PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, May 27, 2012

RAHSIA DI SEBALIK DEMAM





Hakikat Demam

Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda :


"Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air."
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam kitab Umdah al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.

Adapun maksud "mendinginkannya dengan air" itu menurut Ibnu al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.

Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam

Memang tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam atau mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama?

Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita kepada Allah s.w.t. Apa yang dilarang ialah kita mengeluh dan mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau menceritakan penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan kepadanya atau boleh meredakan kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.

Al-Quran ada menceritakan tentang kesabaran Nabi Ayyub a.s. dalam menempuhi segala penderitaan. Di antara penderitaan yang Nabi Ayyub alami ialah berpenyakit gatal.

 Penyakit gatal ini sangat dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku baginda akan tanggal, tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian baginda terpaksa menggarunya dengan barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, baginda menggaru badannya dengan pecahan periuk dan akhirnya dengan batu. Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh baginda yang luka itu, nanah yang baunya sangat busuk.

Orang ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan bau busuk itu, lalu mereka keluarkan Nabi Ayyub dari negeri tempat tinggalnya ke tempat terpencil. Semua orang memencilkannya kecuali isterinya yang merawatnya.

Nabi Ayyub tidak pernah mengeluh dengan apa yang menimpanya, bahkan dia bersifat sabar dan tahan menderita. Apa yang dilakukannya hanyalah bermohon kepada Allah agar mengasihaninya.

Cubalah kita perhatikan permohonan Nabi Ayyub yang disebutkan di dalam al-Quran :

Maksudnya : "Dan Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu Tuhannya dengan berkata : Sesungguhnya aku disentuh (ditimpa) penyakit, sedang Engkaulah saja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani."
(Surah Al-Anbiya : 83)

Jika kita perhatikan kalimat-kalimat yang disebut oleh Nabi Ayyub a.s dalam ayat ini, alangkah halusnya budi bahasa baginda dalam rayuannya kepada Allah s.w.t. Baginda menyebut "aku disentuh" dan tidak menyebut perkataan "aku ditimpa". Di sini menggambarkan bahawa celaka itu sendiri yang datang menyentuh dirinya. Nabi Ayyub tidak menyebut juga "atas kehendakMu",  kerana kesopanannya yang sangat tinggi terhadap Allah s.w.t.
Selepas itu, rayuan baginda disudahi dengan kata-kata yang halus juga iaitu : "Sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani."


Pada suku kata pertama, Nabi Ayyub mengadukan perasaannya yang dapat menimbulkan rasa kasihan dan pada suku kata kedua disebutkannya sifat Allah yang lebih pengasih daripada sesiapa jua pun yang pengasih. Hanya inilah permohonan Nabi Ayyub kepada Allah. Dia tidak merungut dan mengeluh, apatah lagi menyesali apa yang telah berlaku. Dia cuma memohon belas kasihan daripada Allah s.w.t.




Mencaci-maki Demam

Selaku seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat demikian oleh Nabi Shallallahu alaihi wasallam. Ini bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu anhu yang maksudnya :

"Bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda :


"Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil? Dia menjawab: "Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya." Nabi s.a.w. bersabda : "Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi." (Hadith Riwayat Muslim)

Jadi, ditimpa
demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia menghapuskan dosa dan akan memantapkan keimanan.

Disediakan oleh :-
UNIT KEBAJIKAN
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012