الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين ، وعلى آله وصحبه أجمعين ، اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه ، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه ، وبعد .
SEKILAS BERKENAN SEJARAH PERISTIWA NAKBAH
"Tanah Palestin ini bukannya milikku, ia adalah milik umat Islam seluruhnya. Tanah yang mereka perolehi dengan darah mereka, tidak mungkin boleh dijual walau sejengkal. Tetapi sekiranya empayarku berpecah pada suatu hari, mungkin engkau akan memilikinya secara percuma."
Itulah jawapan Sultan Abdul Hamid II kepada Theodore Herzl, sewaktu zionis cuba menggoda agar baginda menjualkan bumi Palestin kepada Yahudi, pada tahun 1901. Mereka menawarkan beberapa juta dinar emas, melangsaikan segala hutang kerajaan Usmaniyah, pembinaan universiti di Palestin di bawah nama sultan dan pelbagai tawaran lagi. Sultan tetap bertegas dengan pendiriannya, sehinggalah baginda akhirnya digulingkan tentera pada 1908.[1]
1924, kejatuhan Khilafah Usmaniyah.
1948, 15 Mei. Peristiwa Nakbah. Para sejarawan meletakkan inilah titik permulaan Yahudi laknatullah secara rasmi mengisytiharkan pendudukan mereka di bumi suci milik kita. Seramai 750 ribu penduduk Palestin dihalau daripada rumah mereka. Lebih 500 buah perkampungan dimusnahkan dan bandar-bandar diranapkan. Israel dengan bangga mengisytiharkan hari kemerdekaan mereka adalah tanggal 14 Mei 1948.
Rentetan pencerobohan Israel, tercetus Perang Arab-Israel 1948. Ia berlangsung selama 9 bulan, Mei 1948 sehingga Mac 1949. Di dalam peperangan ini, Ikhwan Muslimin di bawah pimpinan Hasan al-Banna turut menghantar pasukan-pasukan mujahidin dan mereka berjaya merampas kembali beberapa kawasan yang ditawan Israel. Namun komplot jahat terus dirancang sehingga menyebabkan akhirnya pada tahun 1949, beribu-ribu anggota ikhwan dihumban ke dalam penjara oleh kerajaan Mesir atas dakwaan keganasan, sementara Hasan al-Banna dirancang untuk dibunuh di luar penjara. Beliau syahid pada 12 Februari 1949.
1967, Jun. Peristiwa Naksah. Dinamakan sebagai Perang 6 Hari, antara Israel menentang Mesir, Syria, dan Jordan. Diceritakan bahawa slogan yang dilaungkan adalah slogan-slogan patriotik dan kebangsaan seperti "Hidup Jamal Abdul Nasir," "Ummu Kalsum akan menyanyikan lagu untuk kamu di Tel Aviv" "Abdul Halim ada bersama kamu." Tiada langsung kedengaran slogan "Allah bersama kamu." Peperangan ini berakhir dengan kekalahan yang cukup memalukan. Israel berjaya menawan Tebing Barat, Semenanjung Sinai dan Bukit Golan. Pada ketika ini juga Masjidil Aqsa berjaya ditawan mereka.
1973, Perang 6 Oktober atau 10 Ramadhan. Di dalam peperangan mengejut ini, tentera Mesir berjaya menawan kembali Semenanjung Sinai, dan Syria menawan Bukit Golan. Slogan Israel selama ini bahawa "Tentera Israel tentera yang tidak akan tewas," berjaya dipatahkan. Tentera muslimin juga telah kembali menguatkan pergantungan mereka kepada Allah, dan Allah memberikan kemenangan kepada mereka. Namun apa yang menimbulkan kemusykilan, mengapakah tidak meneruskan kemaraan untuk membebaskan Palestin sepenuhnya, sebaliknya terhenti setakat itu sahaja?
1978, Perjanjian Kem David dimeterai antara Presiden Mesir Anwar Sadat, dan Perdana Menteri Israel Menachem Begin, sambil disaksikan oleh Jimmy Carter, Presiden Amerika. Matlamat utama perjanjian ini adalah menamatkan perang di antara Mesir dan Israel. Sebagai timbal balik, Amerika Syarikat menjanjikan subsidi berjumlah beberapa billion dolar setiap tahun kepada Mesir dan Israel. Perjanjian damai dicapai pada 1979. Anwar Sadat dan Begin dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan. Anwar Sadat akhirnya dibunuh pada 1981.
