PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, March 30, 2012

Takrifan Akhlak dan Tabiat Manusia





Muqaddimah

Penciptaan manusia terkandung dua aspekو tanah dan ruh. Tanah tu membentuk rupa zahir manusia manakala ruh itu bahagian batinnya. Ruh adalah perkara yg tidak diketahui hakikatnya melainkan Allah. Cuma, berdasarkan penelitian para ulama, ada empat lafaz yg merujuk kepadanya iaitu akal, qalb (hati), ruh dan nafs (jiwa) yang setiap satunya menggambarkan fungsi-fungsi tertentu.

Jadi, bahagian zahir ni pun kena jaga, begitu juga bahagian roh ni pun kena jaga. Pastinya yang menepati manhaj rabbani, agar ia baik dan tidak rosak, kuat dan tidak lemah, mulia dan tidak hina dan akhirnya bahagia dan tidak sengsara di dunia dan akhirat.

Takrif Akhlak

Ada empat perkara yang saling kait-mengait akan timbul sekiranya kita cuba mendefinisikan akhlak. Jadi, supaya kita tidak keliru tentang takrif, maka terlebih dahulu kita akan membincangkan keempat-empat perkara ini.

1- الفعل      - perbuatan baik/buruk
2- القدرة    - kemampuan utk berbuat baik/buruk
3- المعرفة - pengetahuan ttg baik/buruk
4- الهيئة     - kondisi jiwa yang mendorong seseorg berbuat baik/buruk tanpa perlu berfikir panjang
                      dan bersusah payah

Perbuatan semata-mata, tak boleh jadi takrif akhlak berdasarkan dalil atau petunjuk realiti. Contoh realitinya, bukan semua orang menderma kerana akhlaknya pemurah, mungkin dia menderma kerana sesuatu manfaat duniawi yang dikehendakinya; dan bukan semua orang yang tidak menderma itu kedekut, boleh jadi ketika itu dia tidak ada duit ataupun ada halangan lain seperti duit yang ada telah diperuntukkan untuk sesuatu.

Qudrah/kemampuan untuk berbuat baik atau buruk pun bukan akhlak, sebab kekuatan dan kemampuan di hadapan melakukan sesuatu perkara (baik/buruk) itu sama.

Pengetahuan pun bukan, sbb realitinya ada sahaja orang tahu sesuatu perkara yang baik, tapi dia tak buat, dan tahu perkara tu buruk tapi dia buat. (Socrates sahaja yang kata akhlak tu pengetahuan tentang baik dan buruk). Pengetahuan tentang baik buruk juga di hadapan pelakuan sesuatu perkara adalah sama.

Jadi tinggallah yang terakhir, iaitu kondisi jiwa yang mendorong dan memudahkan sesuatu perbuatan baik atau buruk, yang menyebabkan pemiliknya dengan mudah melakukan atau meninggalkan sesuatu perbuatan tanpa perlu menimbang-nimbang atau bersusah payah ataupun bahasa mudahnya dah melekat dan jadi sifat hati.

Contohnya, seseorg itu pemurah hanya apabila dia menderma tanpa perlu fikir panjang dah, dan tak rasa berat apa pun dalam hatinya. Begitulah juga dgn akhlak-akhlak yang lain.

Tabiat Akhlak

Adakah akhlak itu suatu perkara yang fitrah/tidak boleh diubah/deterministik yang ada pada manusia semenjak lahir, ataupun ia suatu perkara yangmuktasabah/diusahakan/boleh diubah?

Persoalan tabiat akhlak ini mmg dikaji oleh ilmuwan-ilmuwan dari dulu lagi.Secara ringkasnya, ilmuwan-ilmuwan terbahagi kepada dua kelompok dalam hal ini.


Kumpulan Pertama : Yang sokong akhlak itu fitrah/tak boleh ubah/deterministic.

Imam Ghazali ada menyentuh sedikit kelompok ini tetapi tidak menyebut nama mereka, beliau hanya mengatakan bahawa mereka cuba mengkiaskan akhlak dgn al-khulq (ciptaan).

Kemudian hari, pendapat ini dianuti oleh sebilangan ahli falsafah barat yang menceburi perbahasan akhlak. Di Jerman, Scopenhauer dan Kant antara penganut mazhab ini.

Scopenhauer  mengatakan, "Manusia di lahirkan sama ada (memang) baik ataupun jahat, seperti mana lahirnya anak kambing dengan sifat yang baik dan tenang, dan lahirnya anak singa buas dan ganas. Dan bukanlah (peranan) ilmu akhlak itu melainkan ia mendeskripsi tingkah laku manusia dan kesannya sepertimana mendeskripsi sejarah tabii haiwan.."

