PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, June 28, 2011

AGENDA PENDIDIKAN : USAHA PMRAM WAJAR CONTOHI

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mercu tanda penyatuan komuniti mahasiswa Islam Malaysia di Mesir. Kewujudannya sejak tahun 1930 telah banyak mencatat dan melakar memori gemilang sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam tertua di sini.

Kebajikan dan kecemerlangan mahasiswa menjadi agenda utama PMRAM untuk direalisasikan sebagaimana hasrat penubuhannya. Pengalaman PMRAM mengemudi bahtera gerakan mahasiswa Islam menjadikannya muncul sebagai wadah kesatuan mahasiswa di “Ardul Kinanah”.

Usaha yang bersungguh-sungguh menjadi bukti komitmen PMRAM untuk melahirkan generasi ilmuan Islam dan mampu menyampaikan dakwah Islam untuk ummah.

PMRAM sebelum ini dilihat telah beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak Kedutaan Malaysia dan Universiti al-Azhar bagi membincangankan isu pendidikan mahasiswa Islam di bumi Mesir ini.

Majlis-majlis ilmu yang dianjurkan juga terus subur menjadi inspirasi buat mahasiswa menambah thaqafah di dada mereka sebagai persediaan untuk turun ke medan di tanah air kelak. Kesedaran terhadap menuntut ilmu sentiasa diterap dengan pelbagai aktiviti dan program yang telah dijalankan.

Oleh kerana itu, Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT Mesir) selaku PMRAM cawangan Terengganu sentiasa menyokong usaha murni yang telah diambil oleh pihak PMRAM Pusat sejak sekian lamanya.

“Usaha dan perhatian PMRAM bagi memastikan kejayaan dan kebajikan pendidikan mahasiswa sentiasa terbela, wajar diberi penghargaan dan dicontohi oleh semua pihak” tegas Yang Dipertua KPT Mesir, saudara Mohd Riduan bin Abu Bakar ketika ditemui.

Ketua Biro Akademik KPT Mesir, saudara Mohd Zahani bin Abdul Ghani pula berkata, pihak KPT Mesir melalui Biro Akademik sentiasa komited bagi meningkatkan thaqafah di kalangan ahli bagi menyahut saranan PMRAM Pusat dan sejajar dengan kehendak agama Islam.

Semoga segala bentuk perencanaan pendidikan yang telah disusun dan dirancang oleh KPT Mesir dapat menghasilkan kejayaan yang cemerlang dalam kalangan mahasiswa Terengganu Mesir khususnya.

Akhirnya, pihak KPT Mesir mengucapkan sekalung penghargaan atas usaha PMRAM Pusat. Moga ia menjadi contoh buat semua pimpinan PMRAM di peringkat cawangan mahupun ahli.