1987, pengisytiharan intifadah dan penubuhan HAMAS di bawah pimpinan Syeikh Ahmad Yasin.
2000. Pertemuan Yasir Arafat dengan Israel di Kem David tidak membuahkan apa-apa hasil. Pada tahun ini juga berlaku pengisytiharan intafadah kedua.
2001. 7 Oktober, peperangan di Afghanistan.
2002. Kerja-kerja membina Tembok Pemisah antara Tebing Barat dan Israel dimulakan. Sehingga pada tahun 2006, panjangnya menjangkau 402km. Sehingga sekarang, pembinaan tembok ini masih diteruskan dan disasarkan apabila siap sepanjang 703km.
2003. 20 Mac, peperangan di Iraq.
2004. 22 Mac, Syeikh Ahmad Yasin menemui syahid.
2011. Revolusi Musim Bunga di negara-negara Arab membimbangkan Israel, kerana pemimpin-pemimpin Arab yang pro-Amerika Israel mula digulingkan oleh rakyat negara Arab. Kita mengharapkan agar Allah s.w.t mentakdirkan yang terbaik buat kita sebagai umat Islam. Sepanjang tempoh penjajahan ini, umat Islam Palestin sentiasa berdepan dengan penindasan dan pembunuhan. Mereka berseorangan di dalam hal ini, tanpa dibantu oleh negara-negara Arab disekitarnya.[2]
HUKUM UMAT BERJIHAD MEMBEBASKAN BUMI PALESTIN DARIPADA DIJAJAH
Para ulama menyatakan, sekiranya musuh masuk menyerang negara umat Islam, menjadi fardhu ain ke atas penduduk negara tersebut dan mereka yang berada kurang daripada jarak musafir untuk berjihad. Jika masih tidak mencukupi, kefardhuan tadi melangkau kepada negara yang terdekat.[3] Syeikh Abdullah Azzam menyebut, begitulah seterusnya, jika masih lagi tidak mencukupi, sehinggalah kefarduan tadi akhirnya merangkumi seluruh umat Islam di atas dunia.
Imam al-Haskafi r.h.m menyebut: "Jangan engkau menyangka, sekiranya penduduk negeri Rom (Turki) berjihad, maka gugur kefardhuannya daripada penduduk India (yang jauh). Bahkan kewajipan itu dipikul oleh penduduk negara yang terdekat dengan musuh, kemudian negara seterusnya, begitulah sehingga mencukupi (untuk melawan musuh). Sekiranya kekuatan masih tidak mencukupi melainkan dengan seluruh manusia, maka ia menjadi fardhu ain (ke atas seluruh umat Islam), seperti kewajipan sembahyang."[4]
Ini adalah hukum jika tanah umat Islam dirampas, bagaimana pula sekiranaya tanah tersebut adalah tanah suci umat Islam, dan kiblat pertama mereka? Daripada sini dapat kita fahami bahawa menjadi fardhu ain ke atas setiap umat Islam berjihad membebaskan Palestin.[5]
Akan tetapi, timbul satu persoalan; adakah ini bermakna seluruh umat Islam di dunia perlu berhijrah ke Palestin untuk berjihad? Adakah mereka perlu meninggalkan pekerjaan mereka, pelajaran mereka, negara mereka, yang anak tanpa perlu izin ibu bapa, yang isteri tanpa izin suami?
Dr. Yusof al-Qardhawi telah merungkaikan permasalahan ini dan berkata "Tindakan seperti ini adalah tidak mungkin. Ia juga bukan satu tindakan yang berguna. Tetapi kewajipan pada ketika ini adalah, seluruh pihak memberikan bantuan bagi memenangkan saudara mereka, dan menyelamatkan mereka. Setiap orang dengan kemampuan masing-masing. Menghulurkan bantuan persenjataan, bekalan makanan, modal, harta, pakar-pakar, dan menyahut permintaan mereka dengan secepat mungkin, lebih-lebih lagi di saat genting."[6]
i) Pertama: memasang niat untuk berjihad di jalan Allah. Sama ada mereka berpeluang berjihad ataupun tidak.
ii) Kedua: sentiasa bersedia untuk menyahut seruan perang, jika semboyan peperangan dibunyikan, tanpa berlengah."[7]
KEWAJIPAN UMAT ISLAM MASA KINI BAGI MENYELESAIKAN ISU PALESTIN
1) KESEDARAN
Terdapat beberapa aspek kesedaran yang wajib terdapat dalam jiwa umat Islam berkenaan isu Palestin.
i) Mengambil berat tentang isu dan perkembangan umat.
