Tirai 2011 bakal bakal berlabuh dan tirai 2012 akan membuka lembaran baru dalam kehidupan.Umat manusia akan menyambut kelahiran tahun baru dengan catatan-catatan kehidupan disingkap dalam memori setahun yang berlalu dan lembaran baru dibuka untuk mengukir catatan sejarah baru dalam kehidupan seharian.
Sebagai insan yang melayari bahtera kehidupan, tahun baru tidak cukup diertikan hanya pada nama kerana masyarakat yang terdidik dengan nama tahun baru tanpa persediaan dan tujuan yang benar akan hanyut dalam arus kemodenan dan pembangunan. Tahun baru harus digerakkan seiring dan tujuan dan matlamat yang betul selari dengan tuntutan Islam yang hanif agar lembaran-lembaran kehidupan manusia bergerak dalam acuan yang dikehendaki oleh Agama.Kegagalan manusia untuk memaknakan tahun baru dengan intipati dan acuan syariat Allah SWT pastinya akan menghayutkan dan menggelamkan manusia dalam lembah kebinasaan.
Firman Allah SWT:
‘Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan’
(Al-Baqarah: 195)
Sejarah sebagai cerminan muhasabah:
Sejarah-sejarah yang berlalu akan kekal sebagai cerminan terhadap perilaku dan landasan yang dilalui oleh setiap manusia. Ianya tidak mampu diubah mahupun dilenyapkan daripada memori perjalanan kehidupan manusia.Cerminan inilah yang mewajahkan bentuk tubuh manusia sama ada buruk mahupun baik. Sejarah kehidupan lalu tidak boleh dibiarkan terus berlalu tanpa memuhasabah dan mengkoreksi diri sepanjang setahun perjalanan.
Dalam keghairahan kita untuk membuka lembaran baru kehidupan, jangan membiarkan setahun yang berlalu tidak langsung memberi iktibar dan perubahan dalam diri. Fenomena yang berlaku hari ini, kita melihat ramai orang yang begitu gembira dan bersuka-ria tatkala detik 12 malam tiba, bahkan mereka meraikannya tanpa terdetik sedikitpun rasa keinsafan dalam hati. Mereka tidak mengetahui bahawa manusia yang sangat rugi adalah mereka yang tidak mampu untuk mengambil pelajaran daripada masa lalu untuk melakukan perubahan dan memperbaiki diri. Begitu juga, kegagalan meletakkan sejarah sebagai cerminan akan memberi kesan di mana berkemungkinan mereka pasti mengulangi kesilapan dan kekurangan yang telah dilakukannya setahun yang lalu.
Atas asas yang besar ini Allah SWT memperingati seluruh umat manusia dengan Masa. Kegagalan mereka memanfaatkan masa yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan keimanan dan amal soleh akan meletakkan diri mereka bersama dengan golongan yang sangat rugi.
Firman Allah SWT:
'Demi Masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal Soleh.Berpesan-pesanlah dengan kebenaran dan berpesan-pesanlah dengan kesabaran'.
( Al-'Asr: 1-5).
Hayati dengan iman, bukan nafsu.
Islam mengajar umatnya agar sentiasa melakukan sesuatu dengan acuan iman serta menjauhkan diri daripada mengikut hawa nafsu.Inilah sifat seorang Muslim yang benar kerana Allah SWT. Hari ini, sebahagian golongan masyarakat terutama muda-mudi melihat tahun baru daripada cerminan nafsu dan bukannya iman. Maka,sepanjang kehidupan yang mereka lalui, ia hanya akan menjadi sia-sia dan tidak langsung memberi manafaat kepada diri mereka.
Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah”
(Al-Shaad: Ayat 26)
Perhatikan juga perkataan Saidina Ali KWJ yang bermaksud:
'Apa yang paling aku bimbangi terhadap kamu adalah mengikut hawa nafsu dan panjang angan-angan, kerana mengikut hawa nafsu itu ditolak oleh kebenaran dan panjang angan-angan itu akan melupakan kamu kepada akhirat'.
Masyarakat seharusnya sedar bahawa tahun baru itu secara hakikatnya berlaku setiap hari dalam kehidupan seorang Muslim yang beriman dan bukan hanya sekali sahaja dalam setahun.Ia bermaksud seseorang individu Muslim tersebut sentiasa memperbaharui iman, akhlak, semangat, dan tatacara pergaulan seharian yang berlandaskan syariat. Kesedaran inilah yang akan menjadikan Umat Islam kekal bermotivasi dan kuat untuk melaksanakan proses kehidupan mereka selari acuan Islam.Bahkan, Inilah yang dikehendaki dan dianjurkan oleh Islam agar ia dicernakan dalam diri dan jiwa umat Islam yang beriman untuk melahirkan jiwa dan semangat yang kuat dan kental menghadapi cabaran sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Para Sahabat nabi SAW dan para pejuang terdahul yang sentiasa mencari kemuliaan mereka dengan Islam.
Ingatilah kata-kata yang telah disebutkan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a :
'Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam, maka sekiranya kita mencari kemuliaan dengan yang selain Islam, maka kita akan dilaknat oleh Allah SWT'.
Mencetus perubahan:
Ayuh kita bersama jadikan lembaran baru menjelang tiba ini sbeagai medan mencetus perubahan. Sesungguhnya Umat Islam adalah umat yang sentiasa berada pada paras kecemerlangan dan kehebatan yang tertinggi. Kita senada mengatakan bahawa Islam adalah agama yang tertinggi dan umat Islam adalah umat yang terbaik:
Sabda Rasulullah SAW:
'Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggidaripadanya'
(Hadith riwayat Imam Al-Bukhari, turut diriwayatkan oleh Al-Daruuqutni dan Al-Baihaqi)
Beberapa perkara penting yang boleh kita manafaatkan bersama adalah seperti berikut:
1. Memperbaharui niat dan azam.
2. Menghayati isi kandungan al-Quran dan Al-Sunnah.
2. Berubah daripada keadaan yang kurang baik kepada yang lebih baik.
3. Mempertingkatkan diri dengan ilmu pengetahuan.
4. Memuhasabah dan mengkoreksi sejarah kehidupan lalu.
4. Menghayati sirah perjalanan Rasulullah SAW dan para sahabat Nabi SAW.
5. Cakna isu-isu semasa yang berlaku di seluruh dunia seperti isu Palestin, Syria, Somalia, Yaman, dan sebagainya.
Kesimpulannya, bukanlah tahun baru itu menjadi persoalan, namun persoalannya apakah persediaan kita untuk menjadi masyarakat dan umat yang benar-benar bergarak dan beramal selaras dengan kehendak dan tuntutan-tuntutan Agama dan sejauh manakah kita mengoreksi dan memuhasabah segala amal perbuatan yang kita telah lakukan. Jawapan terhadap persoalan itu terletak pada jiwa dan hati anda.
Selamat melayari lembaran baru kehidupan.Ayuh bersama mencetus perubahan!.
KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH
SYEIKH MUHD MUJAHID BIN SIKH NAWAWI,
Naib Presiden III,
Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2011