PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, January 2, 2012

Kenyataan Rasmi : Kelangsungan Mahasiswa Mesir Perlu Diteruskan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
 
Setinggi-tinggi kesyukuran hanyalah untuk Ilahi, Pencipta Teragung yang telah mengurniakan kekuatan dan kesempurnaan waktu. Selawat dan Salam buat junjungan besar kita Saidina Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda dan para sahabat.

Firman Allah SWT, Dan tidak ada Yang lebih baik perkataannya daripada orang Yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat : 33)


Sahabat dan sahabiah sekalian,

Ketika di ambang peperiksaan, kita telah dikejutkan lagi dengan pelbagai tuduhan sehingga sebahagian pihak berwajib berusaha untuk menyekat penghantaran pelajar Terengganu ke Mesir. Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) mewakili seluruh mahasiswa Terengganu Mesir merasakan tindakan ini adalah tidak wajar dan melulu tanpa sebarang kajian yang terperinci kerana ianya hanya mengaitkan beberapa tuduhan yang difikirkan tidak berasas.

SISTEM PENGAJIAN YANG TERKEBELAKANG

Berkenaan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Wan Harunjan Sulaiman melalui keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 25 Disember 2011, “MAIDAM mengambil langkah menghentikan penghantaran pelajar ke Mesir” seperti Yayasan Terengganu bermula tahun depan agak memeranjatkan semua mahasiswa Islam Terengganu di Mesir.

Hadirin seperjuangan,

Kenyataan tersebut telah menafikan dan merendahkan martabat universiti tertua di dunia iaitu Universiti al-Azhar dan juga universiti di sekitarnya yang telah menjadi tumpuan jutaan pencinta ilmu di seluruh pelusuk dunia baik dari segi Pengajian Islam mahupun Perubatan.

Sesungguhnya sistem pengajian di kuliah sentiasa ditambahbaikan bahkan mampu menandingi universiti-universiti lain demi memantapkan ilmu para penuntut di sini. Mahasiswa Islam di sini juga dilengkapkan lagi dengan pelbagai muhadarah bersama Masyaikh al-Azhar, program Word Association of al-Azhar Graduates (WAAG), nadwah, diskusi kitab, motivasi kecemerlangan dan sebagainya.

MAHASISWA TERLIBAT DENGAN PERKARA YANG MERUGIKAN KERAJAAN

Secara amnya, Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) dinaungi oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan berdaftar di bawah Kedutaan Besar Mesir Kaherah (KBMK) sentiasa konsisten dan komited dalam menjaga kebajikan Mahasiswa Islam Terengganu. Baik dari sudut keilmuan akademik, nilai tambah dalam ilmu berorganisasi, syakhsiah diri dan medan lapangan lain yang disediakan demi menjayakan misi kerajaan negeri seiring dengan harapan Yayasan Terengganu dan  MAIDAM untuk melahirkan generasi “Ulama Kualiti dan Kuantiti.”


Antara Manhaj Pengajian al-Azhar ialah menggabungkan tiga elemen pengajian iaitu pembelajaran di Jami’ah (universiti), Jaami’ (masjid) dan juga Jam’iyah (persatuan). Manhaj ini telah terbukti begitu terkesan dalam jiwa ummah sehingga terlahirnya ulama besar di dunia seperti Dr. Yusof al-Qardhawi, Syeikh ‘Ali Jumaah, Syeikh Ramadhan al-Buti, dan sebagainya bahkan sebahagian ahli Parlimen di Malaysia adalah terhasil dari pengajian di Mesir.

Akhir kalam, KPT Mesir menarik simpati daripada pihak berwajib untuk menilai kembali segala kenyataan berkenaan dengan mahasiswa Terengganu di Mesir dan berharap agar meneruskan lagi kelangsungan mahasiswa di Mesir. Ianya adalah demi melahirkan generasi harapan ummah dan mampu membimbing masyarakat dengan nilaian Islam yang sebenar. Semoga kita sentiasa dinaungi oleh Allah SWT di dunia dan juga akhirat.

Wallahu A’lam.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”

“BERILMU DAN BERAMAL”

MOHD ZAHANI BIN ABDUL GHANI
Yang Dipertua,
Keluarga penuntut-Penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.