Firman Allah s.w.t:
إنما المؤمنون إخوة ... (10)
"Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara."[8]
Sabda Nabi s.a.w:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
"Perumpaan orang-orang beriman, pada kasih-sayang, dan belas kasihan sesama mereka adalah seperti jasad yang satu. Sekiranya satu anggota ditimpa sakit, maka seluruh anggota badan yang lain turut berjaga dan demam."[9]
Sabda Nabi s.a.w:
مَن لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْر المُسلمين فَلَيْسَ مِنْهم
"Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka bukanlah dia sebahagian daripada mereka."[10]
ii) Marah dan benci dengan kezaliman:
Sifat marah adalah suatu sifat semulajadi yang diciptakan oleh Allah s.w.t di dalam diri setiap manusia.
Fungsi sifat ini adalah untuk mempertahankan hak daripada dicerobohi. Jika tiada sifat marah, seseorang
mungkin akan membiarkan sahaja haknya dirampas orang, atau kesucian agamanya dicabuli. Berkata Imam
Syafie r.h.m:
مَنِ اسْتَغْضَبَ فَلَم يَغْضَبْ فَهُوَ حِمار
"Sesiapa yang sepatutnya menzahirkan perasaan marahnya, tetapi dia tidak marah, maka dia adalah umpama seekor himar."[11]
Di dalam ajaran Islam, terdapat sifat marah yang dituntut, dan terdapat pula sifat marah yang dikeji. Sifat marah yang dipuji dan diseru oleh Islam adalah marah kerana Allah. Marah yang dikeji pula adalah marah semata-mata kerana hawa nafsu, tidak kerana Allah.
Berasa marah apabila melihat hak Allah s.w.t dilanggar adalah satu kewajipan kepada setiap muslim. Sabda Nabi s.a.w:
مَنْ رَأَى مِنْكُم مُنْكَرا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِه ، فإن لم يَسْتَطْع فَبِلِسانه ، فَإِن لم يستطع فَبِقَلْبِه ، وذلك أَضْعَفُ الإيمان
"Barangsiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangan (kuasa)nya, sekiranya ia tidak mampu, maka dengan (teguran) lidahnya, sekiranya ia tidak mampu maka dengan (benci di dalam) hatinya. Itulah selemah-lemah iman."[12]
iii) Kewajipan memboikot barangan Israel
Antara wasilah yang berkesan ke atas musuh adalah melalui ekonomi. Dr. Yusof al-Qardhawi memfatwakan
wajib kepada umat Islam di seluruh dunia untuk memboikot barangan keluaran Amerika dan Israel yang
menyumbang ekonomi mereka.[13]
jumlah keseluruhan penduduk dunia[14], langkah ini amat berkesan sekiranya disahut oleh semua. Di
samping mengurangkan pergantungan ekonomi terhadap musuh, ia turut memberi keuntungan kepada
produk dan ekonomi umat Islam.
Antara kaedah yang perlu dipegang ketika memboikot:
a) Sebarang barangan yang mempunyai alternatif produk umat Islam, maka perlu kita utamakan.
b) Namun jika tiada alternatif, diharuskan membeli produk lain, tetapi dengan sekadarnya sahaja. Tidak timbul masalah seperti yang didakwa "Jika kita memboikot, kita tidak akan dapat membeli apa-apa," kerana boikot hanyalah pada barangan yang ada alternatif.
c) Kepada pengusaha muslimin diseru untuk menghasilkan produk sendiri yang mampu menyaingi produk musuh, terutama barang keperluan harian. Hal ini dapat kita lihat dengan jelas di negara-negara Arab, dengan kemunculan banyak produk keluaran mereka. Amat malang alternatif di negara kita Malaysia masih lagi ditahap yang kurang membanggakan.
d) Sekiranya tidak mampu untuk memboikot secara seratus peratus, hendaklah diboikot mengikut kemampuan, sedaya mungkin. Kaedah menyebut:
ما لا يُدْرَك كُلُه ، لا يُتْرَكُ جله
"Apa yang tidak mampu untuk dibuat semuanya, tidak ditinggalkan sebahagian besarnya."
