PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, April 16, 2012

SECANGKIR TINTA : IMTIHAN MENYINGSING KEMBALI

Bismillahirrahmanirrahim, segala puji bagi Allah, pencipta alam semesta yang layak disembah, yang memberikan kita nafas dalam nikmat terbesar iaitu iman dan Islam. Selawat dan salam dihamparkan ke atas nabi Muhammad s.a.w junjungan tercinta , agar syafaatnya diperolehi dan mengiringi kita di hari akhirat kelak insyaAllah, buat keluarga baginda serta sahabat yang setia mendokongi risalah nabawiah.

Sekelip masa berlalu, sedar tak sedar kita sudah tiba ke fasa  yang mendebarkan bagi kita selaku penuntut ilmu di bumi anbiaya’ ini. Fasa  imtihan kembali lagi.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran,” (Surah Al-Asr:1-3)

Ayatnya pendek dan mudah dihafal namun sukar dipraktikkan oleh kita selaku hamba-Nya. Jika tersilap langkah maka akan binasalah kita. Sebagai mahasiswa Islam kita perlu bijak dalam pengurusan masa agar dapat menyeimbangkan tanggungjawab sebagai hamba Allah Ta`ala dan tanggungjawab sesama manusia agar  tidak terabai.



Tanggungjawab kita selaku mahasiswa Islam bukan hanya berlegar sebagai pelajar sahaja, namun jangan kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba allah, anak, sahabat , da’ie dan sebagainya. Masalah inilah yang berlaku bila tiba sahaja musim imtihan, kita sering sahaja lupa dan mengabaikan tanggungjawab lain disebabkan terlalu ghairah dalam membuat persediaan imtihan hingga berlaku perselisihan faham antara kita dan sahabat kerana tidak melunaskan amanah sebagai ahli rumah. Contohnya tidak memasak mengikut jadual yang ditetapkan. Oleh itu, akan sia-sialah usaha kita bersengkang mata membaca buku tapi masih banyak lagi amanah lain yang kita abaikan yang boleh menyebabkan hubungan kita sesama manusia terjejas. Maka dimanakah redha Allah ketika itu?



Perlu kita sedari bahawa imtihan merupakan wasilah bagi kita untuk mencapai kejayaan dan dengan kejayaan itulah medium kita untuk menyebarkan dakwah Islam. Pastinya matlamat utama kita adalah untuk melihat agama Islam terus mekar dan seluruh penduduk bumi hidup berlandaskan syariat islam demi mencapai kejayaan di akhirat nanti. Oleh itu, adakah kejayaan tanpa redha Allah itu yang kita harapkan?. Pastinya tidak. Kejayaan yang hakiki pastinya bila mana kita dapat menyeimbangkan dunia dan akhirat tanpa mengabaikan hubungan dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-‘Imran ayat 112 yang bermaksud:

“ Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang pada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia ”.

Semoga dengan kehadiran fasa imtihan ini menjadikan kita mahasiswa Islam yang lebih matang berfikir dan dengan imtihan yang bakal ditempuhi akan menghasilkan kecemerlangan dalam keputusan nanti, dan yang lebih utama cemerlang dari sudut akhlak dan rohani supaya menjadi bekal bagi mencapai kejayaan di akhirat kelak. Amin.

Salam imtihan....


Nur Farhana Hanafi
Bendahari
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluar Penuntut-penuntut Terengganu
Sesi 2011/2012