Antara
kefahaman yang salah dalam menilai sesuatu permasalahan untuk menentukan hukum
ialah menjadikan alasan bahawa Nabi SAW tidak pernah melakukan perkara tersebut
sebagai hujah untuk diharamkan.
Sebagai
contoh perbahasan yang lepas iaitu hukum demonstrasi, terdapat pihak yang
mengharamkan secara mutlak akan demonstrasi tersebut tanpa menilai dan mengkaji
semata-mata berhujahkan bahawa demonstrasi tidak pernah dilakukan oleh Nabi
SAW. Justeru, mereka memandang bahawa demonstrasi merupakan perkara yang haram
dan bid’ah. Perbahasan mengenai hukum demonstrasi boleh rujuk dalam artikel
MANHAL PMRAM yang lepas di http://www.manhal.pmram.org/2012/04/hukum-demonstrasi.html
Hasil
daripada kefahaman yang sebegini, apa jua perkara yang tidak pernah dilakukan
oleh Nabi SAW maka ia merupakan bid’ah yang diharamkan. Akhirnya menjadikan
masyarakat umum salah dalam memahami Islam yang sebenar serta konteks Islam
dalam kehidupan adalah terlalu sempit.
Berlakunya
kefahaman yang silap ini adalah disebabkan penilaian dan pemahaman mereka ke
atas hadis mengenai bid’ah yang difahami secara zahir tanpa merujuk kepada
perbahasan para ulama dan hikmah pensyariatan di dalam Islam ke atas sesuatu
hukum.
Maka
adakah apa yang tidak dilakukan oleh baginda SAW merupakan bi’dah dan
menjatuhkan hukum haram secara mutlak?
Perbahasan
Ulama Mengenai Bid’ah
Dalam
membincangkan permasalahan mengenai bid’ah, maka ia merujuk kepada sabda-sabda
baginda SAW yang menerangkan berkenaan bid’ah.
Aisyah
RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :
مَنْ أَحْدَثَ في أَمْرِنا هذا ما لَيْسَ مِنْه فَهُوَ رَدٌّ
“Sesiapa yang melakukan sesuatu
yang baharu dalam urusan kami (agama) ini maka perkara tersebut bukanlah
daripada urusan agama, maka ia adalah tertolak”. – Bukhari dan Muslim
Dalam riwayat lain oleh Muslim :
مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنا فَهُوَ رَدّ
“Sesiapa yang melakukan sesuatu
amalan dan ia bukan daripada urusan kami (dalam agama), maka ia tertolak.”
Daripada ‘Irbadh bin Sariyah, Nabi SAW bersabda :
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وسُنَّةِ الخُلَفاء الراشِدِين
المَهْدِيِّين عَضُّوا عَليها بالنَواجِذ وَإِيّاكُم وَمُمْحَدثات الأُمُور فَإِنَّ
كُلَّ بِدْعَة ضَلالَة
“Maka hendaklah kamu mengikuti
sunnahku, dan sunnah sahabat Khulafa’ Ar-Rasyidin yang mereka ini diberikan
hidayah dan gigitlah ia dengan gigi geraham (berpgang teguh dengan sunnah
tersebut), maka jauhilah kami daripada pembaharuan yang yang direka-reka (dalam
agama), maka sesungguhnya setiap bid’ah tersebut adalah sesat.” - Abu Daud dan At-Tirmizi
Maka dalam menerangkan perihal bida’ah menurut syara’,
terdapat dua method penerangan mereka :
1- Imam Al-Izz bin
Abdul Salam mengatakan setiap perkara baharu yang tidak pernah dilakukan oleh
Nabi SAW maka ia dikira sebagai bid’ah. Namun begitu, bid’ah terbahagi kepada 5
bahagian iaitu bid’ah yang wajib, bid’ah yang haram, bid’ah yang sunat, bid’ah
yang makruh dan bid’ah yang harus. Justeru, untuk menilai apakah hokum bagi
sesuatu bid’ah tersebut maka ia mestilah merujuk kepada kaedah-kaedah tertentu
dalam syara’. – kitab Qawaid Al-Ahkam Fi Masalih Al-Anam
Imam Nawawi juga menyatakan bahawa setiap perkara
baharu yang tidak berlaku berlaku di zaman Nabi SAW merupakan bid’ah, dan ia
terbahagi kepada dua samada bid’ah yang baik atau bid’ah yang buruk iaitu
diharamkan. – kitab Fathul Bari.
Kesimpulannya, dalam method yang penerangan yang
pertama ini, ulama menyatakan maksud bid’ah dari sudut syara’ adalah sama dari
sudut bahasa iaitu perkara yang baharu namun mereka tidak menjadikan kesemua
perkara yang baharu adalah haram secara mutlak. Akan tetapi mereka membahagikan
samada bid’ah tersebut diharuskan atau diharamkan mengikut kaedah-kaedah
tertentu.
