      Telah warid daripada hadis Rasulullah S.A.W tentang larangan berdebat atau berjidal. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

Tidaklah sesuatu kaum menjadi sesat setelah diberi petunjuk kecuali setelah mereka mendapati jidal.” Kemudian Rasulullah s.a.w membaca ayat, “Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah sahaja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar.”                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     


“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

“JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN”


MARYAM BINTI ABDUL GHANI
Unit Kebajikan ,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.