PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, August 1, 2013

Merealisasikan Momentum Tarbiah Ramadan

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah : 183)
 
Segelintir berpendapat Ramadan adalah bulan menambah kekuatan rohani atau spiritual, dan ia merupakan satu bukti kelebihan berpuasa di bulan Ramadan. Di bulan yang mulia ini, umat Islam lebih mudah melakukan ibadah puasa yang mungkin sukar dilakukan pada waktu-waktu lain. Begitu juga dengan amalan-amalan lain seperti istiqamah solat berjamaah dalam setiap waktu dan meninggalkan dosa-dosa kecil
 
Namun terkadang keghairahan ini dirasai pada permulaan Ramadan sahaja. Apabila bulan mulai mengecil, semangat dan keghairahan merebut keberkatan kian Ramadan pudar, lebih-lebih lagi dengan kekerapan lagu-lagu raya didendangkan berbanding alunan suci ayat Al-Quran.
 
Implikasi daripada tarbiah  madrasah Ramadan boleh kita rasai sehingga pengakhiran bulan malah dapat menjadi benteng bagi 11 bulan yang berbaki kerana dengan berpuasa selama sebulan diikuti enam hari dalam bulan Syawal adalah ibarat berpuasa selama setahun.
 
Alangkah berertinya jika sebulan Ramadan ini kita sama-sama membina saf kesatuan yang padu hanya untuk-Nya, bukan sekadar tajarrud kepada Ramadan atau imtihan yang nyata untuk kepentingan diri sendiri yang bersifat sementara kerana kita diciptakan bukan untuk menjadi hamba Ramadan dan imtihan tetapi menjadi khalifah, hamba kepada Sang Khaliq.
 
Dalam memastikan pemenjaraan syaitan yang telah bersumpah setia untuk memperdayakan anak-anak Adam sehingga hari kiamat ini benar-benar terealisasi dalam diri kita, momentum sepertiga malam perlu ditanam dan disemai kerana semboyan jihad telah lama dicanangkan dalam memerangi godaan syaitan.
 
Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita hamba yang lebih bertaqwa ke arah pembinaan perisai nan kukuh dalam menghadapi sang syaitan pabila menyingsing fajar lebaran nanti
 
"JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN"