Lebih 1400 tahun yang lalu, sebuah cara hidup bernama Al-Islam telah lahir lantas menobatkan manusia di tempat sewajarnya, tidak lagi dibelenggu Jahiliah, tidak lagi diseret ke makam terendah. Agama Islam telah meninggikan semula martabat golongan wanita, dan pernyataan ini bukanlah hakikat yang mampu ternafikan.
Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berjaya menyempurnakan budi pekerti kaum lelaki. Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah SAW telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada ibu mereka.
Justeru, wanita solehah tidak boleh sembarangan mencintai lelaki. Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah pembela nasib kaum wanita. Baginda telah mengangkat martabat kaum wanita daripada diperlakukan dengan kehinaan pada zaman Jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.
Bahkan lagi, sebagai salah satu tanda kasih Baginda SAW terhadap kaum wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita, khususnya ahli keluarga mereka. Rasulullah SAW sendiri menjadikan diri dan keluarga baginda SAWN suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik dan memuliakan kaum wanita.
Rasulullah SAW bersabda,
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Lagi sabda Rasulullah SAW,
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Riwayat Abu ‘Asakir)
Lebih istimewa, apabila wanita solehah itu sendiri dianggap lebih baik daripada bidadari syurga. Kenalkah anda siapa bidadari syurga?
“Dan di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan, menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka ( penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin.”- QS. Ar-Rahman : 56
“ Seakan-akan bidadari itu permata yaqut dan marjan” – QS. Ar-Rahman : 58
“ Sesungguhnya Kami menciptakan mereka ( bidadari-bidadari ) dengan langsung dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan penuh cinta lagi sebaya umurnya”- QS. Al-Waqiah : 35-37
Sabda Rasulullah SAW:
(...Seandainya salah seorang wanita penduduk syurga menengok penduduk bumi, nescaya dia akan menyinari keduanya ( penduduk syurga dan penduduk bumi ) dan akan memenihinya dengan bau wangi-wangian. Dan setengah dari kerudung wanita syurga yang ada di kepalanya itu lebih baik daripada dunia dan isinya ) ( HR. Bukhari dari Anas bin Malik RA )
Jadi, percayakah anda, bahawa insan lemah bernama wanita, seandainya dialah wanita solehah, maka dia lebih unggul daripada bidadari syurga.
Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang): ( Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari? Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”
Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani)
Demikianlah tingginya darjat wanita solehah, sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Maka, amat malang sekali seandainya wanita itu meletakkan dirinya kembali ke kancah Jahiliah, merendahkan martabat diri sendiri dengan meninggalkan saranan-saranan agama, sedangkan kelebihan mentaati agama itu jauh lebih istimewa daripada ketaatannya itu.
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)
Baginda S.A.W bersabda lagi:
“Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Demikianlah, wahai wanita, kerana apa? Kerana dirimu begitu berharga!
Oleh :
Zakiatun Nazneen
Mahasiswi Universiti Al-Azhar Cawangan Iskandariah
sumber : biah solehah PMRAM