PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, July 17, 2012

MADRASAH RAMADHAN




MADRASAH RAMADHAN

الَلهمَ بلَغنا رمضان
Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.”

            Masa begitu pantas berlalu. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman, Allahumma ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul SAW. Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah SAW dididik dengan tema yang agung ini. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan mengharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula diisi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Namun, kita pula bagaimana?

            Allahumma ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang soleh bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, dan Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan kerana kita tidak tahu madrasah ini dapat kita temui lagi pada tahun hadapan ataupun tidak. Maka, bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramadhan kali ini. 

            Pertama, persiapan rohani. Yang dikehendaki di sini ialah kita harus bersedia dari aspek penerimaan hati terhadap kefardhuan puasa yang bakal dilalui. Hati mestilah ikhlas kerana Allah SWT bukan kerana selainnya. Persiapan rohani juga membawa maksud, meletakkan dalam minda bahawa puasa adalah ibadah. Ibadah berasal dari perkataan ‘abada, ya’budu. Kata Ibnu Mas’ud radhiallahu anhu apabila ditanya apa makna ibadah, beliau menjawab, allaha, yu’allihu ertinya, “mempertuhankan”. Jadi, berpuasa bererti beribadah kepada Allah. 

            Kedua, persiapan ilmu. Kita seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu yang berkaitan dengan puasa sama ada dari segi rukun-rukun puasa, perkara yang membatalkan puasa dan lain-lain kerana walaupun kita berpuasa seribu tahun sekalipun ataupun melakukan ibadah lain sekalipun tanpa ada ilmu adalah sia-sia ibarat pasir-pasir yang berterbangan tanpa penghayatan dijiwa dan hanya sekadar melaksanakan rukun. Ibadah puasa yang disertai dengan ilmu yang mendalam mengenainya lebih mendekatkan kita kepada pencipta dan akan terasa kemanisannya.

            Ketiga, persiapan fizikal. Selain dari rohani, tubuh badan kita hendaklah bersedia untuk menghadapi Ramadhan. Bagi sesiapa yang ada penyakit gastrik misalnya, haruslah menyediakan ubat-ubatan agar penyakit itu tidak menghalang kita daripada menunaikan kefardhuan ini. Kita perlulah melatih dahulu diri kita berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Sya’ban.
Usamah bin  Zaid r.a. menceritakan; “Aku bertanya Rasulullah SAW; ‘Ya Rasulullah, mengapakah aku tidak melihat kamu banyak berpuasa di bulan-bulan lain sebagaimana kamu berpuasa di bulan Sya’ban? Jawab Rasulullah; ‘Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia dimana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa.” (Riwayat Imam an-Nasai)

            Keempat, membaca kembali kelebihan bulan Ramadhan dan sirah-sirah peperangan yang berlaku pada bulan ini. Ada dikalangan kita tidak merasa apa-apa dengan kedatangan Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan sama seperti bulan-bulan yang lain. Tiba masanya ia datang dan tiba masanya ia berlalu pergi. Punca sikap ini adalah kerana mereka tidak mengetahui kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan . Kerana itu hadis-hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan kelebihan Ramadhan perlulah sentiasa dibaca dan diulang-ulang kepada diri sendiri dan  masyarakat sekeliling. Di antara kelebihan Ramadhan adalah sebagai penghapus dosa. Sabda Rasulullah SAW melalui hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a.;

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ، إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
Solat lima waktu, jumaat ke jumaat dan ramadhan ke ramadhan merupakan penghapus dosa di antaranya selama mana dijauhi dosa besar.” (Riwayat Imam Muslim).

            Akhirnya, marilah kita sama-sama muhasabah adakah kita telah menyediakan diri dengan sebaiknya untuk menghadapi madrasah ini dan sudahkah kita mempunyai Ramadhan Planner ataupun tidak? Sedangkan imtihan planner untuk menghadapi peperiksaan di universiti sahaja sudah disediakan tiga bulan sebelum itu untuk cemerlang. Letakkan dunia ini hanya ditanganmu, dan akhirat dihatimu, nescaya kebahagiaan hakiki mengiringimu. Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak.


Disediakan oleh:-
UNIT AKADEMIK
HAL EHWAL WANITA ISLAM
Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012