PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, December 15, 2011

Thaqafah Berkualiti Membentuk Keluarga Mithali

KAHERAH, 10 Dis - Penekanan thaqafah merupakan tunjang utama dalam membina sebuah generasi yang dicorakkan di atas landasan Islam berpaksikan Al-Quran dan Sunnah.

 
Oleh kerana yang demikian penekanan yang disasarkan dalam penganjuran Madrasah Saidatina Aisyah ( MSA ) dibawah Unit Pengetahuan dan Penyelidikan HEWI PMRAM 2011 selama ini dengan melaksanakan beberapa agenda dan aktivitinya tidak lain dan tidak bukan bagi merealisasikan objektif dan matlamat tersebut.
 
Antara pengisian yang mendapt sambutan baik dikalangan mahasiswi baru-baru ini samada pengajian Islam mahupun perubatan adalah diskusi kitabTarbiatul Aulad Fil Islam “ karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan.
 
Kitab ini menjadi pilihan MSA pada kali ini dengan bertujuan untuk memahami konsep bait muslim yang sering dibicarakan dan objektif perlaksanaannya mengikut pandangan syara'.
 
Dengan menampilkan tenaga pengisi khusus daripada Unit Bait Muslim sendiri Saudari Hanisah bt Hj Muslim dan Saudari Noor Hafizah bt Samsudin dapat memberikan gambaran bahawa walaupun sudah bergelar seorang isteri tiada halangan dalam memenuhi kehendak semasa untuk melebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat.
 
Diskusi ini akan diteruskan lagi pada siri akan datang menerusi bab yang kedua bermula selepas musim peperiksaan nanti.
 
Memetik kalam yang ingin disampaikan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya,“ Untuk menjadikan Negara yang memahami Islam perlulah bermula dari pemahaman Islam dan aqidah yang baik, seterusnya bijak dalam memilih pasangan hidup yang sama-sama akan bergerak dalam mentarbiah anak-anak mengikut arca Islam dan syariat Allah”.
 
Dr Nasih Ulwan juga telah menetapkan senarai kitab yang perlu dibentangkan kepada anak-anak mengikut lapisan umur dan cara mengatasi keruntuhan akhlak dikalangan anak-anak.
 
Pelbagai manfaat yang boleh diperolehi menerusi kitab ini antaranya bagi memanfaatkan peranan muslimah sekaligus memantapkan jati diri seorang muslimah yang lengkap dengan ilmu dan akhlak yang sempurna.
 
"Semoga dengan pembentangan daripada kitab ini dapat memberikan kefahaman yang jelas dengan apa yang Islam gariskan dan tiada alasan untuk kita tidak dapat mengaplikasikan dalam kehidupan seharian agar ilmu ini seiring dengan amal,” ujar Saudari Intan Soraya Hashim selaku Ketua Unit Pengetahuan dan Penyelidikan HEWI PMRAM ketika ditemui semalam.
 
“HEWI PMRAM tetap optimis dalam menjayakan pembawaan dan tema HEWI PMRAM dibawah subtopik ‘Jana Thaqafah Gilap Kemahiran’ yang mana lebih memfokus kepada peningkatan ilmiah dan thaqafah dikalangan ahli HEWI khususnya,” ujar Saudari Nurain Yaacob selaku Timbalan Pengerusi HEWI.