PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, May 31, 2011

IMTIHAN : SALAM MUJAHADAH

Assalamu`alaikum wa rahmatullah,

Segala puji bagi Allah Ta`ala yang mengurniakan kita kelebihan meneruskan pengajian di Bumi Anbiya’ yang penuh berkat ini. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia; Nabi Muhammad sollallahu`alaihiwasallam yang diutuskan oleh-Nya sebagai rahmat untuk sekalian alam.

Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) menyeru kepada seluruh mahasiswa Terengganu supaya memberi tumpuan yang sebaiknya bagi menghadapi imtihan yang sedang dan bakal menjelang nanti.

Sesungguhnya imtihan adalah merupakan wasilah untuk mencapai kejayaan dan mengukur tahap pencapai akademik setiap pelajar. Namun begitu, kita tidak seharusnya lupa dengan matlamat dalam menuntut ilmu. Ilmu yang dimiliki perlulah disampaikan dan diamalkan sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.

Selain itu, mahasiswa Islam perlu bijak dalam mendisiplinkan pengurusan masa agar keseimbangan tanggungjawab sebagai hamba Allah Ta`ala dan hubungan sesama manusia tidak terabai.

Kita juga harus meletakkan segala ketentuan adalah kurniaan daripada yang Maha Agung. Justeru itu, bertawakkallah kepada-Nya setelah penat berusaha.

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami dari urusan kami dengan petunjuk yang lurus

Pihak KPT Mesir sentiasa komited bagi memastikan kebajikan dan kecemerlangan mahasiswa diberi perhatian. Oleh itu, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan bagi membantu mahasiswa untuk terus berjaya sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Semoga dengan imtihan yang ditempuhi akan menghasilkan kecemerlangan dalam keputusan nanti dan yang lebih utama menjadi bekalan kita di akhirat kelak.

Selamat berimtihan!

Sekian, wassalam.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”
“BERILMU DAN BERAMAL”

MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011

Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Hayyu Asyir, Kaherah.