Mahasiswa merupakan nadi masyarakat. Mereka dilihat sebagai pemimpin masa depan yang bakal menggantikan pemimpin pada hari ini. Merekalah yang diyakini akan membarisi tampuk pemerintahan negara. Kuasa mahasiswa sangat besar dan mereka mempunyai pengaruh tersendiri dalam masyarakat kerana mereka adalah golongan intelektual dan terpelajar.
Atas dasar itulah mereka mempunyai tanggungjawab yang begitu besar terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama. Peranan paling besar yang perlu dimainkan oleh mahasiswa itu ialah peranan mereka terhadap agama sendiri, yakni Islam. Antaranya ialah :-
1- Amanah dengan ilmu mereka tanpa menyembunyikan kebenaran.
2- Berpegang teguh dengan akidah Islamiah.
3- Melaksanakan kerja Islam dan beriltizam dengan jemaah Islam.
4- Berakhlak dengan akhlak Islami.
5- Turun ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan agama.
6- Tahu, faham dan beramal dengan seluruh ajaran agama.
2- Berpegang teguh dengan akidah Islamiah.
3- Melaksanakan kerja Islam dan beriltizam dengan jemaah Islam.
4- Berakhlak dengan akhlak Islami.
5- Turun ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan agama.
6- Tahu, faham dan beramal dengan seluruh ajaran agama.
Kesemua peranan ini mestilah dimainkan dengan sebaik dan secantik mungkin. Mahasiswa Islam tidak boleh hanya sekadar menangguk di air keruh dan sekadar melepas batuk di tangga. Peranan mereka terhadap agama sangat besar maknanya. Apalah ertinya keilmuan dan keintelektuan yang dimiliki mahasiswa Islam andai mereka hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh. Tidak mahu kisah dan cakna dengan masalah yang melanda ummah.
Sungguh, ummah sangat dahagakan pencerahan dan islah yang mesti dilaksanakan dengan jayanya oleh mahasiswa Islam. Siapakah lagi yang ummah mahu harapkan untuk menjaga dan memelihara agama yang suci ini melainkan mahasiswa Islam? Di bahu merekalah tergalas dan terpundak amanah berat demi melihat kebangkitan dan kelangsungan perjuangan Islam.
**********
JANGAN MENYEMBAH ILMU
JANGAN MENYEMBAH ILMU
Dalam kesibukan dan keghairahan mengejar ilmu juga, mahasiswa Islam haruslah berwaspada terhadap bahaya tersalah mencapai matlamat sebenar. Matlamat kita ialah Allah, ketahuilah ilmu adalah itu adalah ciptaan Allah dan ianya sekadar alat bagi kita mencapai matlamat akhir. Tertarik dengan satu peribahasa Cina yang menyatakan: “Orang bijak menuding jari ingin menunjukkan bulan, tetapi orang bodoh hanya memandang pada jari tersebut.”
PERBETULKAN NIAT
Dengan potensi yang ada juga, adalah wajib bagi mahasiwa Islam itu bersungguh-sungguh mendalami ilmu. Bumi Mesir sendiri begitu sinonim sebagai ‘lubuk’ buku dan ulama’. Tetapi berapa banyakkah buku yang telah dibaca dan dikaji? Berapa kerapkah kita bertanya dan mendengar suara ulama’ agung di Mesir ini? Jika semua jawapan tersebut berkonklusikan tidak, kenapakah kita ada di sini? Apakah niat kita yang sebenar? Dan apakah kita telah mengambil inisiatif bagi merealisasikan niat tersebut?
APAKAH SUMBANGAN KITA
Adakah kita ingin memberikan komitmen yang superficial (dangkal) sahaja untuk agama kita. Tatkala musuh Islam penuh berstrategi dalam perang intelektual dan perang realiti, kita masih lagi lesu dan terlena dalam ‘comfort zone’. Mahasiswa Islam sepatutnya mempunyai cita-cita dan berjiwa besar. Objektif akhir bukanlah sekadar ingin mengajar di kampung halaman, tetapi sepatutnya bercita-cita menjadi penggubal dasar di dalam Negara. Jika ingin mengubah dunia, binalah kekuatan minda dan binalah kekuatan intelektual.