2- Ulama mengkhusus
maksud bid’ah dari sudut syara’ ialah perkara baharu yang tercela sahaja. Maka
sekiranya perkara baharu yang tidak tercela dan diharuskan dalam Islam maka ia
tidaklah tergolong dalam lingkungan bid’ah. Justeru, bid’ah ialah perkara yang
baharu yang diharamkan sahaja.
Imam Ibnu Rajab Al-Hambali berkata bahawa yang
dimaksudkan dengan bid’ah ialah sesuatu yang baharu dan tidak mempunyai nas
dalam syara’ yang mengharuskan perkara tersebut. Adapun sekiranya terdapat nas
yang mengharuskan perkara tersebut maka ia bukanlah bid’ah sekalipun dari sudut
makna bahasa ia merupakan bid’ah iaitu perkara baharu.
Berdasarkan kepada 2 method penerangan ulama berkenaan
bid’ah dari sudut syara’ amak ulama bersepakat bahawa hakikat bid’ah yang
diharamkan adalah bid’ah yang tidak mempunyai nas-nas dalam syara’ yang
mengharuskan perkara tersebut. Adapun jika ia tidak tercela iaitu mempunyai
nas-nas yang mengharuskan ia bukanlah menghalang untuk umat Islam
melaksanakannya kerana ia tidak termasuk dalam kategori bid’ah yang sesat.
Imam Al-Ghazali menyebutkan bahawa bukanlah setiap
perkara yang baharu adalah ditegah dan diharamkan, bahkan perkara baharu yang
diharamkan ialah sekiranya ia bertentangan dengan sunnah yang telah
dithabitkan. – kitab Ihya’ Ulumiddin
Perbahasan Mengenai Kaedah Asal Bagi Ibadah Dan Adat
Imam As-Syatibi meletakkan garis panduan asas yang
cukup penting dalam membezakan antara perkara yang berkaitan dengan konteks
ibadah dan adat atau urusan keduniaan. Di dalam kitab beliau Al-Muafakat maka
dinyatakan bahawa :
-
Hukum asal bagi ibadah ialah kita mengabdikan diri
tanpa melihat kepada sesuatu hikmah dan maksud. Contohnya seperti solat fardhu
Zohor diwajibkan pada tempoh sekian, bilangan 4 rakaat dan dalam keadaan bacaan
yang perlahan. Maka mengapa perkara tersebut diwajibkan sebegitu, tidak akan
dapat dijawab melalui akal dan tidak cukup dengan hikmah yang zahir
semata-mata. Apa yang pasti umat Islam wajib melaksanakan sedemikian walaupun
tidak tahu apakah hikmahnya diwajibkan sedemikian melainkan hanya untuk
mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.
-
Hukum asal bagi adat (urusan keduniaan) adalah melihat
kepada tujuan dan hikmah. Contohnya, kewajipan zakat ke atas wang ringgit
sedangkan di zaman Nabi SAW ia dikenakan ke atas emas dan perak. Justeru,
penggunaan emas dan perak merupakan bentuk dalam urusan keduniaan disebabkan
itu melihat kepada hikmah atau tujuan kewajipan zakat ke atas wang rasmi
tempatan ialah memberikan hak lebihan orang kaya kepada orang fakir miskin dan
golongan yang layak. Justeru, walaupun di zaman sekarang penggunaan wang sudah
berubah kepada wang kertas namun tetap merealisasikan tujuan zakat ke atas
wang. Hal ini demikian kerana penggunaan wang tadi merupakan dari urusan dunia
dan ia berubah mengikut tujuaanya yang dikehendaki. Justeru, kewajipan tetap
terjaga dengan pendekatan cara yang berbeza mengikut kesesuaian zaman yang
berubah.
Justeru, hukum asal bagi sesuatu perkara yang
melibatkan urusan keduniaan adalah diharuskan selagimana tidak terdapat nas-nas
yang mengharamkannya. Hal ini demikian kerana ia melihat kepada hikmah dan
tujuan. Sekiranya tujuan dan hikmah tersebut tidak bercanggah dengan syariat
maka ia diharuskan. Contohnya, skim pinjaman yang ada pada hari ini dengan
pelbagai nama yang tidak pernah wujud di zaman Nabi SAW. Maka sekiranya skim
pinjaman yang ditawarkan tersebut tidak mengandungi unsur riba dan
perkara-perkara yang bercanggah dengan syara’ maka ia dibolehkan walaupun
dengan nama-nama skim yang ditawarkan tidak pernah wujud sebelum ini.
Maksud “Kamu
Lebih Mengetahui Urusan Keduniaan Kamu”
Hadis yang
diriwayatkan oleh Anas RA bahawa suatu hari Nabi SAW berjalan ke suatu tempat
di Madinah yang terdapat di situ satu kaum yang sedang menanam pokok tamar lalu
mereka bertanya kepada baginda SAW mengenai cara yang sebenar dalam membiakkan
pokok dengan lebih banyak dan baik. Lalu sabda baginda SAW :
أَنْتُم أَعْلَمُ بِأُمُورِ دُنْياكُم
“Kamu lebih mengetahui akan urusan keduniaan kamu.” – Muslim
Maka berdasarkan
kepada hadis tersebut jelas menunjukkan kepada kita bahawa dalam urusan
keduniaan, Nabi SAW menyerahkan kepada umatnya mengikut kemampuan dan
kesesuaian zaman mereka. Walaupun baginda SAW tidak pernah melakukan, namun ia
bukanlah menjadi hujah sebagai menghalang perkara-perkara baharu yang dilakukan
dalam konteks urusan keduniaan. Hal ini demikian kerana wasilah adalah mengikut
kesesuaian. Adapun perkara yang ditetapkan oleh nas maka ia mesti dilaksanakan.
Sebagai contoh,
Allah mensyariatkan berperang kepada pihak musuh yang menzalimi dan menhalang
dakwah Islam bagi memastikan kalimah Allah sentiasa tinggi. Adapun dari konteks
urusan keduniaan dalam peperangan seperti jenis senjata, bentuk peperangan
tidak ada ditetapkan malahan bergantung kepada kesesuaian zaman. Islam hanya
meletakkan garis panduan agar umatnya tidak terlalu sempit dan terlampau. Islam
tidaklah terlalu sempit dengan mewajibkan apabila berperang mestilah
menggunakan panah, sekiranya menggunakan pistol maka ia dilarang. Islam
mengawal agar tidak terlalu melampau sehingga apabila berperang boleh membunuh
nyawa yang tidak berdosa. Senjata merupakan wasilah bagi pensyariatan berperang
iaitu mempertahankan hak daripada kezaliman dan menjaga dakwah Islam.
Begitu juga dalam
konteks urusan keduniaan yang lain jika diqiaskan seperti perubatan, pertanian,
pemakaian dan sebagainya.
Kesimpulan
Berdasarkan apa
yang telah diperbincangkan, para ulama bersepakat bahawa “apa yang Nabi SAW tidak
lakukan” bukanlah menjadi hujah untuk meghukumkan haram melainkan jika terdapat
nas-nas yang memang mengharamkan perbuatan tersebut.
Al-Allamah As-Said
Abdullah bin Sidiq Al-Ghamari menulis syair berkenaan permasalahan ini di awal
syairnya bahawa :
“apa yang Nabi
SAW tinggalkan (tidak lakukan) bukanlah menjadi satu hujah dalam syariat kita.
Ia tidak menjatuhkan hokum haram mahupun wajib”
Justeru, dalam
displin ilmu, maka dapat kita ketahui bahawa penghujahan di atas alasan “apa
yang Nabi SAW tidak lakukan” adalah tidak boleh dijadikan hujah. Maka penilaian
ke atas sesuatu permasalahan yang berlaku dalam melihat kepada hukumnya
mestilah dilihat kepada rujukan-rujukan dalam Islam, samada yang sepakati oleh
ulama iaitu 4 rujukan iaitu Al-Quran, hadis, ijma’ dan qias, atau
rujukan-rujukan yang ulama berselisih mengenainya seperti istihsan, istishab,
kalam sahabat, perbuatan penduduk madinah, hadis mursal dan sebagainya.
Sehubungan itu,
apabila berhadapan dengan permasalahan yang tidak pernah timbul di zaman Nabi
SAW seperti sistem demokrasi, demonstrasi, pilihanraya dan sebagainya maka
tidak boleh untuk terus menolaknya dengan beralasan kepada “apa yang Nabi SAW
tidak lakukan”. Ekoran itu ia mestilah dikaji dengan sumber-sumber yang menjadi
rujukan sebagaimana dinyatakan sebentar tadi.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili
Saiman
Pengerusi Felo
MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1- Al-Mutasyaddidun,
oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan Dar Al-Muqattam Lil An-Nasyri Wa At-Tauzi’
2- Al-Bayan Lima
Yashghulu Al-Azhan, oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan Dar Al-Muqattam Lil
An-Nasyri Wa At-Tauzi’
3- Jami’ Al-Ulum Wa
Al-Hikam, oleh Ibnu Rajab Al-Hambali, cetakan Muassasah Ar-Risalah Nasyirun
4- Dirasah Fi Fiqh Maqasid
As-Syariah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar Al-Syurouk
5- As-Sunnah Masdar
Lil Makrifah Wa Al-Hadharah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar Al-Syurouk