2) JIHAD KETENTERAAN:
a- Sepanjang Nabi Muhammad s.a.w diutuskan, baginda menyertai sebanyak 28 peperangan, dan mengutuskan sebanyak 48 sariah.[15] Kerana itu para mujahidin menyatakan, sesiapa yang mendakwa mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w, ia juga perlu mengikuti sunnah baginda s.a.w di dalam berjihad.
b- Inilah langkah untuk mengambalikan semula tanah umat Islam yang telah dirampas. Kerana isu Palestin hanya boleh diselesaikan berdasarkan kemungkinan berikut:
i) Pertama,penyelesaian secara damai:-
a) Israel mengundurkan diri dan membubarkan negaranya.
b) Umat Islam mengalah, tunduk mengiktiraf negara Israel, dan melepaskan hak kepada mereka. Pengiktirafan ini adalah haram dan tidak mungkin berlaku, selagi umat ini berpegang kepada agamanya.
ii) Kedua, penyelesaian secara paksa:
a) Umat Islam mengambil kembali tanah Palestin daripada musuh secara paksa.
Kedegilan Israel nampaknya tidak memungkinkan kebarangkalian perkara pertama (a) berlaku.
Sedangkan jika mereka mengambil langkah tersebut, umat Islam tidak akan menghalang mereka
daripada menziarahi Masjid al-Aqsa. Orang bukan Islam juga seperti dahulu dibenarkan untuk
mendiami negara Palestin, dibawah naungan umat Islam.
c- Namun begitu, untuk melancarkan jihad ketenteraan, adalah urusan pemerintah umat Islam. Perlu dilihat sejauh manakah kekuatan dan kesan jika peperangan diisytiharkan. Memandangkan keadaan umat Islam yang terlalu lemah pada masa kini, amat penting bagi kita terlebih dahulu membina kekuatan, menyelesaikan masalah setempat, dan mengambil segala wasilah bagi menyatukan kembali umat Islam yang berpecah-belah.
Berperang tanpa kelengkapan dan kekuatan yang sepatutnya, adalah umpama menghulurkan leher ke pisau untuk disembelih musuh. Di dalam al-Quran juga dinyatakan kewajipan untuk sabat ketika berperang adalah apabila kekuatan kita sekurang-kurangnya separuh daripada musuh[16].
Imam Zarkaysi menyatakan bahawa tiada nasakh hakiki antara ayat yang memerintahkan berperang, dan ayat yang memerintahkan supaya bersabar. Kedua-dua ayat ini perlu diamalkan mengikut keadaan. Ketika umat Islam kuat, diperintahkan untuk berperang. Ketika lemah pula, mereka diperintahkan untuk bersabar sehinggalah kekuatan kembali dikumpul.[17]
d- Selain itu, keikhlasan pemimpin umat masa kini untuk menyelesaikan isu Palestin amat diragui. Kita seringkali melihat OIC bersidang, tanpa sebarang natijah yang boleh meninggalkan kesan. Kerana itu amat penting bagi umat Islam memilih pemimpin yang benar-benar berkelayakan dan cakna isu umat, serta berani dan bijak di dalam tindakan.