Kant malah mengatakan, "Sesiapa memerhati sikap seseorang manusia pada sesuatu lingkungan masa dan tempat, dan dia mengetahui sikap orang itu dahulu pada keadaan dan masa yang sama seperti keadaan sekarang, maka ia dapat memprediksi/meramal dgn ramalan yang tepat sepertimana meramalnya ahli astronomi tentang gerhana matahari dan bulan pada masa dan tempat yang tertentu."

Spinoza juga mengatakan bahawa perbuatan manusia sama sahaja dengan fenomena-fenomena yang zahir di alam tabii ini yang boleh disimpulkan atau dideduksi seperti matematik.  Pendapat ini lebih-lebih lagilah dipegang oleh mahaguru sosiologi, Auguste Comte.

David Hume cuba menyimpulkan pandangan ilmuwan kelompok ini dengan mengatakan "perasaan kita tentang kebebasan kita hanyalah waham dan khayalan."

Pendapat ini bertentangan pendapat kebanyakan ahli ilmu, bahkan ia bertentangan dengan tabiat manusia, bahkan bertentangan dgn tabiat kebanyakan haiwan sekalipun. Ada sahaja haiwan yang dapat dilatih seperti anjing, kuda, burung dan lain-lain sehingga menjadi begitu berdisiplin dan melaksanakan tugas dengan baik, maka apatah lagi manusia.

Pendapat kumpulan ini juga menyentak rasa orang-orang yang beragama kerana apakah perlunya taklif, tanggungjawab dan ganjaran serta seksaan sekiranya akhlak manusia itu memang tetap dan tidak boleh diubah semenjak dilahirkan. Dan tidak berguna juga pembinaan dan pendidikan manusia sekiranya hal demikian diakui.

Kumpulan yang pertama ini pula, terbahagi kepada dua kelompok.

Kelompok yang berpendapat bahawa tabiat asal manusia adalah baik, dan jahat itu terjadi sekali sekala ('arid) –antara yang berpendapat sebegini adalah Socrates;

Dan kelompok yang pesimis dan berpendapat bahawa tabiat asal manusia adalah jahat, dan baik itu hanya terjadi sekali sekala –antara yang  berpendapat sebegini ialah pengikut-pengikut Budha.


Kumpulan Kedua : Tabiat manusia itu mmg ada dua jenis, baik dan buruk, manusia mmg dilahirkan siap sedia utk buat baik dan jahat, maka perlu diusahakan.

Pendapat ini adalah pendapat jumhur, hatta di kalangan ilmuwan zaman sekarang, di kalangan ahli pendidikan, psikologi dan lain-lain.

Dalam Islam, dua ulama besar berpegang dengan pendapat ini, iaitu Imam al-Ghazzali dan Ibnu Khaldun. Cumanya, setelah berpegang bahawa adanya dua tabiat asasi pada manusia, kedua-duanya mengatakan bahawa manusia mempunyai kecenderungan pada kebaikan. Mereka cuba mengharmonikan pendapat kumpulan yg pertama, bukan utk membenarkannya, tetapi untuk menjelaskan perspektif yang lebih tepat.

Dalil-dalil al-Quran banyak, seperti Surah al-Insan ayat 30, al-Balad ayat 10, al-Shams 7-8. Dan bukti dari waqi'/realiti juga turut menyokong, kerana terbukti akhlak manusia berubah. 

Kesimpulan

Apa yang penting di sini ialah kita dapat lihat bagaimana ahli sains sosial dan sesetengah ahli falsafah yang bertuhankan akal semata-semata atau yang bertuhankan sains semata-mata melihat tabiat manusia.

Kita juga dapat melihat bagaimana Islam melihat tabiat manusia, yang memperlihatkan manusia memerlukan tahzib/tarbiah/ta'dib untuk menyeimbangkan dan mengawalkan unsur-unsur yang ada dalam dirinya supaya selaras dengan kehendak Allah SWT yang menjadi neracanya.

Banyaknya pengulangan akan membawa kepada terbinanya sesuatu pada iradah/keinginan yang dinamakan ulama sebagai al-malakah. Dan keberadaan malakah ini pada iradah (seseorg) dipanggil ahklak org itu; yang menjadikannya berkelakuan dan bertindak kepada sesuatu perangai/tingkah laku tanpa susah payah dan tanpa perlu menimbang-nimbang.

Wallahu a'lam.



Disediakan oleh :

Abdul Rauf bin Baharuddin
Fakulti Usuluddin, Jabatan Aqidah dan Falsafah (3)
Universiti Al-Azhar, Kaherah.



Disemak oleh :
FeloMANHALPMRAM


* Ringkasan dua buah bab daripada kitab Dr Toha Dusuki al-Habishy yang berjudul :
الأخلاق في الفكر الإسلامى النظرية والتطبيق  yang merupakan silibus tahun tiga Jabatan Akidah Falsafah, Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar, Kaherah