PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Saturday, May 14, 2011

DISKUSI MENGERATKAN UKHUWWAH


KAHERAH 12 MEI 2011 – Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) telah berjaya mengadakan Majlis Diskusi Kitab “Attaakhi Baina Muslimin”. Ianya berlangsung di Dewan Darul Iman dianjuran dibawah seliaan Biro Akademik Dan Biro Dakwah KPT.

Diskusi kitab ini telah dikupas secara mendalam oleh Pendiskusi Kitab iaitu Al-Fadhil al-Ustaz Muhammad Abdul Malik bin Abdul Karim yang merupakan mantan Penasihat PMRAM sesi 2010 dan juga penasihat BKAN Kelantan sesi 2010/2011. Majlis ini telah menarik minat kebanyakkan mahasiswa Islam yang berada di sekitar perlembahan Nil, Kaherah.

Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Mohd Hafiza Bin Mat Noor telah dimulakan dengan bacaan Al- Fatihah. Ianya diteruskan dengan pembentangan oleh Al-Ustaz Muhammad Abdul Malik untuk meneruskan lagi kefahaman dalam Kutaib (kitab Kecil) berkenaan.

Bagi menarik minat pendengar, Pendiskusi Kitab membawakan isu-isu semasa yang berlaku di Mesir, antaranya semua nama-nama yang tertulis Hosni Mubarak (Presiden Mesir sebelum ini) telah ditukar kepada nama-nama islam contohnya nama Syuhada’ dan banyak lagi.

Selepas itu, Ust Malik menerangkan definisi Attaakhi (saudara) dalam makna yang tersurat dan tersirat.Takrifan salah satunya Imam Assyahid Hasan Al-Banna semoga Allah merahmatinya berkata:

وأريد بالأخوة: أن ترتبط القلوبُ والأرواحُ برباط العقيدة، والعقيدة أوثق الروابطِ وأغلاها، والأخوَّة أخت الإيمان، والتفرُّقُ أخو الكفر، وأول القوة قوة الوحدة، ولا وِحْدَةَ بغير حب، وأقل الحب سلامة الصدر، وأعلاه مرتبة الإيثار

“Yang sangat maksud dengan ukhuwah adalah: mengikatnya hati-hati dan jiwa-jiwa ini dengan ikatan aqidah, dan aqidah merupakan ikatan yang paling kokoh dan paling mahal harganya, dan ukhuwah adalah saudara keimanan, sementara perpecahan adalah teman dari kekufuran, kekuatan yang utama adalah persatuan dan tidak ada persatuan tanpa cinta, dan cinta paling rendah adalah lapang dada, sementara yang paling tinggi adalah itsar.

Selain itu, buku Attaakhi Baina Muslimin ini membincangkan bahawa Persaudaraan ini dapat menyelamatkan daripada binasa angkara perbalahan dan pertelingkahan sesama sendiri dan juga krisis peribadi anggota masyarakat. Sekaligus ianya membina kasih sayang diantara satu sama lain dan mencetus kombinasi kerja yang jitu setelah mengikis prasangka dan su’ zhon dengan semangat persaudaraan Islam yang tinggi kerana persaudaraan merupakan saudara persatuan dan terapi bagi keterpurukan dan kehancuran, sedangkan perpecahan merupakan saudara kekufuran.

Semasa Diskusi kitab itu juga, Saudara Ustaz Malik menyeru supaya kepada mahasiswa/wi Islam merenung kembali sejarah yang berlaku ke atas umat Islam di Yaman, Palestin , Syria dan lain-lain lagi. Sebelum pergi lebih jauh, Ustaz Malik mengajak semua melihat kepada diri sendiri dahulu mengenai persaudaraan ini.

Selain itu juga, Pendiskusi Kitab mengatakan bahawa saudara yang jujur adalah yang melihat saudaranya lebih utama daripada dirinya sendiri dan mengajak mahasiswa/wi Islam yang merupakan ahli pendokong PMRAM bagi menjayakan usul Muktamar PMRAM 2010 iaitu bersama mempertahankan BKAN Melaka (BKKIMM) dari sudut tenaga dan lain-lain.

Sebagai penutupnya, harapan beliau agar ini menjadi satu wadah untuk merapatkan ukhuwwah serta menjalin kasih sayang sesama ahli khususnya anak-anak Terengganu di Mesir. Tambahan pula mengembalikan keIzzahan Mahasiswa/wi Islam Al Azhar dengan mengambil sesuatu dari sumber yang sebenar .

Selepas itu, Majlis penuh Ilmiah ini kemudiannya diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Pendiskusi Kitab, al-Ustaz Muhammad Abdul Malik dan diteruskan dengan solat Isyak. KPT mengharapkan dengan berlangsungnya diskusi kitab Attaakhi Baina MuAslimin dapat mengeratkan lagi ukhuwwah Islamiyyah di antara agamawan dan pelajar perubatan. KPT sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan Diskusi Kitab Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir sesi 2010/2011.