PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, September 25, 2011

PIMPINAN KPT MESIR BERMESRA DENGAN MAHASISWA BARU


Kaherah, 18 September 2011 – Saban tahun bumi kinanah ini silih berganti dengan para pencinta ilmu Allah.


Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) tidak ketinggalan menerima kehadiran mahasiswa baru daripada kalangan mahasiswa pengajian Islam dan perubatan.


Majlis ramah mesra bersama kepimpinan KPT Mesir telah berlangsung di Dewan Darul Iman, Asram Terengganu, Kaherah. Mahasiswa baru juga turut diperkenalkan dengan ahli KPT Mesir yang menginap di situ.


Sesi suai kenal itu turut dihadiri oleh mahasiswa baru daripada pengajian perubatan di bawah tajaan JPA.


Mereka juga turut diberikan penerangan tentang sejarah, misi dan visi KPT Mesir sejak penubuhannya yang bermatlamatkan menjaga kebajikan mahasiswa dan kesatuan yang menaungi mahasiswa Terengganu yang menuntut di Mesir, bumi Anbiya’.


KPT Mesir menjadikan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai penaung dan ianya telah didaftarkan di bawah pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).


Turut mendapat perhatian adalah sesi dialog antara pimpinan dan mahasiswa baru dengan pelbagai persoalan dan cadangan telah dikemukakan.


Menyerikan suasana majlis itu, tayangan khas tentang aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak KPT Mesir bagi tatapan mahasiswa baru.


Majlis tersebut diakhiri dengan jamuan istimewa yang disediakan dan sesi fotografi sebagai tanda kenang-kenangan.


Yang Dipertua KPT Mesir, ketika ditemui melahirkan kegembiraan atas kebersamaan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh mahasiswa baru.


Pihak KPT Mesir mengalu-alukan kedatangan mahasiswa baru dan mengucapkan selamat datang ke bumi kinanah serta jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis tersebut.


Semoga pekenalan terus berkekalan dan mendoakan kejayaan semua di dunia dan akhirat.