Firman Allah SWT :
ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون
“Hendaklah
ada dikalangan kamu satu ummah yang menyeru manusia kearah kebaikan,
menguatkuasakan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah
golongan yang beroleh kejayaan”.
Surah Ali-Imran, ayat : 104
Tutur
bicaranya yang sopan dan berhikmah tinggi mampu tersentuh pada setiap
yang mendengarnya dan akhlaknya yang sangat terpuji pasti terpesona
mata yang melihat. Itulah dia pemimpin umat akhir zaman, MUHAMMAD
RASULULLAH, contoh terulung sepanjang zaman.
Hidupnya
penuh ranjau berduri dalam membawa amanah Allah di muka bumi ini.
Dirinya dihina, dikeji dan dicerca namun tidak pernah melunturkan
sedikit pun usahanya dalam menyebarkan dakwah. Tugasnya membawa umat
menuju keredaan Allah Taala.
Hari
berganti hari, bumi terus dimamah usia. Usah leka duhai pemegang amanah
Allah. Sesaat terlena umpama bertahun lamanya. Sejarah menyaksikan
bagaimana junjungan mulia Muhammad Rasulullah SAW membentuk peribadi
muslim di awal penyebaran dakwahnya. Begitulah kita hari ini,
tanggungjawab yang sangt besar perlu digalas sebagai penyambung mata
rantai dakwah ini. Ia adalah amanah Allah buat makhluknya yang bergelar
manusia.
Imam Syahid Hassan al-Banna ada menyebutkan tentang 10 sifat yang perlu ada bagi setiap individu muslim yang unggul adalah :
1. Aqidah yang sejahtera
2. Ibadah yang sahih
3. Akhlak yang mantap
4. Mampu bekerja
5. Berpengetahuan luas
6. Tubuh yang cergas
7. Mampu melawan nafsu
8. Teratur urusannya
9. Sangat menghargai masa
10. Bermanfaat kepada orang lain
Akhir
zaman ini memperlihatkan kita tentang keadaan umat Islam yang semakin
leka dan alpa tentang nikmat dunia. Lebih malang lagi, mereka
terperangkap dalam kejahilan yang melampau. Hanya sedikit sahaja
menjadi pewarisnya yang sanggup untuk memikul amanah ini. Ramai yang
tidak sedar akan peranan dan ganjarannya. Tiada yang lebih baik
melainkan kerja dakwah di jalan Allah. Sepertimana yang dijelaskan dalam
firman Allah :
و من أحسن قولا ممن دعا إلى الله و عمل صالحا و قال إنني من المسلمين
“Dan
siapa lagi yang terlebih baik perkataannya berbanding orang yang
mengajak ( manusia ) kembali kepada Allah dan beramal dengan amalan yang
soleh dan berkata sesungguhnya aku sebahagian dari kalangan orang –
orang menyerah diri ( Islam )”
Surah Fussilat, ayat : 33
Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ
سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَ أَجْرُ مَنْ
عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيءٌ
وَ مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ
وِزْرُهَا وَ وِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ
يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيءٌ
“Barangsiapa
yang “ menunjuk jalan ” di dalam Islam dengan kebaikan maka baginya
pahalanya ( sendiri ) dan pahala orang yang beramal dengan kebaikan itu
selepasnya tanpa mengurangkan pahala mereka sedikit pun dan barang siapa
yang “ menunjuk jalan ” di dalam Islam dengan kejahatan , ia menanggung
dosanya ( sendiri ) dan dosa orang yang beramal dengan kejahatan itu
selepasnya tanpa mengurangkan dosa mereka sedikitpun”.
Asas
pentarbiahan yang kukuh menjadi tunggak dalam pembentukkan individu.
Bukanlah hanya sekadar kecemerlangan akademik yang menjadi keutamaan,
tanpa kefahaman yang jelas dan syakhsiah yang baik.
Sekiranya masyarakat hari ini sedar, pasti akan lahirnya lebih ramai generasi pelapis yang mampu menjadi ansorullah di muka bumi Allah ini. Golongan pemuda yang kita harapkan menjadi barisan pelapis amatlah sangat sedikit.
Keadaan
ini amat menyedihkan sekiranya berterusan tanpa usaha-usaha untuk
memulihkannya. Penerapan konsep tarbiah yang sebenar mampu melahirkan
generasi Rabbani yang sanggup melaksanakan gerak kerja Islam tanpa
sebarang alasan. Persiapan seorang daie perlulah sempurna dalam
pelbagai aspek terutamanya ilmu, thaqafah dan kemahiran.
Pengetahuan
yang mendalam juga sangat penting buat insan yang bergelar daie kerana
ilmu asas penting dalam menghadapi ancaman yang pelbagai dewasa ini.
Kehidupan
seorang insan yang bergelar pendakwah sentiasa akan dipenuhi dengan
ujian-ujian yang mencabar jiwa dan hati. Ianya datang silih berganti
menemui hambaNYA. Mana mungkin jiwa yang rapuh dan lemah mampu untuk
mengharunginya. Jiwanya terus diasak bertubi-tubi.
Namun, hebatnya kasih sang pencipta, tidak dibiarkan hambanya sendirian, al-Quran penawar jiwa menjadi teman setia dan sirah nabawiyah menjadi bekalan sumber kekuatan sebagai rujukan.
Dewasa
ini menyaksikan manusia sibuk mengejar kemewahan, semakin lupa
saudara-saudaranya dan kezaliman semakin berleluasa. Dimanakah dia yang
bergelar muslim dan muslimah yang menjadi tunggak dalam sesebuah
negara.
Justeru,
kesedaran dalam diri adalah sangat penting agar tugas ini digalas oleh
semua dalam menjayakan agenda Islam itu terus tertegak di muka bumi
Allah ini. Semua golongan perlulah bersatu dalam menjayakannya.
Disediakan oleh,
Siti Sarah binti Bushari
Naib Pengerusi HEWI II,
(Ketua Unit Dakwah & Pembangunan Insan)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012