PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, July 31, 2012

SECANGKIR TINTA: MENGHAYATI KEBERADAAN RAMADAN

Setahun berlalu, kini Ramadan menjelma lagi. Kedatangan bulan yang penuh keberkatan disambut dengan penuh kesyukuran oleh umat Islam. Setiap insan mula menambahkan amal kebaikan; bersedekah, mengedarkan makanan untuk berbuka dan pelbagai lagi amalan demi meraih ganjaran yang Allah janjikan kepada hambaNya. 

(كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به)

“Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukku, dan Akulah yang akan menilainya”

Ibadat puasa bukan hanya sekadar ibadat yang terlalu besar pahalanya. Allah menyimpan puasa itu disisinya dan berjanji untuk diserahkan pada hari akhirat kelak. Ibadat puasa juga mentarbiah diri dengan sifat ikhlas dan kemuncaknya membuahkan taqwa yang menentukan nilai harga diri manusia disisi Allah. 



Jika disoroti catatan sirah, pelbagai peristiwa agung berlaku di bulan ini. Penurunan al Quran, peristiwa Badar dan Fathu Makkah semuanya menjurus ke arah  hikmat Ramadan yang tinggi nilainya kepada seluruh alam. Maka Islam hendaklah diutamakan dengan melaksanakan rukun puasa sehingga membuahkan taqwa dan mendahulukan  perintah Allah mengatasi kepentingan diri. Begitulah makan minum, hawa nafsu yang dihalalkan diketepikan dahulu, apabila berpuasa kerana Allah dengan ikhlas.

Allah menawarkan ganjaran khusus bagi orang yang berpuasa dengan sempurna melalui sabda nabi Muhammad S.A.W:

للصائم فرحتان فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه) )

“Ada dua kegembiraan yang dikurniakan untuk orang yang berpuasa; Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya

Tidaklah manusia beribadat melainkan untuk mendapat keredhaan Allah. Lantas, tawaran yang diberikan menguatkan lagi keazaman untuk taqarrub padaNya. 

Di bulan ini juga terdapatnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, tidak akan dapat dicari pada bulan selainnya. Tatkala Ramadan bakal melabuhkan tirainya, maka Allah menghadirkan tawaran ini agar detik yang kian berakhir menjadi saat berharga buat pendamba cintaNya. Firman Allah Taala:

((ليلة القدر خير من ألف شهر))

“Malam Qadar; malam  yang lebih baik dari seribu bulan”- Al Qadr; 3

Setiap yang hadir pasti akan pergi. Justeru, biarlah hadirnya Ramadan dimanfaatkan sebaiknya agar tidak ditangisi tatkala kita tidak berpeluang bertemu Ramadan seterusnya. Berlalunya Ramadan dengan seribu kesyukuran atas nikmat bersua dengannya, bukan dengan penuh penyesalan.

"تنوير المتقين بتكميل الصائمين"

Disediakan oleh:

Siti Aminah Ismail,
Unit Informasi dan Penerbitan,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.