Sabda Rasulullah SAW :
من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من
ذنبه
Maksudnya : “Barangsiapa yang berpuasa dalam
bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan diampuni baginya dosa-dosa
yang telah lalu.”
(Riwayat Imam
Bukhari)
Seringkali kita merungut bahawa puasa
ini sangat meletihkan diri. Yang peliknya, puasa sepatutnya memberikan kekuatan
kepada jasmani dan rohani. Kenapa meletihkan?
Namun, secara logik akalnya, meninggalkan makan dan minum memang meletihkan dan menjadikan tubuh badan tidak bermaya. Bagaimana pula puasa boleh memberikan kita kekuatan?
BADAN ATAU JIWA YANG LETIH?
Seandainya kita meneliti pelbagai
kajian saintifik yang telah dilakukan terhadap golongan yang berpuasa, kita
akan mendapati bahawa berpuasa mampu menghilangkan toksid-toksid di dalam badan
kita. Kesannya, apabila badan kita terhindar daripada toksid, maka kita akan
menjadi lebih cergas dan sihat bukan sebaliknya.
Seringkali kita mengalami keletihan
ketika berpuasa lebih-lebih lagi berpuasa di musim panas seperti negara Mesir
ini, ditambah pula Ramadhan berada dalam
musim panas. Kesannya, kita harus berhadapan dengan perasaan letih dan
kepanasan waktu siang. Persoalannya, apa yang kita letih sebenarnya?
Sekiranya benarlah badan kita yang letih, cuba kita hayati sedikit sebanyak peristiwa-peristiwa kemenangan Islam yang telah direkodkan di dalam Ramadhan ini.
KEBANGKITAN DAN KEMENANGAN ISLAM DI DALAM BULAN RAMADHAN
Secara umumnya, majoriti di kalangan
kita dewasa ini terlalu sedikit mengetahui peristiwa-peristiwa yang berlaku
dalam bulan ini. Disamping itu juga, mereka semua hanya sekadar mengetahui
sejarah Islam yang agung ini dan dalam masa yang sama tidak mengambil ‘ibrah di
sebaliknya. Contohnya, peperangan Badar, peperangan Buwayb, peperangan Khandak
dan sebagainya.
Persoalannya, bagaimanakah kaum muslimin memiliki semangat jihad yang begitu tinggi untuk berperang sehingga mampu mengalahkan musuh-musuhnya?
Terlalu banyak peristiwa yang berlaku
pada bulan yang mulia ini. Tetapi, yang paling penting bukanlah sekadar untuk
kita mengetahui selok-belok sesuatu peristiwa itu, bahkan melihat bagaimana kaum muslimin boleh memiliki
kekuatan yang terlalu hebat ini lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan. Adakah
kita mampu jadi seperti mereka?
MUHASABAH KEDUDUKAN KITA DAN KAUM MUSLIMIN YANG TERDAHULU
Secara realitinya, terlalu banyak
faktor yang membezakan di antara kita dengan kaum muslimin yang terdahulu. Ironinya,
mereka menunggu ketibaan Ramadhan dalam keadaan penuh kegembiraan. Jiwa dan
iman mereka bertenaga dan tubuh badan mereka juga bertenaga. Pada masa yang
sama, mereka mampu merealisasikan sesuatu perkara yang mana, belum tentu kita
dapat melaksanakan apa yang mereka laksanakan.
Hal ini disebabkan kerana Ramadhan bagi mereka umpama charger untuk mengislahkan diri dan meningkatkan lagi kekuatan mereka dari sudut jasmani dan rohani. Ia bukanlah alasan untuk mereka menjadi letih dan lemah sehingga mengurangkan produktiviti gerak kerja mereka. Oleh itu, kita ini sudah dianggap cukup baik jika hendak dibandingkan dengan sahabat-sahabat Nabi. Cuba kita renungkan sirah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang terdahulu, apakah makanan sahur dan berbuka puasa mereka? Kadang-kadang hanya tamar dan segelas air atau susu sahaja berbanding dengan kita yang mewah ini.
Secara tuntasnya, sepatutnya Ramadhan kali ini hendaklah kita penuhi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat, bukannya kita jadikan bulan ini sebagai bulan untuk kita duduk rehat saja tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya, bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita mentarbiyah diri kita menjadi lebih produktif dengan melakukan lebih banyak kebaikan kerana nafsu kita telah dipagari dengan berpuasa, syaitan dan iblis pula telah dirantai. Maka, kita seharusnya melihat dorongan-dorongan untuk melakukan kebaikan itu sangat luas berbanding keburukan. Alangkah malangnya jika kita lebih senang duduk rehat saja tanpa meningkatkan amal dan memperbaiki diri.
Firman Allah SWT :
Maksudnya : “Sesungguhnya yang
paling mulia di kalangan kamu adalah orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Hujurat : 13)
Disediakan oleh :
TIMBALAN UNIT PENGISIAN
Ihtifal Rabi’il Muttaqin Bimunasabati
Syahri Ramadhan 1433H
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu
Mesir
Sesi 2011/2012