PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, May 17, 2012

PERBAHASAN MENGENAI MOGOK LAPAR BANDUAN PALESTIN



Definisi

Mogok lapar ialah tunjuk perasaan yang dilakukan dengan tidak makan dan minum selagimana tidak dipenuhi tuntutan yang dikehendaki.

Dalam isu banduan Palestin yang melancarkan mogok lapar adalah disebabkan kezaliman yang mereka hadapi oleh tentera Israel dalam menahan mereka dan menindas mereka. Banduan Palestin melancarkan mogok lapar berhari-hari adalah demi menunjukkan kepada dunia mengenai keadaan yang mereka hadapi di bawah tahanan tentera Israel dan ia bertujuan agar Israel melepaskan mereka dan mendapat perhatian dunia bagi membela mereka.

Kisah Berkenaan Mogok Lapar

Imam At-Tabrani meriwayatkan, Saad bin Abi Waqas berkata :

“Aku adalah seorang lelaki yang taat dan berbuat kebajikan kepada ibuku. Maka apabila aku telah memasuki Islam, ibuku (tidak memeluk Islam) berkata kepadaku : Wahai Saad, tinggalkan agamamu (Islam) atau aku tidak akan makan serta minum sampai mati (jika kamu tidak tinggalkan Islam). Maka ketika itu orang arab akan memanggil mu ‘pembunuh ibunya’. Lalu aku menjawab dengan tegas : Wahai ibuku, janganlah kamu berbuat demikian, sesungguhnya aku tidak akan meninggalkan agamaku ini selama-lamanya. Lalu ibuku tadi tidak makan dan minum. Bahkan berhari-hari dengan keazaman yang tinggi. Melihat demikian, aku berkata lagi : Demi Allah, wahai ibuku, jika kamu mempunyai 100 nyawa sekalipun, dan satu persatu nyawa tersebut tercabut (mati), aku tidak akan tinggalkan agamaku ini. Jika kamu mahu makan, maka makanlah, maka jika kamu tidak mahu makan, maka kamu tidak perlu makan. Apabila ibuku melihat ketegasanku sebegitu, lantas dia pun makan.”

Kisah di atas merupakan gambaran mogok lapar iaitu ibu kepada Saad bin Abi Waqas tidak makan dan minum sehinggalah Saad bin Abi Waqas murtad. Ibu beliau melakukan mogok lapar adalah bertujuan supaya Abi Waqas murtad. Namun atas keimanan yang kuat dan kefahaman yang jelas, Saad bin Abi Waqas tetap mempertahankan Islam di samping tidak memusuhi atau memutuskan hubungan dengan ibunya. Hasil atas ketegasan dan hikmah beliau, ibunya berhenti daripada melakukan mogok lapar dan Saad bin Abi Waqas tidak lagi diugut untuk murtad daripada Islam.

Firman Allah, dalam Surah Luqman pada ayat ke-15 :

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفاً

“Dan sekiranya mereka berdua (ibu bapamu) mendesakmu untuk kamu mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mengetahui akannya, maka janganlah engkau taat pada kedua-duanya, dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik”

Hukum Mogok Lapar Banduan Palestin

Isu yang berlaku mendapat perhatian dunia apatah lagi ditambah dengan sempena memperingati 64 tahun tarikh Nakbah Palestin baru-baru ini.

1-   Berkenaan dengan hukum mogok lapar banduan Palestin ini, Dr Yusuf Al-Qardhawi berfatwa bahawa :

“Harus bagi mereka melakukan mogok lapar kerana ia satu-satu cara yang mereka mampu dalam berhadapan dengan kezaliman, dan cara tersebut memberikan tekanan kepada kafir (harbi). Maka setiap apa cara yang memberikan tekanan kepada musuh kafir adalah perkara yang dipuji oleh syara’ sebagaimana ayat Al-Quran :

