PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, March 27, 2012

MUSLIMAH PENERAJU UMMAH


     
     Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi diberi nafas untuk meneruskan saki baki kehidupan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana jerih payah baginda dalam mendaulatkan islam di muka bumi ini.

Seorang sarjana pernah menyatakan; “Insan perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab.” Justeru, mahasiswa atau mahasiswi islam selaku sebahagian daripada entiti penting di dalam masyarakat juga tidak boleh lari daripada mencambahbiakkan kesedaran tentang persoalan pokok ini dan seterusnya wajar bingkas bangun mengkoreksi diri ke arah mengurus kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.                    

     Sering diperkatakan bahawa mahasiswa merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Golongan ini jugalah yang merupakan pelapis berjiwa kental yang akan menjadi aset penting untuk kelangsungan perjuangan bangsa dan agama. Jatuh bangunnya ummah di millennium mendatang banyak bergantung kepada kemandirian komuniti teras ini. Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman awal generasi manusia, ilmu memainkan peranan penting di dalam menentukan jatuh bangunnya sesuatu tamadun. Malah, dunia globalisasi hari ini jelas menunjukkan bahawa kerana penguasaan ilmu khususnya di dalam bidang sains dan teknologilah maka negara-negara maju khususnya Barat telah menjadi pendominasi dan pelopor kepada pelbagai lapangan kehidupan.

      Selain itu,perlulah disematkan di sanubari bahawa segala label-label negatif yang terpaksa ditelan oleh mahasiswa hari ini seperti mahasiswa lesu, bisu, longlai dan sebagainya hanya dapat ditanggapi melalui tindakan yang positif, proaktif dan progresif. Mahasiswa tidak mampu bergerak mara ke hadapan dengan hanya berbekalkan idealisme dan semangat semata-mata tanpa kesedaran serta usaha-usaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran bagi membolehkan ia direalisasikan dalam arus perdana dunia. Perjuangan golongan terpelajar untuk melakukan anjakan paradigma berterusan memerlukan kekuatan yang boleh diterjemahkan dalam bentuk penguasaan ilmu dan usaha-usaha melahirkan cerdik pandai yang terbilang. Jika kita telusuri kisah suci kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat seperti Sayyidina Ali Karramallahu wajhah, kita akan dapati bahawa disebalik keagungan kepimpinan dan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT, maka ilmu pengetahuan yang mampanlah menjadi rahsianya. Malah, sejarah kehidupan sarjana-sarjana Islam masa lampau seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, Al-Khawarizmi, Ar-Razi, Jabir Ibn Khayyam dan sebagainya menjadi saksi akan kebenaran penyataan ini.

      Di samping itu, konsep kesarjanaan ilmu wajar menjadi prinsip utama di dalam kehidupan setiap mahasiswa. Apa yang paling penting adalah pembelajaran bukanlah hanya untuk kelulusan peperiksaan, memenuhi keperluan kursus atau sekadar untuk mendapat sekeping ijazah sahaja sebaliknya merupakan momentum ke arah memahami erti hidup yang sebenar. Setiap ilmu yang dipelajari wajarlah ditafsir mengikut kacamata ilmiah yang betul. Ini kerana difinisi belajar itu sendiri bolehlah disignifikasikan sebagai suatu proses pembinaan idea, penghayatan dan aplikasi ilmu. Sebagai hasilnya, hakikat akhir sesuatu proses belajar itu mampu menuntun mahasiswa ke landasan kebenaran serta dapat diterjemah ke dalam masyarakat.

     Selain kesarjanaan ilmu, konsep keterampilan syakhsiah adalah satu lagi elemen penting yang perlu ada pada diri mahasiswa dalam mengurus kejayaan. Perangkaan serta statistik kebejatan sosial yang kian meruncing memperlihatkan bahawa kader-kader intelektual ini juga tidak terlepas daripada terlibat sama. Kepincangan dan keruncingan krisis moral seperti seks bebas, arak, sumbang mahram, hedonisme, penyalahgunaan dadah dan banyak lagi turut membuktikan bahawa penuntut institusi pengajian tinggi juga tidak begitu ampuh dari segi penghayatan budinya.

    Menyedari hakikat ini, kita seharusnya bangkit dari lena yang panjang bagi mengubah corak kehidupan umat islam pada hari ini supaya generasi akan datang dapat merasai serta beramal dengan kesyumulan islam yang sebenar.




Disediakan oleh:-
UNIT AKADEMIK
HAL EHWAL WANITA ISLAM
Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012