Menggapai
darjat tertinggi adalah matlamat seseorang yang bergelar hamba. Allah SWT telah
memerintah seluruh hambanya melaksanakan kewajipan yang telah termaktub dalam al-Quran
samaada ibadah umum mahupun ibadah khusus.
Sabda Nabi
Muhammad SAW: “Rejab adalah bulan Allah. Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan
adalah bulan umatku.”
Untaian
kalam Baginda SAW mengatakan Rejab adalah bulan Allah bermaksud Rejab merupakan
bulan kemuliaan dan kebesaran bulan tersebut. Ini kerana pelbagai peristiwa
telah tercatit sebagai sirah Islam antaranya pengharaman peperangan hijrah
pertama ke Habsyah (Ethiopia) Ghazwah Tabuk
kelahiran Imam Syafie RA dan pembebasan al-Quds.
Bahagia
bersama Rejab bukan dilihat pada kesungguhan kita meneliti fadhilat serta keistimewaan Rejab sahaja malah kebahagiaan yang
dituntut adalah dengan mengisi kebahagiaan itu dengan ibadah-ibadah serta
melaksanakan aktiviti-aktiviti dalam ruangan mendekatkan diri kepada Rabbul ‘Izzati.
Umat Islam
modenisasi ini perlu memperingati bulan mulia ini bersempena peristiwa agung
iaitu Isra’ Mikraj. Perjalanan unik Nabi SAW dari Makkah ke Baitulmaqdis di
waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT untuk mengambil kewajipan
Solat Fardhu lima waktu.
Baitul
Maqdis telah dibuka oleh Saidina Umar Al-Khattab di zaman pemerintahannya.
Akibat perpecahan umat Islam ketika itu menyebabkan kota suci ini dirobek serta
dirampas oleh golongan Kristian. Tentera Salib menyerang Baitulmaqdis dan
akhirnya mereka mendakap erat bumi ini setelah hampir 500 tahun dikuasai oleh
pemerintahan Islam. Hak umat Islam telah dikembalikan semula di tangan panglima
Islam yang hebat Salahuddin Al-Ayyubi pada 27 Rejab. Namun kegembiraan ini
tidak berpanjangan. Air Mata al-Quds kian membasahi bumi Palestin. Kezaliman
Yahudi merampas semula al-Quds dan menamakan dengan nama baru mereka iaitu
Israel suatu kekejaman yang mengguris jiwa umat Islam seantero dunia.
Rejab adalah kesempatan emas bagi meraih serta menggapai
pahala yang belipat kali ganda. Para hukama’ mengumpamakan Rejab sebagai ladang
tanaman untuk dituai di bulan Ramadhan kelak. Hasil tuaian ini akan diraih oleh
hamba-hambaNYA yang bertaqwa serta melaksanakan ibadah untuk memperolehi redhaNYA tanpa membalutinya dengan
anasir-anasir mazmumah.
Akhir kalam selamat menyambut bulan Rejab 1433H. Semoga kita
tergolong dalam kalangan hambaNya yang bertaqwa serta memperolehi kedudukan
tertinggi disisiNYA.
Doa bulan Rejab:
اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان
Maksudnya : “Ya Allah! Berkatilah kami pada bulan Rejab
dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”
(Hadis Riwayat
Imam Baihaki)
Mardhiah binti Nordin
Unit Dakwah
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012