SETIAP MUSLIM PERLU ADA 7 KREDIBILITI (7C)
1- Confidence (Keyakinan)
Islam adalah agama suci dari Allah. Sebagai penuntut ilmu, sewajarnya tiada masalah untuk kita meletakkan keyakinan yang penuh dalam diri kita terhadap agama yang hanif ini. Keyakinan inilah yang mesti dizahirkan oleh setiap orang yang mengaku mencintai agama. Apabila keyakinan ini telah menyinari masyarakat, Islam pasti akan tertegak.
2- Consistency (Ketekalan)
Islam itu benar, tetapi tidak semestinya semua penganut Islam itu benar dan baik. Kita tidak menafikan bahawa sememangnya umat Islam akhir zaman ini mempunyai kelemahan mereka sendiri. Sebagai contoh adalah Palestin, jelas menunjukkan kelemahan kita untuk terus bangkit mempertahankan kota suci tersebut. Selaku mahasiswa Islam, tugas kita ialah mempersoalkan apakah tindakan kita, percakapan kita, pemikiran kita, sifat kita, gerak-geri kita, tindak-tanduk kita telah benar-benar selari dan bertunjang kukuh kepada prinsip Islam yang sebenar iaitu Tauhid.
3- Communication (Komunikasi)
Mahasiswa Islam juga mestilah sentiasa berkomunikasi dan bersuara lantang dalam masyarakat. Hakikat sekarang, kita berada dalam situasi masyarakat yang gemar mengetengahkan dan mencambahkan kepelbagaian idea, jadi seharusnya kita menggunakan medan tersebut dengan sebaik mungkin. Medan forum, seminar dan perbincangan-perbincangan ilmu untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai kreativiti intelektual dan berfikiran kritis hendaklah diperkasakan dengan harapan ianya dapat melahirkan seorang pemimpin yang berdaya saing kelak.
4- Contribution (Sumbangan)
Sumbangan pandangan, sumbangan ilmu dan sumbangan penulisan. Adakah mahasiswa Islam kita mampu atau masih terkebelakang. Mahasiswa Islam hendaklah turun menyumbang ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan agama. Banyak kesamaran dan salah faham yang melanda ummah. Mereka masih lagi jahil tentang agama Islam yang sebenar. Bukankah kewajiban berdakwah itu telah semua maklum? Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Siapa yang mengucapkan ‘Tiada Tuhan Melainkan Allah’ maka dia adalah pendakwah”.
5- Creavitivity (Kreativiti)
Metodologi penyampaian ilmu menerusi media massa (tv, social networking), dalam internet melalui website, dalam kempen-kempen dan sebagainya. Adakah kita terkehadapan?
6- Contestation (Pembantahan)
Kekuatan untuk menyatakan idea kita. Mampu mengatakan tidak apabila perlu pada keadaannya. Biarpun diancam atau diberikan seribu satu sogokan kemanisan, semua ini mestilah dilakukan atas niat kerana Allah. Mahasiswa mestilah bertindak tegas terhadap isu ummah dan tidak berdiam diri terhadap sebarang penindasan pada seluruh keadaan, walau yang tertindas adalah non-muslim sekalipun, kerana Islam adalah Agama rahmat buat sekalian alam.
7- Compassion (Keihsanan)
Penutup kepada 7C ini ialah kesemuanya perlu dilaksanakan atas dasar keihsanan. Dakwah kita ingin melebarkan salam dan kasih cinta terhadap sekalian manusia, sekaligus memohon keberkatan dan rahmat daripada Allah Taala.
Ayuh mahasiswa Islam, kita bangun dan bangkit! Sesungguhnya kebangkitan sesuatu generasi itu akan dilihat terus kepada kekuatan pemuda di waktu itu. Binalah kekuatan, tembusi segenap ruang, kuasai semua bidang, agar diri dan agamamu dijulang. Sebagai penutup, fahamilah kata-kata nasihat daripada Imam Hassan al-Banna:
“Sudut yang paling merbahaya dalam sesuatu umat yang sedang membangun (terutama ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan) ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan serta bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju. Menyedari hal inilah, maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi!”