Sahabat dan sahabiah sekalian,
Kebelakangan ini, kepimpinan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) Cawangan Terengganu pada sesi ini melahirkan rasa simpati dan dukacita berkenaan isu mahasiswa Terengganu di Mesir yang ditamatkan Pinjaman Yayasan Terengganu (YT) baru-baru ini. Tanpa segan silu saya menyatakan bahawa perkara ini telah menjadikan mangsa dilema dengan surat yang bertarikh 20 Februari 2012 bertajuk “Penamatan Perjanjian Pinjaman Pelajaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu” dikuatkuasa serta-merta.
Surat yang diterima oleh ahli Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir iaitu seramai sembilan orang telah memeranjatkan semua mahasiswa Islam Terengganu di Mesir. Bagaimana mungkin berlaku ketika musim kuliah Pengajian Islam dan Perubatan baru sahaja bermula untuk sesi kedua bagi tahun ini.
Mahasiswa/wi seperjuangan,
Kesungguhan KPT Mesir untuk membantu mahasiswa kali ini adalah kerana dasar pertubuhan persatuan ini ialah menjaga semua kebajikan ahli. Walaupun tahun ini tiada lagi penghantaran daripada YT ke Mesir, namun kami tetap yakin bahawa dengan kesatuan yang dibina oleh generasi pada tahun 1964 sehingga sekarang akan disambung selepas daripada ini sepertimana pembukaan kota Konstantinople yang dijanjikan oleh Nabi SAW.
Mahasiswa/wi Islam sedunia,
Penafian hak pinjaman terhadap pelajar seolah-olah akta AUKU cuba diwujudkan untuk mahasiswa di luar negara. Sepatutnya, usaha untuk melahirkan generasi Ummah yang terbaik perlu dititikberat dan diutamakan oleh pihak berwajib. Kita sendiri juga tahu bahawa golongan mahasiswa inilah menjadi kesinambungan generasi ulama dan doktor bahkan aset utama negara.
KPT Mesir menarik simpati pihak berwajib untuk meneruskan pinjaman YT kepada mahasiswa terbabit demi melahirkan identiti negara Malaysia yang bertaqwa dan mampu berkhidmat di bumi Terengganu Darul Iman pada masa kelak sepertimana laungan “Rakyat Didahulukan, Pencapai Diutamakan.”
“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”
“BERILMU DAN BERAMAL”
MOHD ZAHANI BIN ABDUL GHANI
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.