“Mereka diibaratkan sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya sehingga ia menjadi kuat lalu ia tegap berdiri di atas pangkal batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang yang menanamnya. Allah menjadikan sahabat dan pengikut Nabi Muhammad SAW kembang biak serta kuat gagah, demikian itu, kerana Dia hendak menjadikan orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki dengan kembang biak umat Islam itu.” ­– Surah Al-Fath : 29

“Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka merasai dahaga, , penat lelah dan lapar di jalan Allah, dan mereka menjejakkan sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang kafir, dan juga mereka menderita sesuatu yang mencederakan daripada pihak musuh, semua itu ditulis bagi mereka pahala amal yang soleh.” – Surah At-Taubah : 120

Maka cara mogok lapar ini memberikan tekanan dan kemarahan kepada pihak musuh kafir. Ia menyebabkan suara banduan yang dizalimi tersebut didengari oleh dunia dan membangkitkan isu mereka ditindas dan dunia akan membantu mereka. Maka ia merupakan perkara yang disuruh bahkan terpuji, akan tetapi dengan syarat bahawa mogok lapar tersebut tidak sampai menyebabkan mereka mati. Hal ini demikian kerana diri mereka bukanlah milik mereka, tetapi milik Allah. Justeru berdasarkan kepada maksud ayat Al-Quran :

“Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu. Sesungguhnya Allah amat mengasihani akan kamu.” – Surah An-Nisa’ : 29

2-   Syeikh Faisal Mawlawi, Timbalan Presiden Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah berkata (no fatwa 1033):

“Harus banduan yang dizalimi (umum tidak hanya kepada banduan Palestin di dalam tahanan Israel sahaja) melakukan mogok lapar sekiranya cara ini satu-satu cara bagi menunjukkan hak kemanusiaan mereka dicabuli dan dizalimi. Namun begitu, perkara tersebut mestilah dijaga dengan beberapa syarat agar ia tidak bertentangan dengan syariat iaitu :

-      Mogok lapar tersebut tidaklah sehingga menyebabkan mereka mati. Hal ini demikian akan menyebabkan menyerupai dengan bunuh diri. Hukum bunuh diri adalah haram.

-      Mereka yang melakukan mogok lapar tidak berniat puasa. Hal ini demikian kerana puasa adalah ibadah. Dan terdapat larangan dalam puasa yang berhari-hari yang tidak berbuka (Jumhur Ulama mengatakan puasa yang tidak berbuka dan berhari-hari adalah haram).

3-   Syeikh Soleh Fauzan berfatwa mengenai hukum mogok lapar ialah :

“Hukum orang yang melakukan mogok lapar sehingga dia mati adalah haram kerana ia dikira sebagai membunuh diri. Adapun jika melakukan mogok lapar secara bertempoh iaitu tidak sehingga mati, dan dengan cara mogok lapar tersebut merupakan satu-satunya cara bagi melepaskan diri dari kezaliman dan memperoleh kembali hak mereka, maka ia adalah dibolehkan.”

Adakah Mogok Lapar Ialah Membunuh Diri Dan Kebinasaan?

Terdapat juga beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan mogok lapar kerana berhujahkan ia merupakan penyebab kepada bunuh diri. Hukum bunuh diri adalah jelas haram berdasarkan kepada maksud ayat Al-Quran :

“Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu. Sesungguhnya Allah amat mengasihani akan kamu.” – Surah An-Nisa’ : 29

Dan mogok diri juga merupakan penyebab kepada kebinasaan diri sebagaimana dalam larangan Allah dalam ayat Al-Quran yang bermaksud :

“Janganlah kamu mencampak diri kamu ke lembah kebinasaan” – Surah Al-Baqarah : 195

Jawapan : Mogok lapar ialah menahan diri daripada makan dan minum selagimana tuntutan mereka tidak diberikan. Bunuh diri ialah memang cara yang jelas bertujuan membunuh. Disebabkan itu ulama’ yang menghukumkan harus untuk banduan yang dizalimi tersebut untuk mogok lapar meletakkan syarat cara mogok lapar tersebut tidak menyebabkan kematian. Justeru apabila mogok diri yang tidak menyebabkan kematian bukanlah dinamakan sebagai bunuh diri dan ia terkeluar daripada larangan ayat Al-Quran tersebut.