e- Dr. Yusof al-Qardhawi menyebutkan:
"Fardu ain berjihad berpindah kepada negara-negara Arab berjiran dengan Palestin. Namun alangkah malangnya, semua negara Arab tadi tidak berupaya. Atau engkau boleh katakan: Mereka kecut ketakutan, lembik dan menyerah kalah. Mereka membiarkan Palestin –dengan keupayaannya yang terbatas- untuk berjihad sendirian, menentang sebesar-besar kuasa dunia."[18]
"Sekiranya kerajaan-kerajaan tidak mahu menunaikan kewajipan ini, maka rakyat dan umat Islam hendaklah memberikan tekanan kepada mereka sehabis mungkin, sebagai amar makruf dan nahi mungkar. Gunakanlah perantaraan ulama-ulama, tokoh-tokoh cendiakawan, para pendakwah, kumpulan pemikir, media massa… sehinggalah kerajaan akhirnya bersetuju."[19]
"Sekurang-kurangnya, mereka (kerajaan) tidak boleh membantu musuh umat Islam dengan membuka pelabuhan, lapangan terbang, kem-kem tentera, kemudian musuh bertolak daripada tempat tersebut untuk membunuh saudara-saudara mereka sendiri. Ini tidak harus sama sekali. Ia adalah sebesar-besar dosa."[20]
"Antara perkara yang amat mendukacitakan, ramai di kalangan anak umat Islam penuh bersemangat dan rindu untuk berjihad bagi membebaskan Masjidil Aqsa, membantu saudara mereka di bumi Israk dan Mikraj. Namun negara-negara sekeliling (Jordan, Lubnan, Syria dan Mesir) semuanya menghalang kemasukan mana-mana mujahidin ke bumi Palestin. Kadang-kadang askar mereka melepaskan tembakan ke arah mereka yang cuba menyelinap masuk. La haula wala quwwata illa billah."[21]
f- Syeikh Abdullah Azzam r.h.m (1941-1989), seorang tokoh pemikir dan mujahidin Islam, memilih Afghanistan sebagai tempat beliau berjihad. Walaupun beliau adalah seorang anak kelahiran Palestin, namun keberadaannya di bumi Palestin tidak memungkinkan beliau melakukan apa-apa bagi membebaskan Palestin. Kerana itu beliau berjihad di Afghanistan, bagi membebaskan negara tersebut daripada Rusia, dengan cita-cita mahu menyerang Israel dengan kekuatan sebuah negara Islam. Beliau berpendapat, tidak akan sama orang yang berjihad mengangkat senjata, dengan mereka yang berjihad menyampaikan ucapan di sana sini.[22]
Walaubagaimanapun, masing-masing telah memainkan peranan masing-masing berdasarkan ijtihad. Ini adalah pada pandangan dan ijtihad peribadi beliau. Takdir Allah s.w.t mengatasi segala-galanya, dan Afghanistan walaupun telah berjaya dibebaskan daripada Rusia, tetapi kegagalan para mujahidin untuk mencapai kata sepakat di dalam mengisi kemenangan diambil peluang oleh Amerika untuk menyerangnya. Lagi pula, selagi umat dipecahkan-pecahkan kepada negara-negara dan tiada penyatuan, selagi itulah kesatuan musuh mendapat kelebihan.
3) JIHAD HARTA
Firman Allah s.w.t:
وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ... (195)
"Berbelanjalah kamu di jalan Allah, dan janganlah kamu melontarkan diri kamu ke dalam kebinasaan."[23]
Abu Ayyub al-Ansari r.a mentafsirkan kalimah ( التهلكة ) kebinasaan itu sebagai:
"Kebinasaan itu adalah dengan bersama keluarga dan harta, sehingga meninggalkan jihad."[24]
Sabda Nabi s.a.w:
مَنْ جَهَّزَ غَازِيًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَدْ غَزَا وَمَنْ خَلَفَهُ فِي أَهْلِهِ بِخَيْرٍ فَقَدْ غَزَا
"Sesiapa yang menanggung kos persiapan seorang yang berperang di jalan Allah, maka dia telah (mendapat pahala) berperang. Sesiapa yang membantunya menjaga ahli keluarga yang ditinggalkannya, maka dia telah (mendapat pahala) berperang."[25]
Skop sumbangan harta boleh dikategorikan kepada dua bahagian:
i) Persiapan perang dan kos ketenteraan
ii) Menanggung kos pembangunan dan keperluan rakyat Palestin, makanan dll.
Amat digalakkan kepada umat Islam di seluruh dunia, menyumbangkan harta simpanan mereka untuk maslahat umat di Palestin, menerusi saluran-saluran yang dipercayai.
4) JIHAD ILMU
i) Ilmu Syariah
Tanggungjawab ini dipikul khusus oleh para ulama, atau pelajar jurusan agama dan pemimpin-pemimpin yang ingin membawa Islam.
