PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, September 1, 2013

Identiti Muslimah Kehormatan Wanita Sebenar

Mengimbau kembali sejarah, tidak dinafikan wanita telah sekian lama dilabelkan sebagai kaum yang lemah dan tidak mempunyai kepentingan dalam masyarakat. Sehinggalah Islam datang menjernihkan semula martabat wanita dan membawa ke peringkat tinggi seiring syariat yang muliakan di sisi Allah SWT
 
Nabi Muhammad SAW menjadi contoh ikutan kita semua. Nabi SAW menyeru agar kaum wanita menutup aurat bukanlah bagi mengurangkan hak wanita untuk menayangkan keindahan ciptaannya tetapi meninggikan martabat wanita beriman itu menjadi seumpama mutiara yang tidak ternilai. Daripada Anas ra, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."
 
Kata Syeikh Sayyid Qutub, tokoh ulama terkemuka Mesir mengenai wanita: “Islam memberikan hak kepada wanita sebagaimana besarnya kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Pendapat kaum wanita dihargai serta kelemahannya pula akan dilindungi”. Untuk meneguhkan kedudukan wanita yang tinggi, tercantumlah  kewajipan, taggungjawab dan peranan wanita dalam satu surah yang panjang dalam Al-Quran iaitu surah An Nisaa (Wanita). Surah ini khusus membahas segala hal serta aspek terkait dengan kaum wanita. 
 
Sebilangan wanita kini tidak segan silu menggayakan pakaian bagaikan pengantin baru apabila setiap kali keluar daripada kediaman. Mereka mengenakan pemakaian mengikut fesyen terkini yang menjolok mata dan menyalahi syariat. Ada yang memakai baju  terlalu nipis hingga terbayang bentuk ukuran badan, berpakaian separuh telanjang, menyimpan kuku panjang, terikut dengan budaya hidup yang bebas dan sebagainya. Cara yang demikian itu adalah meniru orang yang buta akan hal-hal terlarang.
 
Hakikatnya, sebagai insan yang bergelar wanita, mereka mempunyai kewajipan untuk memperkuatkan hubungannya dengan Allah dan menyucikan fikirannya serta wataknya dari sisa-sisa pengaruh barat. Wanita harus bijak agar tidak terpengaruh oleh sikap dan perilaku wanita non-Muslim dan fahaman-fahaman dari Barat. Golongan ini tidak terikat pada perkara halal dan haram, baik dan buruk  sebagaimana garis panduan yang Islam tetapkan kepada wanita.
 
Muslimah yang dikasihi,
 
“Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah”
 
Bersempena Sambutan Hari Wanita 2013 peringkat Kebangsaan yang telah diadakan pada 25 Ogos di PWTC yang lalu, HEWI PMRAM mewakili mahasiswi sama ada pengajian Islam dan sains kesihatan menyeru agar seluruh ahli di pelbagai peringkat tidak mengira bangsa agar menyedari peri pentingnya menjaga kehormatan diri sebagaimana diterapkan di dalam agama Islam. Wanita akan dihormati sekiranya mereka memelihara diri mereka sendiri. Para Mujahidin di Syria, Mesir dan negara arab yang lain memiliki jiwa yang besar dan semangat juang yang tinggi kerana mereka dididik oleh wanita yang memiliki kehormatan dan maruah. Jadi, wanita perlu memelihara diri dengan sebaiknya kerana mereka akan mendidik generasi yang akan menghiasi arena perjuangan akan datang. Di sebalik kejayaan seorang lelaki itu, terselit di sana semangat seorang wanita yang berjiwa besar. Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia.
 
"JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN"
 
Siti Sarah Bt Bushari
Timbalan Pengerusi
Hal Ehwal Wanita Islam
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013