PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Wednesday, March 28, 2012

Keeratan Ukhuwah Taakhi Zon A Menjayakan Usul "Kita PMRAM"

HAYYU SABI’, 26 MAC – PMRAM Cawangan Zon A meliputi Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu (KPT), Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKWAM) dan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) telah menganjurkan program “Ziarah Taakhi Zon A”.

Ziarah yang disertai oleh HEWI setiap BKAN yang terlibat bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang erat serta menjayakan usaha PMRAM dalam mengadakan jalinan taakhi ini. Walau terdapat kekurangan satu PMRAM Cawangan taakhi iaitu Dewan Perwakilan Mahasiswa/i Mansurah atas kekangan jarak, namun ia tidak mematahkan semangat untuk tetap program ini dijalankan.

Memilih BKAWM sebagai tuan rumah, program dimulakan selepas solat Isyak dengan ucapan  saudari Nurul Hanna binti Muhammad Bokhary selaku Naib Pengerusi HEWI I BKAWM merangkap tuan rumah bagi ziarah ini. Beliau mengalu- alukan kedatangan PMRAM Taakhi ke teratak mereka dan berharap agar kerjasama yang utuh dapat disimpulkan dalam menggerakkan dakwah Islam.

Seterusnya, diadakan slot taaruf bagi setiap ahli yang hadir dan sesi fotografi mengikut portfolio yang dipegang serta gabungan semua HEWI Taakhi.

Selesai bergambar, para pimpinan menikmati jamuan yang disediakan sambil beramah mesra dan bertanya perkembangan BKAN masing- masing. Sikap keprihatinan jelas tergambar apabila mereka turut melahirkan rasa simpati atas nasib yang melanda sembilan orang mahasiswa Terengganu yang ditarik pinjaman.

Program diteruskan dengan mengadakan ziarah ke bilik- bilik ahli. Walaupun masa yang ada agak singkat, namun ia digunakan sebaiknya dalam usaha memastikan objektif program tercapai. Keramahan ahli BKAWM menerima tetamu menjadikan ziarah ini lebih bermakna dan merasa sangat kuat semangat bersaudara antara satu sama lain walaupun berbeza negeri dan loghat percakapan khususnya.

Program tersebut berakhir sekitar jam 10.30 malam. Jutaan terima kasih diucapkan kepada BKAWM kerana sudi menerima kunjungan kami. Semoga hubungan yang terjalin akan diperkasakan lagi pada masa akan datang.