Antara perkara penting yang perlu ditekankan:
a- Hendaklah ilmu itu diambil daripada sumbernya yang asli, iaitulah melalui jalan para ulama dan kitab tinggalan mereka. Ramai golongan yang mendakwa mampu mengkaji sendiri dan mengambil secara langsung daripada al-Quran dan sunnah, tetapi akhirnya silap kefahaman dan menimbulkan banyak pertentangan. Fatwa-fatwa mereka juga bercelaru dan tiada asas kukuh.
b- Antara kekurangan pada zaman sekarang; fiqh muasarah, bagi menyelesaikan permasalahan-permasalahan moden, baik dalam bab ekonomi mahupun perubatan dan lain-lain.
c- Fiqh Siyasah Syariah, bagi mengetahui sistem politik Islam, perundangannya, apakah yang menjadi perkara dasar, dan apa pula yang boleh berubah.
d- Ilmu tentang haraki dan perjuangan, bagi menjelaskan kepada masyarakat kepentingan bersatu, berjuang dan berkorban untuk Islam.
ii) Ilmu Kepakaran
a- Mengutamakan bidang kritikal yang memerlukan kepada ramai pakar
b- Mengurangkan pergantungan terhadap kepakaran barat.
c- Menambahkan kekuatan umat baik dari segi ekonomi, pertahanan, perubatan dan sebagainya.
d- Menghasilkan produk dan teknologi sendiri dalam semua bidang baik persenjataan, pengangkutan, perisikan, komunikasi maklumat, perkomputeran dan lain-lain.
e- Menyumbang kepakaran apabila diperlukan seperti bantuan perubatan ketika perang dan lain-lain.
f- Tidak dilupakan, pakar Islam mestilah dihiasi dengan akhlak, keimanan, fikrah yang jelas dan keilmuan asas seorang muslim. Agar ia menjadi kental dan jitu, mampu mengharungi segala ombak badai perjuangan.
5) JIHAD DAKWAH KESEDARAN
i) Dakwah Kepada Orang Islam
a- Masalah utama umat Islam pada hari ini, adalah mereka tidak merasakan bahawa keizzahan mereka hanyalah bersama dengan Islam. Mereka sibuk mencari bagaimanakah untuk maju dan terkedepan. Ada yang mengamalkan dasar pandang ke timur, ada pula yang mengamalkan dasar pandang ke barat. Walhal umat Islam selama-lamanya tidak akan mulia, melainkan dengan agama mereka. Berkata Saidina Umar r.a:
إنّا كُنّا أَذِلّ قَوْم فَأَعَزَّنا اللهُ بالإسلام فَمَهْما نَطْلُب العِزَّ بِغَيْر ما أَعَزَّنا الله به أَذَلَّنا الله
"Kami dahulunya kaum yang paling hina, maka Allah muliakan kami dengan Islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain daripada apa yang Allah muliakan kami, kami akan dihinakan Allah."[26]
b- Mereka juga perlu diseru untuk bersatu di atas dasar Islam dan mengenepikan sebarang kepentingan peribadi mahupun kumpulan.
c- Membangkit kesedaran terhadap nasib saudara mereka seagama dan menggalakkan mereka menyumbang dan berkorban.
ii) Dakwah Kepada Bukan Islam
a- Dalam kegagalan sistem dunia masa kini mengatasi pelbagai permasalahan sosial, ekonomi dan jenayah, manusia tercari-cari apakah jalan keluar bagi mengatasi segala musibah ini. Hanya Allah, Tuhan bagi manusia yang mengetahui apakah sistem yang terbaik bagi kehidupan manusia. Sistem ciptaan manusia adalah terbukti pincang, menunggu masa untuk rebah. Menjadi tanggungjawab kepada muslimin untuk menyampaikan risalah agama yang membawa rahmat ini ke seluruh alam, agar semua manusia dapat mengecapinya.
b- Kerana itu kita mendapati, agama Islam adalah agama yang paling cepat berkembang pada zaman ini di barat. Media-media yang sering memburuk-burukkan Islam juga telah menyebabkan masyarakat tertanya-tanya, apakah sebenarnya Islam? Lalu mereka mula mengkaji tentang Islam. Hidayah milik Allah, Dia telah membekalkan manusia dengan akal dan fitrah. Apabila dua perkara ini bertemu, ia terus bertaut rapat.
c- Isu Palestin adalah isu kemanusiaan. Kita boleh mencari sokongan masyarakat bukan Islam untuk duduk sebaris dengan kita membantah Israel, atas dasar kemanusiaan. Antara perkara menarik yang berlaku pada awal tahun ini, satu pertubuhan hak asasi kemanusiaan telah membuat kempen secara besar-besaran menuntut supaya Kony ditangkap. Dalam masa 2 hari, bilangan penonton video kempen mereka "KONY 2012" mencecah angka 70 juta orang.
