PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, August 21, 2012

Solat Hari Raya Aidilfitri Di Mesir Disambut Meriah


KAHERAH, 21 Ogos 2012 -- Dianggarkan sekitar 1000 orang mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang menuntut di Mesir telah hadir bersama-sama menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Musa, Hayyu Sabi', Kaherah pada pagi Aidilfitri semalam.

Sekitar jam 6.45 pagi para pelajar mula melangkah masuk ke Masjid Musa untuk mengalunkan takbir raya yang dipandu oleh beberapa orang Badan Pengurus PMRAM sesi 2012. Solat Sunat Aidilfitiri dimulakan jam 7.30 pagi sebagaimana yang dihebahkan kepada para pelajar.

Solat Sunat Aidilfitri yang dianjurkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir PMRAM tersebut telah diimamkan oleh Saudara Subki Bin Zakaria, Naib Setiausaha Agung PMRAM 2012. Manakala Khutbah Aidilfitiri telah disampaikan oleh Presiden PMRAM 2012, Saudara Abdul Aziz Bin Ali.

Khutbah yang disampaikan mengingatkan para pelajar akan pentingnya sebuah kesatuan dalam memelihara keutuhan umat Islam. Perpecahan umat Islam hari ini mengakibatkan umat Islam semakin hari semakin mudah dipergunakan dan ditindas oleh pihak musuh.

Presiden PMRAM di dalam khutbahnya juga mengingatkan agar mahasiswa mahasiswi menghayati kesusahan dan keperitan yang menimpa umat Islam di Syria, Burma serta negara-negara yang didiami oleh umat Islam yang sedang diuji dengan pelbagai kesusahan.

Antara isi kandungan lain adalah mengingatkan bahawa hari lebaran bukanlah hari untuk bersuka-ria, tetapi untuk mengungkapkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan mendekatkan lagi hati kepadaNya setelah sebulan berpuasa.

ليس العيد لمن لبس الجديد انما العيد لمن خاف يوم الوعيد
"Bukanlah aidilfitiri bagi sesiapa yang memakai pakaian baru, tetapi aidilfitiri adalah bagi sesiapa yang menakuti hari yang dijanjikan (hari kiamat)"

Majlis berakhir dengan bersalam-salaman sesama para pelajar yang hadir sekaligus merapatkan lagi jalinan silaturrahim sesama anak Melayu yang menuntut ilmu di Perlembahan Nil.