PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, July 20, 2012

Terawih Dan Persoalan Sekitarnya

Solat Sunat Terawih
Merupakan solat sunat 2 rakaat (berserta satu salam) yang khusus pada bulan Ramadan sahaja. Ia merupakan salah satu anugerah yang diberikan di dalam bulan Ramadan. Waktu untuk melakukan solat sunat terawih ialah selepas waktu Isyak dan sebelum masuk waktu Subuh.
Antara solat yang tergolong dalam solat sunat[1] yang muakkad[2] ialah:
1)      Solat tahajud
2)      Solat duha
3)      Solat terawih

DALIL PENSYARIATAN
Aisyah raidallahu ‘anha berkata Nabi SAW keluar ke masjid untuk bersolat pada waktu malam (bulan Ramadan). Maka sahabat melihat baginda solat, lalu mereka solat bersama-sama baginda SAW, sehingga semakin hari sahabat semakin ramai (dikatakan masjid penuh). Pada hari ketiga atau keempat sahabat menunggu kedatangan Nabi SAW, namun baginda SAW tidak keluar. Tatkala subuh, sahabat menghadap Nabi SAW lalu baginda SAW bersabda,
أَمّا بَعْدُ إِنَّهُ لَمْ يَخِفْ عَلَيَّ شَأْنُكُم اللَيْلَة وَلَكِنِّي خَشِيتُ أن تفْرضُ عَلَيْكُم صلاةُ الليل فَتُعْجِزُوا عنها
"Sesungguhnya tidaklah ia menegah akan aku untuk keluar (untuk solat terawih pada malam seterusnya) melainkan aku bimbang kamu akan merasakan ia adalah fardu dan akhirnya kamu tidak akan mampu lakukannya." (Ibnu Hibban)
Ini adalah dalil yang menunjukkan solat sunat terawih dilakukan pada malam Ramadan. Di dalam riwayat yang diceritakan oleh Aisyah raidallahu ‘anhu menunjukkan solat terawih merupakan solat sunat dan bukannya fardhu kerana pada malam ke-3 atau ke-4[3], ketika para sahabat sedang menunggu dengan kehadiran yang begitu ramai sehingga masjid ketika itu menjadi sempit, Nabi Muhammad SAW tidak keluar kerana bimbang para sahabat akan menganggap bahawa solat terawih merupakan suatu kewajipan ke atas mereka pada setiap malam Ramadan.
Cara melakukan solat sunat terawih
Solat sunat terawih dilakukan khusus di dalam bulan Ramadan sahaja dan sudah dikira melakukan solat terawih walaupun melakukannya berseorangan. Namun, disunatkan untuk berjemaah di masjid. Dan sunat ketika solat terawih menghidupkan bacaan al-Quran, selain daripada surah-surah lazim. Afdal menghabiskan satu juzuk satu malam, untuk mengkhatamkan al-Quran di dalam solat terawih. Solat terawih dilakukan 2 rakaat satu salam sehingga 8 rakaat atau 20 rakaat. Disunatkan juga melakukan solat witir selepas solat terawih.
Bolehkah melakukannya 4 rakaat satu salam?
Tidak sah melakukan solat terawih dengan 4 rakaat (atau lebih) dengan satu salam sekiranya orang tadi melakukannya dalam keadaan sengaja dan mengetahui bahawa solat terawih itu dilakukan dengan 2 rakaat berserta satu salam. Sekiranya tidak tahu, maka tidak mengapa dan solat yang dilakukannya tadi dikira sah.[4]
Kisah solat terawih di zaman Khalifah Sayidina Umar Radiallahu ‘Anhu
Pada zaman khalifah Sayidina Umar raidallahu ‘anhu, ketika bulan Ramadan umat Islam di Madinah yang berhimpun di masjid semakin ramai. Bahkan menjadi berpuak-puak dalam satu masjid mengerjakan solat terawih. Kemudian bagi menyelaraskan, Sayidina Umar raidallahu ‘anhu pada ketika itu menghimpunkan supaya menjadi satu kelompok atau jemaah sahaja.  Maka dihimpunkan orang Islam ketika itu di belakang Ubai bin Ka'ab.[5]
8 rakaat atau 20 rakaat?
Khilaf di antara manusia pada zaman sekarang adalah berapakah rakaat sebenar bagi solat terawih? Ada sesetengah yang mengatakan 8 rakaat kerana Rasulullah SAW hanya melakukan 8 rakaat sahaja ketika bersama para sahabat. Sebahagian yang lain pula mengatakan 20 rakaat.
Bagi mereka yang mengatakan solat terawih adalah 8 rakaat, mereka mengambil hujah daripada kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW melakukan solat terawih dan para sahabat yang mengikutinya.
Namun dalil dan hujah yang banyak menunjukkan solat terawih itu 20 rakaat. Akan disebut sebahagian sahaja di sini. Antaranya ialah:
Di dalam kitab fikah Hasyiah Baijuri, oleh Imam Baijuri menulis di dalam kitabnya bahawa Nabi SAW dan para sahabat ketika itu melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat dengan cara 8 rakaat secara berjemaah dan baki rakaat, baginda SAW dan sahabat melakukannya di rumah masing-masing. Dikhabarkan sekiranya melalui di tepi rumah-rumah mereka ketika itu, maka akan kedengaran seperti bunyi lebah.
Di dalam kitab Mausu'ah Yusufiah karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad, beliau menyatakan bahawa pendapat daripada Mazhab Hanafi, Syafie dan Hanabilah solat terawih di sisi mereka adalah 20 rakaat dengan menyatakan para sahabat di zaman Umar, Usman dan Ali melakukan sebanyak 20 rakaat[6].
Imam Syafi'e berkata, “Kami mendapati umat Islam di Makkah melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat.[7]
Daripada Malik bin Anas daripada Yahya bin Abi Sa'id Al-Ansori berkata, “Sesungguhnya Umar Al-Khattab mengarahkan manusia ketika itu untuk solat terawih sebanyak 20 rakaat.”[8]
Daripada Ibnu Abbas raidallahu ‘anhu berkata, “Adalah Nabi Muhammad SAW mengerjakan solat terawih di dalam bulan Ramadan sebanyak 20 rakaat dan solat witir.”[9]
Justeru, tiada masalah untuk melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat kerana terdapat lagi banyak hujah yang jelas. Walaupun begitu, solat sunat terawih sudah terhasil walaupun hanya melakukan 2 rakaat sahaja.[10]
Tazkirah mengiringi solat terawih
Berlaku juga pertanyaan berkenaan dengan beberapa tempat yang melakukan solat terawih dan diiringi dengan tazkirah sama ada sebelum solat, ketika rehat sebentar selepas habis 4 rakaat atau 8 rakaat atau selepas 20 rakaat. Melakukan tazkirah bukanlah satu masalah. Bahkan di antara tujuan solat itu sendiri dikerjakan adalah cara mendidik jiwa manusia agar mencegah perkara maksiat dan keji.
Jika kita lihat kembali, apa yang menjadi masalah untuk melakukan tazkirah? Bukannya tazkirah tersebut dilakukan sewaktu sedang solat. Sekiranya dilakukan sewaktu solat memanglah tidak boleh dan batalnya solat tersebut kerana dikira berkata-kata apatah lagi dengan menggunakan bahasa Melayu. Maka tiada masalah tazkirah dilakukan sama ada pada awal solat atau ketika rehat sebentar di tengah-tengah solat atau selepas selesai 20 rakaat.
Bahkan, tazkirah merupakan satu jalan untuk mengingatkan manusia yang sedang berhimpun dalam solat terawih pada ketika itu. Hal ini kerana pada zaman sekarang, bukan semua yang faham dan dapat mengambil iktibar daripada hasil bacaan imam ketika solat. Rata-rata mereka tidak faham, lebih-lebih lagi mereka yang tidak menguasai bahasa Arab. Maka, tazkirah yang dilakukan di luar ini merupakan satu alternatif yang baik bagi mengajar dan mendidik manusia pada ketika itu. Tambahan pula, tazkirah itu dapat disampaikan kepada orang ramai yang sedang berhimpun dan di dalam bulan Ramadan.
"Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna). Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu.” (Surah Al-'ala : 9-10)