6) JIHAD POLITIK
a- Berkata Imam al-Ghazali r.h.m:
المَلِكُ والدِين تَوْأَمان فالدينُ أَصْلٌ والسُلْطانُ حارِسٌ وما لا أصلَ له فَمَهْدوم وما لا حارسَ له فَضائِع
"Kerajaan dan agama itu adalah saudara kembar. Agama itu asas, dan pemerintah itu penjaganya. (Kerajaan) yang tidak mempunyai asas (agama), akan runtuh. (Agama) yang tidak mempunyai penjaganya, akan terbiar (tidak dilaksanakan)."[27]
b- Urusan pemerintahan adalah urusan yang penting bagi menentukan sejauh mana perlaksanaan dasar Islam di dalam negara, dan penentuan dasar luar negara berkaitan isu umat Islam sedunia. Umat Islam dituntut oleh agama untuk melantik orang yang berkelayakan sebagai pemimpin mereka.
c- Amat penting kita mencari tokoh pemerintah seperti Solahuddin al-Ayyubi, Nuruddin az-Zinki, Umar Abdul Aziz, dan sudah pasti contoh terbaik baginda Rasulullah s.a.w.
d- Proses demokrasi mengizinkan kita untuk memilih pemimpin selayaknya bagi meneraju ummah. Hampir boleh dikatakan ijmak, para ulama pada hari ini mendokong dan mengharuskan demokrasi Islam.
e- Ahli politik hendaklah memainkan peranan untuk memastikan Islam dipraktikkan secara menyeluruh. Pembelaan rakyat serta umat juga mestilah dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh, bukan mencari populariti.
f- Pemimpin Islam hendaklah bertegas di dalam isu berkaitan umat Islam sejagat seperti Palestin. Bergerak mengikut strategi dan perbincangan. Bantuan ketenteraan juga hendaklah sentiasa berada di dalam keadaan bersedia.
g- Membebaskan negara daripada cengkaman sekularisma yang memisahkan agama dan kehidupan, amat mustahak bagi merealisasikan kelahiran sebuah negara Islam.
h- Umat Islam sebenarnya dibawah naungan khilafah Islamiah yang satu. Penyatuan seluruh negara umat Islam di bawah satu kekuatan, walaupun berbeza pentadbiran, adalah langkah yang seterusnya, selepas negara Islam berjaya ditegakkan di peringkat masing-masing.
Saya tinggalkan para pembaca yang budiman dengan sepotong hadis Nabi s.a.w:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ ،
وفي رواية : حَتَّى يُقَاتِلَ آخِرُهُمْ الْمَسِيحَ الدَّجَّالَ ،
وفي رواية : فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا فَيَقُولُ لَا إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الْأُمَّةَ ،
وفي رواية : يقاتلون على أبواب دمشق وما حوله وعلى أبواب بيت المقدس .
"Senantiasa akan terdapat satu kumpulan daripada umatku yang berperang di atas kebenaran, sehinggalah ke hari kiamat."[28]
Di dalam satu riwayat: "Sehinggalah yang terakhir di kalangan mereka membunuh Dajjal."[29]
Di dalam satu riwayat: "Maka turun Nabi Isa bin Maryam a.s, dan ketua mereka berkata: "Silakan tuan menjadi imam kepada kami." Nabi Isa a.s menolak dan berkata: "Tidak, sebahagian daripada kamu adalah ketua kepada sebahagian yang lain." Sebagai satu penghormatan terhadap umat ini."[30]
Di dalam satu riwayat: "Mereka berperang di pintu-pintu Dimasyk, dan sekitarnya, serta di pintu-pintu Baitul Maqdis."[31]
والله سبحانه وتعالى أعلى وأعلم
وصل اللهم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعهم أجمعين ، اللهم انصر الإسلام والمسلمين وأذل الشرك والمشركين ، ودمر أعدائك أعداء الدين ، اللهم إليك نشكو ضعف قوتنا ، وقلة حيلتنا ، وهواننا على الناس ، اللهم ارحم المستضعفين ، وقو عزائم المجاهدين ، وحرر الأقصى وارزقنا زيارته والصلاة فيه تحت راية الدين ،
وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين .
