PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Saturday, June 18, 2011

PELUANG TERBAIK BAGI MAHASISWA MATRIKULASI AL-AZHAR

KAHERAH, 17 Jun – Mahasiswa matrikulasi al-Azhar yang mengikuti Kursus Bahasa di Universiti al-Azhar, Hayyu 6 akan melanjutkan pelajaran mereka di bidang yang telah mereka pohon sebelum ini.

Ini sekaligus menyangkal dakwaan bahawa mereka akan dimasukkan ke Kuliah Ulum Islamiyah, Universiti al-Azhar yang telah ditubuhkan pada tahun 2008.

Setelah pertemuan pihak PMRAM bersama pihak pengurusan al-Azhar, maka inilah makluman yang berjaya diperolehi.

Bagi mahasiswa yang berada di tahap pencapaian sederhana dan rendah ketika mengikuti Kursus Bahasa tersebut, mereka akan mengikuti Kelas Intensif Musim Panas.

Untuk mahasiswa yang sudah menguasai pencapaian yang tinggi dalam Kursus Bahasa Matrikulasi al-Azhar pula akan terus melanjutkan pengajian mereka ke peringkat Sarjana Muda, Universiti al-Azhar mengikut bidang yang telah dipohon sebelum ini .

Begitu juga untuk mahasiswa baru sesi 2011/2012, mereka akan melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar dalam bidang dipohon dengan syarat mereka lulus dalam peperiksaan kelayakan yang diadakan.

Perkara ini telah disahkan oleh Prof. Madya Dr. Haji Suaidi bin Dato’ Haji Safei, Pengarah Education Malaysia Egypt (EME) ketika pertemuan yang diadakan bersama pihak PMRAM beberapa hari yang lepas.

“Ini merupakan peluang yang terbaik untuk mahasiswa Matrikulasi al-Azhar bagi membuktikan kesungguhan mereka dalam mencapai cita-cita”, ujar Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM 2011, Saudara Ahmad Daniel bin Mohmad Hassan menasihatkan kepada semua pelajar agar tidak berputus asa dalam perjuangan menuntut ilmu.

“Cabaran dan ujian yang dihidangkan untuk kita hari ini amatlah ringan jika dibandingkan dengan mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh ulama’ silam”, tambah beliau lagi.

Sumber : PMRAM