Wallahu a'lam 
** petikan daripada buku "Ramadhan : Puasa & Iktikaf" karangan Muhamad Zuhaili Saiman, cetakan pertama 2009, Izin Terbit Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)


[1] Solat nawafil ghaira tabi'ah lil faraid – solat sunat yang tidak beriringan dengan solat fardu, berbeza dengan solat sunat rawatib yang beriringan dengan solat fardu.
[2]  Sangat dituntut untuk melakukannya.
[3] Berlaku banyak pendapat, yang paling mayshur nabi Muhammad SAW keluar 3 malam sahaja iaitu pada malam ke-23, 25 dan 27.
[4]  Hasyiah Baijuri jilid satu bab solat-solat sunat.
[5]  Di dalam kitab Hasyiah Baijuri dinyatakan bahawa muslimat ketika itu dihimpun di belakang Sulaiman Abu Hathamah.
[6]  الموسوعة اليوسفية في أدلة الصوفية   karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[7]  Fiqh sunnah dan At-Tirmizi -  الموسوعة اليوسفية في أدلة الصوفية   karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[8]  Al-Mughni Li Ibni Qadamah -  الموسوعة اليوسفية في أدلة الصوفية   karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[9]  Ibnu Abi Syaibah -  الموسوعة اليوسفية في أدلة الصوفية   karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[10]  Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد   bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.