Disediakan oleh:
Ahmad Kamal Mansor
Anggota Felo MANHAL PMRAM 2012
.
Semakan awal:
Mohd Farid Yahaya.
Mohd Farid Yahaya.
Anggota Felo MANHAL PMRAM 2012
[1] Lihat ( ذكريات فلسطين ) kumpulan pidato Abdullah Yusuf Azzam, ( مجلة المنار ) artikel karangan Khalid Muhammad Hamid yang bertajuk ( قضية فلسطين بين الإسلام والممارسة السياسية العلمانية ), Wikipedia carian ( سلطان عبد الحميد ).
[2] Rentetan sejarah ini diambil daripada sumber yang berbagai-bagai, terutamanya Wikipedia, ( ذكريات فلسطين ), ( الإخوان المسلمون في حرب فلسطين ), (الإخوان المسلمون تنظيم 65 الزلزال والصحوة -محمد الصروي )
[5] Lihat juga apa yang dijelaskan oleh Dr. Yusof al-Qardhawi di dalam ( فقه الجهاد ) cetakan ketiga Maktabah Wahbah, jilid 1, m.s: 109-114.
[10] Riwayat Thabarani di dalam ( المعجم الأوسط ) dan Hakim di dalam ( المستدرك ) daripada Huzaifah r.a. Hadis dhaif.
[13] Lihat ( فقه الجهاد ) Dr. Yusof al-Qardhawi, cetakan ketiga Maktabah Wahbah, jilid 2 m.s: 1458-1463.
[15] Lihat ( الطبقات الكبرى ) Ibnu Sa'd pada bab ( ذكر عدد مغازى رسول الله ). Ghazwah adalah perang yang disertai oleh Nabi s.a.w sendiri, dan sariah pula tanpa kehadiran baginda. Kadangkala ia lebih kepada gerakan ketenteraan seperti membuat perisikan, tanpa sebarang pertumpahan darah. Peperangan yang masyhur adalah perang Badar, Uhud, Khandak, Khaibar, Fathu Makkah, dan Hunain. Syeikh Yusri hafizahullah menyatakan, para ulama membilang korban semua peperangan pada zaman Nabi s.a.w, jumlahnya tidak melebihi 500 orang. Menunjukkan bukanlah maksud daripada jihad itu berperang atau membunuh, tetapi maksudnya adalah memastikan kelangsungan agama Islam. Berbeza jika kita mendengar kisah mana-mana peperangan lain, satu pertempuran sahaja sudah menumpahkan nyawa beribu-ribu orang.
[22] Lihat ( ذكريات فلسطين ), Syeikh Abdullah Azzam (1941-1989). Beliau mendapat Phd di dalam bidang Usul Fiqh, Universiti al-Azhar pada tahun 1973. Banyak berjasa di dalam jihad membebaskan Afghanistan daripada cengkaman Rusia, serta melatih para mujahidin Islam di seluruh dunia, terutamanya mujahidin Palestin. Antara ungkapan beliau yang masyhur. "Aku rasa seperti baru berusia 9 tahun. Tujuh setengah tahun berjihad di Afghan, dan setahun setengah berjihad di Palestin. Tahun-tahun yang selebihnya tidak bernilai apa-apa." Lihat Wikipedia carian Abdullah Azzam. Sedangkan pada tahun-tahun yang lain, beliau juga terkenal aktif di dalam bidang dakwah dan ilmu. Beliau turut menekankan pentingnya tarbiah sebelum berjihad, agar tidak menyalahgunakan kekuatan pada tempat yang salah. Beliau menolak keganasan, dan menumpukan kepada jihad menentang penjajahan Rusia. Semoga Allah merahmati dan membalas perjuangan beliau.
[24] Lihat tafsiran para ulama pada ayat ini, antaranya tafsir Ibnu Katsir, tafsir al-Alusi. Ia turut diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmizi, dan Nasaie, tentang kisah peperangan di Konstantinapel.