30 JUN, KAHERAH - Unit Sambutan & Rehlah, Hal Ehwal
Wanita Islam (HEWI), Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir telah
berjaya menganjurkan jaulah; melawat tempat-tempat menarik di sekitar Kaherah
ini. Jaulah ini telah disertai 26 ahli.
Seawal 7.30 pagi, peserta rombongan mula bergerak menuju
destinasi. Tempat pertama adalah Kubu Salahuddin. Tapak pertahanan yang hebat
ini menyimpan seribu satu kenangan yang menjadi sejarah ulung kota Mesir.
Binaan kubu kukuh di puncak Muqattam, memuatkan Masjid Sultan Nasir Muhammad,
National Military Museum, dan Masjid
Muhammad Ali Basha; iras Masjid Biru di Turki.
Masjid Sultan Muhammad Ali Pasha |
Seterusnya,rombongan dibawa melawat Masjid Sultan Hanafi dan
Sultan Rifa’ie yang terletak saling bersebelahan. Binaan yang utuh dan masih
kukuh melambangkan kehebatan kegemilangan struktur pembinaan arkitek Islam tidak
hilang ditelan zaman. Peserta rombongan yang keletihan diberi rehat dan makan
dulu sebelum menyambung kembara ke destinasi berikutnya.
Jam 1.30 petang, perjalanan diteruskan dengan melawat masjid
Ibnu Toloun. Masijd ini diabadikan di dalam duit LE5. Kelihatan khat-khat lama
menghiasi dinding-dinding masjid. Ia merupakan antara masjid yang tertua dan
terbesar di Mesir.
Seni khat yang diukir di dinding Masjid Ibnu Toloun |
Meneruskan perjalanan, peserta berkesempatan singgah sebentar
di Maqam Imam Hassan al-Banna; pengasas kepada gerakan Ikhwan Muslimin, juga
merupakan mujaddid abad ini. Berada disitu mengingatkan pahit jerih
perjuangannya sehingga akhirnya membawa Ikhwan Muslimin berada di tahap
sekarang. Peserta hanya mampu meninjau dari luar memandangkan maqam tersebut
telah dikunci semenjak kerja-kerja membaikpulih dilakukan.
Kami dibawa pula melawat masjid segenih, tetapi kurang
bernasib baik kerana masjid itu hanya dibuka ketika waktu solat.Berada di
sekitar perkampungan, masjid itu tetap teguh berdiri tanpa ditelan zaman. Turut
berada berdekatan ialah Maqam Imam Baijuri; pengarang kitab .
Masjid "duit segenih" |
Merangkak petang, peserta menziarahi Muzium Kesenian Islam.
Artifak-artifak, ukiran bungaan dan binatang pada pinggan mangkuk serta ukiran
indah pada pintu dan tingkap amat mengagumkan jiwa. Turut dipamerkan peralatan
perubatan seperti berbekam serta bekas-bekas yang digunakan untuk merawat.
Menuju destinasi seterusnya, rombongan bergerak menuju
Sungai Nil. Peserta dibawa menaiki bot
sambil menikmati keindahan pemandangan pesisiran Sungai Nil. Kelihatan para
peserta asyik bergambar, manakala sebahagian yang lain tenang memerhati alam
ciptaan Tuhan.
Pemandangan senja di pesisir Sungai Nil |
Senja hampir berlabuh, rombongan bertolak pulang dan tiba di
Hayyu Asyir jam 7.30 malam. Semoga secebis perjalanan ini mampu memberi
kepuasan kepada peserta disamping mengambil pengajaran yang sewajarnya dari
setiap tempat yang dikunjungi.
Terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam
menjayakan Jaulah Sekitar Kaherah ini.