Manakala mogok lapar bukanlah termasuk dalam larangan mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Hal ini demikian kerana, larangan termasuk adalah ke atas mereka yang meninggalkan jihad. Ini berdasarkan kepada sebab penurunan ayat tersebut (Surah Al-Baqarah : 195) :

Imam At-Tabari meriwayatkan daripada Aslam Abi ‘Amran, beliau berkata :

“Kami di Istanbul, dan umat Islam di Mesir di bawah pemerintahan Uqbah bin ‘Amir dan umat Islam di Syam di bawah pemerintahan Fadhalah bin Ubaid. Maka tentera Rom telah datang dengan sekumpulan yang sangat ramai untuk berhadapan dengan tentera Islam. Sehubungan itu melihat kepada tentera Rom yang ramai tersebut, terdapat orang yang menjerit : “Kita akan binasa (kerana ramainya tentera Rom)”. Lalu bangun Abu Ayub Al-Ansori dan berkata : Wahai manusia, kamu mentakwilkan kebinasaan dalam ayat ke-195 pada surah Al-Baqarah sebegitu? Sesungguhnya sebab penurunan ayat tersebut berlaku pada zaman kami dan ke atas kami golongan Ansar, ketika mana Allah telah memuliakan kami dengan agama-Nya dan harta kami banyak. Terdapat beberapa orang yang berkata senyap-senyap tanpa pengetahuan baginda SAW bahawa mereka khuatir akan kehilangan atau kemusnahan harta mereka, disebabkan itu ingin meninggalkan jihad. Lalu Allah menurunkan ayat tersebut yang mana maksud bagi mencampakkan diri ke lembah kebinasaan adalah meninggalkan jihad demi menjaga kemewahan harta.” Disebabkan itulah diriwayatkan bahawa Abu Ayub Al-Ansori akan menyertai setiap peperangan sehinggalah diwafatkan oleh Allah dan beliau dikebumikan di Istanbul kerana membenarkan hadis Nabi SAW berkenaan pembukaan Kota Istanbul akan terlaksana di bawah seorang pemimpin yang terbaik serta tentera yang terbaik. – Tafsir Ayat Al-Ahkam jilid 1, karangan Syeikh Muhamad Ali As-Sobuni

Justeru, yang dimaksudkan dengan mencampakkan diri ke lembah kebinasaan ialah meninggalkan jihad demi kepentingan dunia. Adapun mogok lapar ini sebagaimana yang diharuskan oleh ulama ialah satu-satu cara yang mampu dilakukan oleh mereka dalam berjihad iaitu dengan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa mereka dizalimi. Maka ia terkeluar daripada larangan ayat Al-Quran tersebut.

Kesimpulan

Umat Islam wajib berjihad dalam apa jua sekalipun mengikut kemampuan mereka. Hal ini demikian kerana kezaliman wajib dihapuskan dan diperangi.
Mogok lapar merupakan salah satu cara yang terakhir mampu dilakukan oleh banduan yang dizalimi bagi menarik perhatian dunia dan memberikan tekanan kepada pihak musuh.

Ulama mengharuskan mogok lapar ini dengan menjaga beberapa syarat :

-      Jalan terakhir atau satu-satunya cara bagi melawan kezaliman yang mereka (banduan) termampu
-      Tidak menyebabkan ke arah kematian.
-      Tidak berniat ketika melakukan mogok tersebut dengan niat puasa.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1-   Fatawa Min Ajli Falestin,oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
2-   Tafsir Ayat Al-Ahkam, oleh Syeikh Muhamad Ali As-Sobuni, cetakan Dar As-Sobuni
3-   Tafsir Al-Jailani, oleh Syeikh Mahyuddin Abi Muhamad Abdul Qadir Al-Jailani, cetakan Markaz Al-Jailani Lil Buhuth Al-Ilmiah Istabul
4-   Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, jilid ke-3 oleh Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar Al-Fikr