20 November, Kaherah- Pimpinan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir Sesi 2012/2013 telah mengadakan
kunjung hormat ke Markaz HEWI PMRAM di Hayyu Sabi’.
Kunjungan ini diadakan agar pimpinan
cawangan mengenali pimpinan pusat seterusnya dapat menjalinkan kerjasama yang
utuh dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Majlis dimulakan pada jam 3.50 petang
dengan ucapan pengerusi majlis, Saudari Atiyqah binti Yusoff. Beliau memanjatkan
kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi keizinan untuk mengadakan pertemuan
ini dan mengalu-alukan kedatangan tetamu ke markaz. Majlis diteruskan dengan
sesi taaruf dan soal jawab.
Antara persoalan yang dilontarkan
ialah berkisar mengenai gerak kerja bagi portfolio yang dipegang,
keberjayaan usul, permasalahan di peringkat BKAN dan beberapa lagi isu lain.
Usai soal jawab, pertemuan tiba ke
penghujungnya. Ucapan penutup disampaikan oleh Saudari Siti Sarah binti
Bushari, Naib Pengerusi HEWI II merangkap Unit Dakwah dan Pembangunan Insan
PMRAM.
Beliau
mengucapkan terima kasih atas kesudian hadir dan barharap agar pertemuan ini
membuahkan sesuatu yang bermanfaat kepada semua pihak.
“Ramai yang berlumba-lumba untuk memegang amanah namun tak
ramai yang melaksanakannya. Hindarilah dua penyakit yang akan menjejaskan gerak
kerja kalian; keinginan menaikkan nama cawangan masing-masing dan tidak boleh
menerima teguran,”
ujarnya.
Majlis berakhir
sekitar jam 5 petang. Semoga kunjungan ini dapat merapatkan tautan ukhwah
sekaligus membentuk pasukan yang mantap bagi menggerakkan jentera Islam.