[MONOLOG] Ya Allah, tersentak jantung tatkala mendengar perkhabaran doktor mengatakan imtihan akan diadakan 28.4.2012 ni. Ya Allah, kenapa awal sangat? Kuliah malas nak jejak, buku ada lagi yang tak beli, tutorial pula? Hurm, lagilah! Argh, tension! Rasa seperti nak menangis pun ada. Rasanya semacam ada tong gas jatuh atas kepala. 8 subjek untuk kali ini. Ujian Lisan? Al-Quran belum habis hafaz lagi. Kemudian ujian ulangan untuk subjek yang gagal tahun lepas pula. Aduh, bercabang otak memikirkan solusi masalah ini. Melihat pada cara masalah ini seperti tiada solusi.
Sahabat-sahabat sekalian, adakah anda mengalami suasana seperti sahabat kita di atas? Pasti ramai yang cuak dengan tarikh peperiksaan diawalkan. Tapi adakah tarikh peperiksaan yang harus dipersalahkan? Universiti al-Azhar? pilihanraya? inilah sifat semulajadi manusia suka menyalahkan orang lain. Cuba kita tanya pada diri kita, sebelum ini kemanakah kita menghilangkan diri tatkala kuliah rancak berlangsung? Mari soroti tip di bawah ini :-
TIP-TIP SEBULAN SEBELUM MENGHADAPI PEPERIKSAAN
Anda perlu bertenang dan jangan cemas. Tiada faedah yang akan diperolehi sekiranya anda cemas keterlaluan. Selepas bertenang, buat penilaian apa tindakan yang akan diambil seterusnya. Rancang tindakan yang akan diambil dan disiplinkan diri untuk mengikut perancangan yang dibuat.
2) Beri tumpuan lebih terhadap pembelajaran.
Letakkan seluruh tumpuan fikiran anda kepada proses pembelajaran yang anda lakukan. Jangan terlalu memikirkan bahawa anda kesuntukan masa. Hafal perkara yang sepatutnya dihafal seperti biasa dan jangan melengah-lengahkan masa belajar.
Meskipun anda cuba mengenepikan ketakutan dan kegelisahan yang anda alami itu, tetapi lama-kelamaan perasaan itu akan datang semula. Sekiranya hal ini berlaku, cuba alihkan diri anda dari tempat belajar untuk melakukan senaman ringan seperti berdiri sambil menarik dan melepaskan nafas panjang-panjang secara perlahan-lahan beberapa kali. Kemudian duduk semula dan cuba teruskan pembelajaran anda. Cara ini sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan perasaan anda yang tidak tenteram itu.
Sentiasa melazimi kuliah disaat akhir sebelum imtihan kerana “akhir muhadoroh miftahul imtihan” dan mengambil nota-nota tambahan doktorah serta muqorror dari kawan-kawan arab. Di samping itu juga, mengetahui teknik menjawab soalan yang dikehendaki oleh doktorah juga merupakan perkara penting ketika hendak menjawab soalan peperiksaan.
3) Yakin terhadap kebolehan diri.
Selalu tanamkan dalam diri anda bahawa “saya boleh” dan tulis besar-besar dan terang dan letakkan di hadapan anda (di tempat anda belajar). Tiap-tiap kali anda melihat kad itu anda yakin bahawa anda boleh berjaya. Sekiranya anda dapat menanamkan dalam diri anda bahawa anda berkeyakinan penuh boleh melakukan, maka secara spontan anda berusaha bersungguh-sungguh dan mental anda dapat berfikir ke arah kejayaan dan apa-apa yang anda cita-citakan selama ini akan membuahkan kejayaan yang membanggakan.
4) Masa rehat perlu secukupnya.
Semasa belajar anda berasa cepat letih, sama ada dari segi fizikal atau mental. Ambil masa untuk otak anda berehat sepenuhnya. Anda juga digalakkan bangun dan cuba berjalan-jalan sebentar dan setelah merasakan kelegaan barulah anda menyambung semula pembelajaran anda.
5) Hapuskan tabiat suka tidur.
Sebaiknya para pelajar tidak terlalu melayan keinginan untuk tidur dari belajar. Kurangkan waktu tidur anda demi meraih satu kejayaan. Gunakan lebih banyak masa mengulangkaji pelajaran di samping melakukan latihan-latihan sendiri supaya anda berkeyakinan. Jadualkan masa tidur anda supaya anda tidak terlebih tidur. Sekiranya anda hendak tidur beberapa jam, anda pelu mengunci jam dan letakkan jam loceng berhampiran anda supaya anda terjaga pada waktu yang dikehendaki.
6) Beri tumpuan lebih kepada bab yang penting.
Dalam keadaan sebegini, anda hanya sempat mempelajari bahagian-bahagian yang penting sahaja. Jangan beri tumpuan berlebihan kepada bahagian-bahagian yang kurang penting. Cuba pilih lima atau enam isi penting daripada satu-satu bahagian dan tuliskan isi-isi penting ini di atas kertas dan cuba ingat serta hafalkan. Anda tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempelajari butir-butir yang kurang penting. Membuat soalan-soalan tahun lepas yang sering keluar sebagai latihan dapat membantu anda menumpukan bahagian yang patut dipelajari terlebih dahulu. Cuba pilih soalan-soalan yang mesti dijawab dan sediakan sekurang-kurangnya enam atau tujuh isi dari setiap soalan yang anda pilih.
7) Berdoa serta bertawakkal kepada Allah SWT.
Kita sudah melakukan yang terbaik dan sehabis daya tetapi hasilnya adalah kekuasaan Allah SWT. Ingatlah sahabat, doa adalah senjata mukmin. Doa tanpa usaha itu adalah satu kebohongan dan usaha tanpa doa adalah satu kesombongan. Berdoalah selalu kerana Allah sangat merindui rintihan hamba-hambaNya.
Untuk akhirnya, selamat menduduki peperiksaan. Sesungguhnya anda masih lagi mempunyai masa untuk mengulangkaji pelajaran selagi kaki belum melangkah ke dewan peperiksaan. Semoga kita mampu meraih kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Disediakan oleh:-
UNIT AKADEMIK
HAL EHWAL WANITA ISLAM
Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012