KAHERAH, 23 Dis – Hal Ehwal Wanita Islam ( HEWI ) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir sentiasa optimis dalam memastikan kredibiliti mahasiswi Islam dipertingkatkan. Justeru, satu Majlis Pelancaran Kuliah Sayyidul Ayyam dan Tautan Raudhah telah berjaya diadakan sempena Muzakarah Berkelompok Gabungan minggu ini.
Majlis yang penuh seri ini dirasmikan oleh Saudari Noor Akmaizan Yusof; Hewi Angkat PMRAM Cawangan Terengganu di Dewan Darul Iman, seawal jam 9 pagi.
Menurut beliau, seorang mahasiswi perlu menjadi seseorang yang bersifat mukminah, muslimah, mujahidah dan solehah. Ujarnya lagi, mahasiswi khususnya perlu mempunyai seorang tokoh dalam kehidupannya serta menjadikan setiap kayuhan langkahnya itu sebagai suntikan dalam menghadapi suasana dunia yang kian mencabar.
Turut hadir dalam majlis ini adalah pimpinan Taakhi Zon A iaitu Naib Pengerusi HEWI I Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM); saudari Nurul Hanna Mohamad Bokhari dan juga Naib Pengerusi HEWI Majilis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK); saudari Sarah Wahida Ismail.
Antara objektif program Tautan Raudhah adalah menghidupkan biah solehah, mengeratkan ukhwah antara ahli dan menggalakkan budaya saling mengambil berat.
Majlis ditambah seri dengan tazkirah yang disampaikan oleh Raisah BKAWM yang banyak menekankan tentang teknik pengurusan masa yang berkualiti; juga berkaitan dengan 3 sifat terakhir peribadi muslim. Cabutan bertuah juga diselang-seli dengan tayangan video dan slot-slot lain.
Di akhir majlis, doa rabithah dibacakan bagi mengikat hati-hati mukminat para hadirat yang turut serta dari awal hingga tamat program; sekitar jam 11.