Tanggal 15 Jun 2011, bumi Mesir yang bertuah telah dipertontonkan satu fenomena alam yang cukup mengagumkan iaitu gerhana bulan penuh. Gerhana yang bermula pada jam 8.15 malam dan berakhir lebih kurang pada jam 10.30 malam waktu tempatan merupakan fenomena yang cukup istimewa bagi warga Mesir dan negara sekitarnya kerana dikatakan bahawa gerhana bulan penuh seumpama itu sudah 40 tahun tidak kelihatan di ruang langit bumi Mesir. Gerhana bulan berlaku apabila bulan melalui sebahagian daripada bayang-bayang bumi. Kejadian ini cuma boleh berlaku ketika bulan purnama dan apabila matahari, bumi dan bulan terjajar pada satu barisan yang sama, atau sangat-sangat hampir. Adapun penjelasan daripada sudut Islam pula, ia telah dijelaskan oleh Baginda Rasulullah – sollaAllahu `alayhi wa sallam – melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, hadis daripada Sayyidatina `Aisyah yang berbunyi:- إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذلِكَ فَادْعُوا اللهَ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا وَصَلُّوا Maksudnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta dirikanlah solat”. Sebagaimana pesanan para ulama’, perbanyakkan istighfar dan taubat serta perbanyakkan mengingati hari akhirat ketika berlakunya gerhana matahari atau bulan. Maka semua manusia perlu mengambil iktibar daripada fenomena hebat yang berlaku pada matahari, bumi dan bulan tersebut sebelum tibanya fenomena yang lebih dahsyat iaitu terbitnya matahari dari arah barat yang ketika itu tiada yang paling bernilai melainkan iman dan amal soleh.
Tiada Umrah bagi Penduduk Gaza
9 years ago